terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, July 5, 2011

Mengapa harga rumah di Selangor terlalu mahal???


SAYA sempat melawat ke Ekspo Hartanah dan Perumahan yang diadakan di PWTC pada 1-3 Julai 2011, baru-baru ini. Harapan saya cukup besar, diharap melalui pameran ini dapatlah saya menemui rumah idaman.

Saya lulusan universiti dan seorang eksekutif di tempat saya bekerja. Dengan pekerjaan dan pendapatan saya, seharusnya saya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan rumah yang sesuai dengan saya.

Tetapi, hasil lawatan ke ekspo tersebut amatlah mengecewakan saya. Rumah teres dua tingkat di sekitar Selangor yang ingin dijual oleh pemaju rata-ratanya berharga RM450,000 hingga jutaan ringgit.

Harga tidak munasabah yang diletakkan pemaju ini rupa-rupanya bukan sahaja bagi kawasan di sekitar Lembah Klang, tetapi sudah merebak ke kawasan-kawasan lain seperti Sungai Buloh, Rawang, Semenyih dan Nilai.

Bagi rumah teres dua tingkat di kawasan Lembah Klang apatah lagi, harganya tidak kurang setengah juta walaupun hanya untuk lot tengah. Saya sebenarnya tidak kisah sangat akan jenis rumah yang ingin dicari.

Pangsapuri atau rumah teres setingkat juga sudah memadai asalkan rumah itu bersesuaian dan harganya mampu dimiliki. Tapi malangnya, amat sukar mencari rumah yang berharga sekitar RM200,000-RM300,000 dalam ekspo tersebut. Kalau adapun, letaknya di Melaka atau Perak!

Paling aneh, wakil penjual menyatakan harga yang ditawarkan dalam ekspo tersebut hanya untuk tempoh dua minggu sahaja, kononnya early bird promotion kerana selepas itu harganya akan naik lagi.

Malah, wakil penjual sempat memberitahu bahawa harganya bakal naik sekali lagi dalam tempoh sebulan dua akan datang. Bagi saya, fenomena ini amat pelik kerana tidak mungkin harga hartanah naik secara drastik hanya dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

Mengapakah pemaju mengawal dan menetapkan harga rumah dengan sesuka hati? Pembeli nampaknya menjadi mangsa dalam hal ini. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan usahlah berpeluk tubuh sahaja. Lakukanlah sesuatu untuk membela nasib rakyat. Dasar perlu digubal agar pembeli tidak ditindas dan pemaju tidak mengambil untung atas angin semata-mata.

Kalau dibuat perbandingan, hartanah di bandar raya besar seperti Tokyo atau London memang mahal berbanding di kawasan bandar biasa. Tetapi, penduduk di bandar raya Tokyo dan London menerima gaji dua hingga tiga kali ganda lebih besar daripada penduduk di kawasan luar bandar.

Oleh itu, harga rumah yang mahal dianggap sepadan dengan gaji yang mereka terima.

Sedangkan di Malaysia, penduduk di kawasan bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Pulau Pinang menerima gaji yang tidak jauh beza dengan penduduk di tempat-tempat lain tetapi terpaksa menanggung harga rumah yang jauh lebih mahal.

Dalam ekspo tersebut, saya juga ada terlihat pendaftaran rumah mampu milik yang berharga sekitar RM200,000.

Malangnya, syarat yang ditetapkan ialah pembeli mesti berpendapatan kasar tidak lebih RM3,000. Dalam hal ini, saya pula tidak layak mendaftar kerana pendapatan saya melebihi RM3,000.

Apakah yang perlu dilakukan? Mahu beli rumah mampu milik atau rumah kos rendah tidak layak, hendak beli rumah biasa pula tidak mampu kerana harganya yang mencecah setengah juta ringgit.

Apakah yang dilakukan oleh kerajaan untuk membela nasib golongan pertengahan seperti saya? Kami golongan pertengahan sering tersepit di tengah-tengah kerana tidak dapat masuk ke dalam mana-mana kumpulan.

Akhirnya saya pulang dari ekspo tersebut dengan tangan kosong, hati yang hampa dan terkilan.

PEMBELI KECEWA
Petaling Jaya

5 comments:

  1. dasar kerajaan yang membenarkan org luar membeli tanah dan rumah di malaysia menyebbkan pihak pemaju membina rumah utk mereka kerana lebih menguntungkan.jd pemaju di malaysia lebih mengutamakan keuntungan dari keperluan rakyat malaysia.pihak kerajaan perlu meneliti dengan lebih lanjut tentang permasalahan ini.bukannya memberi seribu alasan.

    ReplyDelete
  2. babilah cekik darah betul

    ReplyDelete
  3. sy slh seorang pengunjung expo hartanah yg senasib dgn anda. rs nak menangis bila tgok harga rumah di selangor kebanyakannya rm500k hingga ke jutaan ringgit. yg paling sy tak boleh terima, harga rumah apartment rm370k.. ape kejadahnya????

    ReplyDelete
  4. sedihnyerr....bagaimanalah nasib kita yg golongan sederhana ni..mana nk cari rumah....semuanya x mampu nk beli...Tolonglah pihak kerajaan ambik berat...

    ReplyDelete
  5. Kerajaan zalim langsung tak membantu rakyat membeli rumah. sepatutnya org bukan warganegara Malaysia tidak layak beli rumah di Malaysia tetapi kerajaan mengamakan polisi terbuka menyebabkan beribu2 warga singapore, australia, China dan europe membel irumah di Malaysia.. sampai bila nak sewa rumah... kerjaan hanya fikirkan keuntungan sampai langsung tak menyelami hati rakyat..rakyat hidup menumpang doi negara sendiri.di tindas kerjaan zalim durjana yg bermegah2 dgn harta dan kekayaan sedangkan rakyat di tindas sewenang-wenangnya

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...