terima kasih buat kalian semua..

Sunday, July 24, 2011

Majlis perkahwinan mewah beri impak negatif !!!


Perkahwinan yang menelan perbelanjaan melampau mencecah jutaan ringgit boleh memberikan impak sosial yang negatif jika ia dilaksanakan hanya semata-mata memenuhi elemen menunjuk-nunjuk hingga mengetepikan matlamat sebenar perkahwinan.

Dari segi sosial pula, kebanyakan majlis perkahwinan mewah besar-besaran yang dianjurkan di negara ini sudah dicampur aduk dengan pelbagai elemen selain dimanipulasi sesetengah pihak bagi mendapat keuntungan khususnya membabitkan selebriti dalam memastikan barangan yang ditaja mendapat publisiti meluas.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata apa yang lebih membimbangkan adalah aliran berbelanja mewah akhirnya menjadi ikutan hingga ada pasangan sanggup berhutang bagi memastikan majlis berlangsung dengan gilang gemilang yang akhirnya memberikan kesan jangka masa panjang selepas perkahwinan.

“Ia juga tergelincir daripada matlamat sebenar perkahwinan yang sepatutnya dilaksanakan dengan cara sederhana. Bila rumah tangga dibina atas niat mahu popular hingga sanggup berhabis dan mengetepikan asas utama perkahwinan yang sepatutnya sederhana dan berteraskan agama, tidak mustahil ia boleh jadi faktor menyebabkan perceraian,” katanya.

Bekas Penasihat Agama Istana Negara yang juga pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, pula berkata kesan lebih buruk jika majlis itu lari daripada matlamat dan akhirnya mengakibatkan pembaziran, malah lebih teruk lagi ikatan yang dibina dengan perbelanjaan jutaan ringgit tidak mampu bertahan lama.

“Perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Nabi yang sangat dituntut malah kenduri atau majlis itu harus dibuat hanya bagi mereka yang berkemampuan. Perkara paling penting jangan sampai majlis jadi perkara boleh menimbulkan riak (sifat menunjuk-nunjuk).

“Islam mengunjurkan pernikahan dalam suasana paling mudah dan ringkas kerana itu yang terbaik dan paling diberkati. Untuk apa kita melaksanakan majlis yang bermegah dan bermewah tetapi tidak mendatangkan keberkatan, kerana apa yang penting majlis diberkati,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan majlis resepsi perkahwinan pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara, di sini yang mendapat tajaan Rafflesia The Pearl Centre dianggar menelan kos lebih RM12 juta.

Rafflesia turut memaklumkan akan menyediakan dua persalinan bertatahkan mutiara yang setiap satunya bernilai RM500,000, dua set barang kemas masing-masing bernilai RM2.8 juta berupa anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara.


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...