terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 9, 2011

Hadkan masa elak gejala pegang jawatan terlalu lama..


SAYA ingin mencadangkan agar kerajaan mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua jabatan pada semua peringkat jabatan Persekutuan dan negeri kepada lima hingga tujuh tahun bagi mengelakkan gejala jawatan tertentu dibolot oleh orang tertentu untuk jangka masa terlalu lama sehingga boleh menyebabkan berlaku salah guna kuasa.

Bagi ketua unit atau penyelia, saya mengesyorkannya dihadkan kepada tiga hingga lima tahun. Sepanjang pemerhatian yang dilakukan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia, saya mendapati ada sebilangan pegawai kanan kerajaan yang dilantik memegang jawatan tertentu dinaikkan pangkat kepada jawatan lebih kanan di pejabat sama sehinggalah kekal di situ untuk tempoh panjang.
Apa yang berlaku hanya pertukaran dari bilik kecil kepada bilik besar, menyebabkan ada jabatan seolah-olah menjadi ‘hak milik’ mereka selama kira-kira 20 tahun, manakala ada pula pegawai yang menghuni di sesebuah jabatan, dari mula berkahwin sehingga mendapat cucu atau mencapai usia persaraan wajib

Keadaan ini merugikan jabatan itu sendiri, malah perkhidmatan awam Malaysia dipandang mengamalkan ‘double standard’ dan memberi gambaran negatif kepada generasi baru bahawa jabatan kerajaan juga ada ‘pasukan’ tersendiri atau ‘rangkaian kerja’ tersembunyi yang membina dinding kebal bagi penyandang dan kroninya dengan pihak atasan di ibu pejabat negeri atau pusat.

Walaupun kecil bilangannya, ia tetap memberi igauan ngeri kepada bakal penjawat awam. Lebih menyedihkan ada segolongan pekerja bawahan diarahkan ke beberapa jabatan, daerah atau negeri lain sedangkan ketuanya kekal di jabatan sama.

Keluh kesah pegawai muda atau penjawat awam yang baru seharusnya diberikan perhatian serius demi mewujudkan perkhidmatan awam Malaysia bertanggungjawab.

Ketidaksempurnaan pentadbiran sesebuah kerajaan juga akan menggugat prestasi perkhidmatan dan jabatan, seterusnya memberikan kesan negatif seperti terlalu selesa di sesuatu tempat yang boleh mengundang gejala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, ketirisan, rasuah dan sebagainya.
PEMERHATI KERAJAAN,
Tanjung Lumpur, Kuantan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...