terima kasih buat kalian semua..

Saturday, July 30, 2011

Peminat bola sepak usah sampai meluat..


MITOS ada menceritakan Singapura pernah dilanggar todak. Jalan cerita lisan itu itu diharap dapat dijelmakan pada perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin. Peminat bola sepak tempatan mahu melihat pemain negara mengamuk dan menjaringkan banyak gol untuk menterbalikkan defisit dua gol hasil kekalahan 3-5 di Stadium Jalan Besar di republik itu tempoh hari.

Seperti yang diketahui, impian besar barisan Harimau Malaya untuk mengukir sejarah mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 buat kali pertama, akhirnya tidak kesampaian selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan musuh tradisi itu.
Keputusan itu yang berakhir dengan agregat memihak Singapura 6-4, menyaksikan negara republik itu buat kali kedua berturut-turut, mara dalam kelompok 20 pasukan elit Asia yang akan bersaing dalam pusingan ketiga.

Dalam meratapi kekalahan di tangan pasukan dari seberang tambak itu, kita harus menerima hakikat bahawa perjalanan bola sepak negara yang mula menunjukkan kebangkitan selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki tahun lalu, masih belum mampu menjanjikan apa-apa di pentas lebih tinggi.

Kegagalan malam kelmarin bukan menandakan nasib pasukan kebangsaan sudah sampai ke penamatnya. Kini sudah nampak ombak kebangkitan semula pasukan bola sepak kebangsaan. Pelbagai petanda positif sudah mula kelihatan dan mampu menyemarakkan semula bola sepak negara, terutama barisan Harimau Malaya yang kini memiliki kesungguhan dan komitmen tinggi setiap kali turun untuk meraih kejayaan, sekali gus berkibarnya Jalur Gemilang dan berkumandangnya lagu keramat, Negaraku di medan perlawanan baik di tempat lawan atau di depan ribuan penonton sendiri.

Walaupun ketinggalan dengan defisit dua gol dan lawan dibarisi lima pemain naturalisasi, semangat juang yang dipamerkan barisan dilatih Datuk K Rajagobal, hingga ke wisel penamat harus dipuji kerana inilah pasukan yang akan terus mengibarkan Jalur Gemilang untuk beberapa tahun akan datang kerana majoriti pemain masih di bawah usia 25 tahun.

Perkara positif yang paling ketara ialah sokongan peminat bola sepak yang kembali memenuhi setiap tempat duduk penonton apabila 85,000 tiket habis dijual dalam tempoh 48 jam, macam pisang goreng panas.
Bukan rahsia ada dalam kalangan peminat yang kecewa kerana gagal mendapatkan tiket, malah ada juga yang sanggup membeli tiket perlawanan daripada ‘ulat’ dengan harga mencecah RM300 walaupun harga asal hanya RM30 sekeping.

Senario yang berlaku ini adalah satu fenomena baru kerana ketika Harimau Malaya beraksi dalam final pertama Piala AFF menentang Indonesia di gelanggang yang sama, tiket yang dijual kurang laku.

Satu perkara lagi yang menarik, kehadiran penyokong berbilang bangsa yang menggamatkan Stadium Nasional dengan memakai jersi kebangsaan sambil bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku dengan penuh semangat, membuktikan hakikat sukan, terutama bola sepak mampu menjadi medium penyatuan kaum di negara ini.

Jadi, kehadiran semula penyokong memberi sokongan harus diberi perhatian, bukan saja pemain dan pengurusan pasukan, tetapi juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya terus memperkasakan skuad Harimau Malaya ini – dengan sasaran utama layak ke Piala Asia 2015.

Apa yang penting, mereka harus terus memikat dan membina kepercayaan penyokong dengan memperagakan aksi menarik dalam setiap perlawanan supaya peminat terus setia di belakang pasukan kerana sesungguhnya, ‘pemain ke-12’ adalah penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan.

Oleh Hussain Said


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...