terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 9, 2011

Cukai: Selepas 15 tahun baru LHDN perasan terlepas pandang!


SAYA merupakan seorang pesara kerajaan pada 1996 setelah berkhidmat dalam PDRM selama 34 tahun 7 bulan. Sebelum persaraan, saya membuat penyelesaian dengan pihak JPN Bahagian Pencen bagi menjelaskan apa-apa juga tunggakan termasuk dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setelah 15 tahun saya bersara dan menjadi warga emas, baru-baru ini pada 4 Mei 2011, saya menerima sepucuk surat daripada LHDN yang bertarikh 8 April 2011 menyatakan saya masih ada tunggakan bagi taksiran tahun 2000 sebanyak RM450.90 sen.

Jika tidak dijelaskan sebelum 22 April 2011, pihak LHDN akan mengambil tindakan mahkamah dan sekatan perjalanan keluar negara mengikut Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pada 9 Mei 2011, saya pergi ke Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan berjumpa dengan pegawai pentaksir LHDN untuk berbincang dan ingin mendapatkan penjelasan kerana saya kecewa perkara semacam ini berlaku setelah 15 tahun bersara.

Penjelasan yang saya terima daripada pegawai berkenaan yang hanya menyatakan pihak LHDN terlepas pandang dan meminta saya menjelaskan juga secara ansuran bulanan mulai Mei lalu.

Sebagai seorang pesara berjawatan pangkat rendah, pencen saya tidaklah sebanyak mana dan kini pula bergelar warga emas serta keadaan kesihatan saya pun agak merosot, maklumlah umur sudah menjangkau 70 tahun.

Tunggakan LHDN itu adalah separuh daripada pendapatan pencen bulanan saya walaupun terpaksa juga membayarnya bermula Mei lalu kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang seperti disebut dalam surat arahan LHDN (CP547X) yang saya terima.

Sebagai seorang bekas anggota PDRM yang sentiasa patuh pada disiplin dan undang-undang negara, dengan perasaan kecewa, saya akur dengan arahan itu walaupun bukan atas kelalaian dan kesilapan saya.

Diharap kejadian 'terlepas pandang' sedemikian tidak berulang lagi terutamanya terhadap golongan seperti saya yang masih memerlukan wang untuk membeli ubat-ubatan tambahan walaupun mendapat rawatan percuma di hospital.

PESARA 1996
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...