terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 14, 2011

Di sebalik berbuka puasa...


SEPANJANG Ramadan ini, banyak berita dan cerita berbentuk keinsafan dipaparkan dalam media. Pelbagai kisah kesengsaraan, kesedihan dan kemelaratan disiarkan dalam akhbar, majalah dan media elektronik dengan harapan setiap mereka yang membacanya akan insaf terhadap penderitaan orang lain, khasnya seagama. Kisah penderitaan seperti ini juga diselitkan dalam ceramah agama dan tazkirah di masjid atau surau untuk menyedarkan umat Islam supaya bermuhasabah. Disebabkan ganjaran pahala amat besar dalam bulan yang mulia ini, ramai yang berasakan mereka bertanggungjawab untuk melakukan kebaikan. Pemerhatian mendapati apa saja pertolongan yang diperlukan, mereka sedia membantu. Sikap sesetengah orang pada bulan Ramadan ini agak berbeza. Selepas Ramadan selesai, mereka kembali ke perangai lama.

Setiap masjid dan surau menyediakan tabung untuk kutipan derma. Ada derma untuk membantu orang yang susah, menampung belanja perubatan, membantu mangsa tragedi, membina sekolah agama, surau, masjid dan sebagainya. Biasanya, tabung kosong yang disediakan, apabila dibuka pasti akan ada isinya. Orang ramai memberi sumbangan mereka dengan ikhlas dan rela hati. Penyatuan umat Islam amat dirasakan seolah-olah mereka benar-benar menghayati makna bahawa umat Islam perlu saling membantu sesama sendiri – yang berada membantu yang tidak berada manakala yang kaya pula membantu yang miskin. Jika keadaan ini berterusan sepanjang masa, alangkah baiknya. Keadaan ini tidak begitu dirasakan di luar Ramadan seolah-olah bulan lain itu bukan bulan ibadat.
Atas kedudukannya sebagai bulan yang penuh berkat, Ramadan adalah bulan yang diberi kelebihan untuk setiap umat yang melakukan apa saja ibadat. Kebanyakan masjid dan surau menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Sesiapa saja boleh menikmati makanan yang disediakan tanpa ada siapa pun boleh menghalang. Mereka yang tidak dikenali sekali pun boleh membuka puasa bersama jemaah lain. Di mana-mana masjid dan surau sekali pun, ada saja jamuan berbuka puasa disediakan. Ia terbuka kepada setiap umat Islam, miskin dan kaya dan tua dan muda. Bagi golongan miskin, inilah bulan yang mereka boleh menikmati makanan lazat. Selepas bulan puasa, mereka makan seperti biasa semula

Sebelum Ramadan, mereka tidak akan hadir pada majlis yang mereka tidak diundang atas dasar maruah diri. Bulan puasa mengajar manusia bahawa walau apa pun kedudukan dan status, ada pengajaran di sebaliknya. Mereka yang hidup mewah akan berasa azab mereka yang sering lapar dan dahaga akibat kemiskinan manakala mereka yang hidup miskin dapat menikmati makanan lazat pada bulan puasa ini hasil jamuan atau sumbangan orang ramai.

Di pejabat, kelab atau di hotel juga, suasana tetap meriah ketika berbuka puasa walaupun ramai yang mengeluh melihat kepada harga yang naik begitu mendadak. Tetapi, untuk meraikan tetamu dan pelanggan, ia tetap diadakan di tempat istimewa. Di bandar raya Kuala Lumpur dan bandar besar lain, boleh dikatakan hampir semua hotel menyediakan pakej dan juadah berbuka puasa untuk menarik pelanggan. Kebanyakan majlis di hotel biasanya dibiaya oleh sektor korporat. Tidak semua orang boleh mengadakan majlis berbuka puasa di hotel kerana belanja yang besar. Seperti kebiasaannya, pada setiap malam, banyak syarikat, pertubuhan, kelab termasuk jabatan dan agensi kerajaan meraikan tetamu masing-masing pada majlis berbuka puasa untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Tetamu pula menerima lebih daripada satu undangan untuk hadir setiap malam.

Disebabkan setiap orang boleh berada pada sesuatu tempat pada sesuatu masa dan makan terpaksa mengikut keperluan, mereka terpaksa membuat pilihan. Oleh itu, kebanyakan majlis kekurangan tetamu. Tidak ramai yang mampu berkejar ke dua atau tiga tempat yang berbeza dan makan sebanyak mungkin dalam bulan puasa ini. Lagi pun, masa amat terbatas kerana selain waktu menikmati juadah, mereka juga perlu memberi masa untuk menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak diikuti sunat Tarawih. Bagi hotel, sama ada tetamu kurang atau tidak, sama ada makanan tidak habis atau sebaliknya, ia bukan masalah mereka. Mereka sudah pun menyediakan makanan mengikut jangkaan kehadiran tetamu. Jika tidak ramai yang datang, bukan salah mereka. Penganjur perlu membayar kos yang ditetapkan sedangkan tetamu yang hadir tidak seramai diharapkan.

Pada Ramadan ini juga, ada juga orang begitu sukar mencari waktu berbuka di rumah sendiri, terutama mereka yang menetap di Lembah Klang. Selain daripada menerima undangan setiap malam, mereka juga menghadapi kesukaran untuk mengurus perjalanan akibat kesesakan jalan raya yang berlaku setiap hari. Untuk sampai ke sesuatu destinasi, mengambil masa yang panjang akibat tersangkut di tengah jalan. Ramai yang menyediakan bekalan di dalam kereta sekiranya sewaktu dalam kesesakan azan berkumandang.
Pada Ramadan juga, rumah-rumah kebajikan khasnya rumah anak yatim agak mewah kerana ramai umat Islam yang ingin menghulurkan sumbangan. Anak yatim diundang menghadiri majlis berbuka hampir setiap malam. Mereka juga terpaksa dibahagi-bahagikan untuk memenuhi undangan yang banyak. Sepanjang Ramadan ini, rumah anak yatim mendapat layanan yang paling istimewa. Setidak-tidaknya kesedihan mereka kerana ketiadaan orang yang tersayang terubat juga

Oleh Mior Kamarul Shahid


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...