terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 3, 2011

Banyak masa terbuang tunggu KTM Komuter..


SAYA adalah antara ratusan atau mungkin ribuan pengguna setia KTM Komuter setiap hari. Sebut sahaja perkhidmatan KTM Komuter pada sesiapa sahaja pastinya komen pertama yang akan anda dapat adalah komen negatif. Begitulah sinonimnya KTM komuter dengan perkhidmatan yang buruk dan saya rasa semua penggunanya redha kerana kami tiada pilihan.

Saya menulis di sini bukan hendak menghentam kerana tiada gunanya. Saya cuma ingin berkongsi pandangan sahaja. Saya sedia maklum pihak KTM telah membeli gerabak baru/kereta api baru untuk keselesaan penumpangnya dan akan mengurangkan jarak menunggu setiap perkhidmatan kepada tujuh minit selewat-lewatnya pada bulan April 2012.

Sehingga April pengguna perlu bersabar. Situasi sekarang ini di mana kekerapan perkhidmatan KTM Komuter dibatalkan dari jadual asal perjalanannya pada waktu puncak, boleh di katakan berlaku hampir setiap hari. Puncanya tidak dapat dipastikan.

Pada pandangan saya jika perkhidmatan KTM Komuter dibatalkan atau lewat dari jadual asal, diminta perkhidmatan seterusnya dipercepatkan jadual perjalanannya. Dengan ini para penumpang boleh tiba ke destinasi tepat pada masanya.

Ambil kira jika kebiasaan mengikut jadual perkhidmatan KTM Komuter tiba pada setiap pukul 7 pagi dan perkhidmatan seterusnya adalah 7.15 pagi. Dikatakan perkhidmatan pada pukul 7 pagi dibatalkan dan penumpang terpaksa menunggu perkhidmatan seterusnya. Jumlah penumpang akan menjadi dua kali ganda untuk menaiki komuter pada pukul 7.15 pagi di setiap stesen (di sini penumpang telah lewat 15 minit untuk tiba ke destinasi).

Pada pukul 7.15 tren tiba tetapi gerabaknya telah penuh dengan penumpang dari stesen-stesen sebelumnya sehingga tidak membolehkan penumpang dari stesen yang berikut masuk. Mereka harus menunggu perkhidmatan seterusnya pada pukul 7.30 pagi. Di sini penumpang yang sepatutnya menaiki tren pukul 7 pagi terpaksa pula menaiki tren pukul 7.30 pagi (30 minit telah dibazirkan di sini).

Komuter yang sarat dengan penumpang, perjalanannya akan lebih perlahan. Perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi dengan kadar penumpang biasa dianggarkan 30 minit, tetapi apabila gerabak sarat dengan penumpang perjalanan boleh mencecah 45 minit. Ertinya 30 minit telah dibazirkan untuk menunggu dan 15 minit dibazirkan di dalam komuter yang bergerak perlahan. Jadi 45 minit masa telah terbuang.

Jika yang terlewat 45 minit itu adalah anggaran 200 orang, darab sahaja 200 x 45> 9,000 minit. Malaysia telah kehilangan 9,000 minit masa yang boleh di gunakan oleh 200 orang ini untuk bekerja. Tidakkah itu sia-sia? Jika satu minit bekerja boleh menambah pendapatan negara RM1 pastinya negara telah kehilangan RM9,000 pada hari tersebut.

Tetapi bagi pengguna tegar KTM Komuter pasti tahu jarak menunggu setiap perkhidmatan bukanlah 15 minit seperti di jadualkan tetapi sekurang-kurangnya adalah 20 minit. Perkhidmatan dibatalkan/lewat dari jadual asal berlaku hampir setiap hari. Jumlah penumpang bukanlah 200 orang. Bayangkan!

JULIZA
Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...