terima kasih buat kalian semua..

Sunday, July 3, 2011

Tandas awam kotor dedah sikap buruk masyarakat !!!


KEBERSIHAN satu daripada perkara asas yang penting dalam kehidupan setiap insan. Bersih boleh didefinisikan sebagai bebas daripada pencemaran udara, tidak mengandungi unsur yang merosakkan atau mengganggu kesihatan. Menurut perspektif Islam, kebersihan melambangkan tahap keimanan seseorang.

Justeru, wajar kita menjaga kebersihan diri dan persekitaran termasuk memastikan tandas awam sentiasa selesa untuk digunakan.
Kini tahap kebersihan tandas kurang diutamakan. Hal ini terjadi atas kurangnya faktor kesedaran di kalangan masyarakat. Kemudahan tandas awam yang disediakan tidak dimanfaatkan sepenuhnya bak kata pepatah, prasarana kelas pertama, tetapi digunakan masyarakat yang mindanya kelas ketiga.
Kita dapat melihat betapa bersihnya tandas awam di sepanjang lebuh raya di negara ini. Bagaimanapun, nasib tandas awam di tempat lain amat menyedihkan dengan kekotoran dan najis tidak dibersihkan, contengan grafiti di dinding dan penyelenggaraan yang tidak sempurna. Ironinya, sesetengah tandas awam mempunyai operator yang mengutip wang daripada pengguna, tetapi perkhidmatannya tidak setimpal.

Sehubungan itu, beberapa usaha boleh difikirkan untuk menyemai rasa tanggungjawab masyarakat menjaga kebersihan tandas awam di negara ini.
Antaranya, sikap individu itu sendiri yang patut tahu peranan ketika menggunakan tandas awam. Mereka perlu membersihkan semula tandas selepas digunakan. Sampah dan tisu patut dibuang ke dalam tong sampah, bukannya dicampak ke dalam lubang tandas.

Peranan ibu bapa dan keluarga juga penting dalam menunjukkan teladan terbaik kepada anak-anak. Sentiasa ingatkan anak tatacara menggunakan tandas baik di rumah, mahupun di tempat awam, bak kata pepatah, melentur buluh, biar dari rebungnya.
Di samping itu, masyarakat juga memainkan peranan bersatu hati memastikan kemudahan di tandas awam digunakan sebaiknya. Antara lain, kegiatan gotong- royong membersihkan tandas awam boleh dibuat melalui kerjasama kerajaan tempatan dan NGO. Aktiviti sedemikian bukan saja menceriakan tandas awam, malah merapatkan hubungan sesama ahli masyarakat.

NURUL SYAHIDAH YUSUF,
Sitiawan, Perak

1 comment:

  1. mantap artikel ni...cuba baca ni pula http://behindtherainbows.blogspot.com/2011/07/mana-satu-pilihan-anda-duduk-atau.html good 2 read also...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...