terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 9, 2011

Angkara Facebook !!!


Laman web sosial antara punca peningkatan masalah sosial institusi keluarga

FACEBOOK (FB), Friendster, MySpace, Multiply dan Yuwie adalah antara laman web sosial yang popular dan tidak lagi dianggap asing kepada semua semua golongan lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia celik teknologi maklumat (IT).
Kemunculan FB pertama kali diperkenalkan pada 4 Februari 2006 oleh penuntut Harvard University, Mark Zuckerberg yang awalnya hanya untuk penuntut di kampus universiti berkenaan ternyata memberikan fenomena baru di alam siber

Dengan lebih 400 juta pengguna aktif di seluruh dunia, populariti laman web sosial itu terus berkembang pesat dengan setiap saat ada pengguna baru mendaftar. Dengan jaringannya yang begitu luas menjadikan hubungan antara insan semakin mesra, rapat dan dekat. Pengguna bebas membuat profil masing-masing di samping memuatkan foto, butir maklumat peribadi dan pelbagai aktiviti mereka, selain saling mengirim pesan, bergabung dengan kumpulan, menerokai permainan dan sebagainya.

Begitulah kehebatan FB yang bukan saja mempunyai ramai ‘pengikut’ tetapi ada beberapa kelebihan lain dengan sebilangan individu taksub sehingga ada antara mereka seakan tidak dapat senang duduk jika tidak dapat melayari laman sosial itu.

Kesan positif dan negatif memang nyata dengan FB. Banyak kisah pasangan berkahwin dan mengecapi kebahagiaan rentetan perkenalan mereka menerusi FB, manakala tidak kurang FB menjadi angkara kemusnahan sesebuah rumah tangga serta mewujudkan jurang komunikasi dalam institusi kekeluargaan.

Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Singh, ketika membincangkan kertas kerja bertajuk Facebook: Media Sosial dan Impak Terhadap Keluarga”, baru-baru ini menegaskan komunikasi keluarga tidak akan terjejas akibat perkembangan IT jika mereka bijak mengawal dan memantau penggunaannya.
Harjeet berkata, peranan ibu bapa atau ahli keluarga amat penting bagi melahirkan suasana harmoni berikutan kewujudan laman web sosial itu.

“Ibu bapa dan ahli keluarga perlu faham apa sebenar FB atau lain-lain media sosial. Penggunaan teknologi digalakkan, tetapi mesti dengan cara yang sihat dan perlu dipantau bagi mengelakkan masalah seperti siber buli serta pendedahan kandungan profil yang tidak sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pengguna diingatkan supaya lebih prihatin dengan media sosial lain termasuk portal yang menawarkan hiburan dan laman blog berikutan perkembangannya yang semakin pesat kerana tidak semua memberikan persekitaran sihat untuk kanak-kanak dan remaja.

Harjeet berkata, kajian tahun lalu mendapati kewujudan FB dan Twitter memberikan kesan kepada peningkatan masalah sosial dalam institusi keluarga khususnya kes perceraian dan pertikaian antara suami isteri.

“FB tidak lagi semata-mata permainan remaja dan orang muda tetapi semakin banyak digunakan oleh pengguna dewasa. Apabila hubungan rosak, perkara seperti album foto online, profil, komen, status kemas kini dan lain-lain menjadi senjata untuk memporakperandakkan seseorang.

“Di Amerika Syarikat, kes perceraian meningkatkan kira-kira 81 peratus sejak lima tahun lalu yang disebabkan oleh laman sosial berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Southeast Asian Centre e-media, Sean Ang, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Penggunaan Facebook, Keselamatan Internet dan Kesan Terhadap Golongan Muda”, pula berkata pengguna FB perlu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap dengan sebarang ‘pencerobohan’ maklumat peribadi mengenai diri mereka termasuk, status, gambar dan apa saja dipaparkan.

“Jika ada anak anda yang mempunyai FB, perkara pertama perlu dilakukan ialah periksa tetapan (setting). Ini supaya tiada perkara tidak dibenarkan memasuki FB dan apa yang boleh atau tidak, dikongsi dengan yang lain. Meletakkan nombor telefon dalam profil tidak digalakkan.

“Pengguna sewajarnya mengambil langkah keselamatan dan bijak meletakkan sebarang maklumat peribadi bagi mengelak sebarang penyalahgunaan data berkenaan bagi tujuan tertentu,” katanya.

Selain itu, Ang berkata, pengguna FB perlu berhati-hati dengan kata laluan digunakan dan disarankan kerap menukar kata laluan berkenaan bagi tujuan sama.

Mengenai kesan FB Ang berpendapat, kewujudan laman rangkaian kerja sosial membolehkan pengguna mempunyai lebih ramai kawan, malah sejak diperkenalkan ramai yang dapat mengesan kawan lama di peringkat sekolah, kolej, universiti dan sebagainya.

Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Aziz Adam, berkata ada kes pengguna laman sosial yang tertipu dengan jantina rakan sosialnya.

Katanya, akibat mempercayai rakan sosial sama jantina, pengguna terbabit berkongsi perkara terlalu peribadi sehingga akhirnya menjatuhkan maruah dirinya sendiri.

“Inilah antara risiko bertemu dengan rakan dalam laman sosial. Apa pun sewajarnya tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi sesuka hati.

“Lebih kita khuatir, bibit jurang hubungan komunikasi antara ibu bapa dan anak juga semakin kurang kerana tumpuan lebih terarah kepada internet,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Media Sosial, Keluarga dan Keselamatan Online

Oleh Nor Affizar Ibrahim


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...