terima kasih buat kalian semua..

Sunday, July 17, 2011

Tarikan dunia glamor artis tiada noktah !! Seksi ada sebabnya..Tuala wanita pun guna artis !!





SUDAH lama teman hendak menulis mengenai perkara ini – suara hati sesetengah penggiat seni bagaimana mereka berasa selalu dipersenda dan kehadiran mereka bagaikan melepaskan batok di tangga terutama apabila memasuki usia senja ataupun tidak lagi menduduki carta popular. Tanpa mahu menyebut nama, ada yang mengadu kepada teman, mereka kecil hati kerana selalu dipandang rendah sesetengah pihak, kononnya hanya berguna jika mahu dijadikan pelaris sesuatu benda atau perkara. Ibarat, habis madu sepah dibuang! Dakwaan mereka itu bukan tidak ada benarnya. Namun, lumrah alam memang tidak pernah ada keadilan dan perkara ini tidak hanya berlaku dalam dunia artis yang penuh glamor. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja. Yang muda dicari, yang popular digemari. Ada yang popular mendadak, ada yang popular merangkak; semuanya bergantung kepada nasib dan rezeki. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Macam Mawi, namanya pernah mencetuskan fenomena sehingga timbul perkataan tsumawi. Tetapi tiga tahun selepas itu orang dah mula tak kisah. Cerita dia yang bakal bergelar ayah kerana isterinya, Ekin hamil tujuh minggu selepas bertahun menunggu, tidak lagi memenuhi muka satu. Barangkali Mawi pun tak kisah kerana dulu hidupnya bagaikan dalam gelas kaca, apa dibuat semua orang nampak ketara tetapi kaca apabila dilontar batu, kaca pecah berderai.
Namun, tarikan dunia glamor memang tiada noktahnya. Tengok sekeliling kita, betapa wajah artis dan personaliti popular menghiasi papan iklan mega di tepi lebuh raya. Dalam surat khabar, ruang untuk artis juga bermuka-muka. Itu tak termasuk majalah hiburan yang berlambak di pasaran. Sesetengah artis dipilih menjadi duta produk. Artis tak berapa hendak popular pun boleh jadi duta, macam sekumpulan bintang Akademi Fantasia yang dilantik menjadi duta sebuah kolej swasta. Jadi duta atau jurucakap produk bermakna duit masuk kerana ia bukan percuma

Hendak pancing remaja atau orang ramai menyertai apa saja program sama ada sektor korporat atau agensi kerajaan pun guna nama dan wajah artis. Nak lawan nyamuk Aedes guna Aznil Nawawi. Tuala wanita pun guna artis apatah lagi jika ia babitkan produk kecantikan dan langsing badan. Baru-baru ini pula, nak ajak remaja sertai Askar Wataniah pun guna barisan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Ana Raffali dan pengarah David Teo. Begitulah pengaruh besar yang dimiliki seseorang selebriti itu.

Saingan yang semakin sengit dalam dunia hiburan dan penyiaran juga membuatkan ada artis yang sudah dipancing untuk menjadi wajah eksklusif. Tak boleh muncul di mana-mana kecuali stesen yang membayar mereka. Dengar cerita ada yang ditawarkan kontrak mencecah jutaan ringgit. Lebih untung jika diiringi wajah sempurna, memiliki bentuk tubuh yang menawan dan memiliki aura. Macam pelakon seksi, Rozita Che Wan, dia kononnya pernah membisikkan kepada seorang rakan, boleh hidup hanya dengan duit sebagai duta.

Bukan aneh pun sebab mereka memang ada nama. Duit yang diperoleh itu mampu memberikan lifestyle kepada mereka. Tak payah pergi jauh, tanya saja artis kita kereta apa yang mereka pakai dan di manakah tempat tinggal mereka. Artis yang sudah berada dalam kelas tersendiri seperti Datuk Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza memang kita tak hairan pun. Mereka memang sudah ada lifestyle. Kereta mewah, rumah gah! Tetapi artis macam Nabil yang baru dijulang sebagai juara Raja Lawak dan kemudian dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH pun sudah memakai kereta yang hanya orang yang ada duit boleh bawa.

Bagaimanapun masa orang masih sukalah mereka perlu menggunakan kesempatan itu. Itu sebab kita dengar ada artis punyalah pulun bagaikan dah tak cukup kaki tangan, dah tak tahu malam siang. Ada yang jadual bertindan, barangkali tak sedar apabila terima tawaran kerana sudah nampak bagaimana nak menggemukkan akaun. Bagaimana mereka melakukannya tak mengapa asal saja kocek kembung. Duit itulah yang memastikan mereka ada gaya dan segala-galanya. Kalau dulu lepak kedai mamak, sekarang coffee house. Itu sebab remaja berlumba-lumba nak jadi artis. Semua barangan sekurang-kurangnya memiliki gaya hidup Siti Nurhaliza. Ada yang sanggup melupakan sekolah gara-gara tarikan dunia glamor. Apabila ditanya kenapa hendak jadi artis, ada yang kata: “Saja suka-suka!” Sedihnya ramai yang tidak tahu pengorbanan dan dugaan yang terpaksa mereka lalui untuk hidup sebegitu. Tak percaya tanyalah Rosyam Nor, tanya KRU, Siti Nurhaliza dan Sharifah Aini. Sebenarnya bukan jadi artis saja, kerja apa pun, setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan. Rezeki pun bukan datang bergolek kecualilah mereka yang menggunakan gelaran artis itu untuk mengecap kemewahan dengan mudah. Pendek kata tiada jalan singkat untuk berjaya. Iyalah bukan senang nak jadi senang. Jumpa lagi

Oleh Hanizam Abdullah


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...