terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 14, 2011

Hampir gila kerana suami..


NASIHAT ibu tidak baik bercerita keburukan suami pada orang lain. Jatuh maruah suami, akibatnya rumahtangga tidak bahagia. Sebab suami akan berasa malu dan akan sentiasa simpan dendam kepada kita.

Kerana itu selama lebih 10 tahun saya diamkan diri atas apa juga kelakuan buruk suami saya. Akibatnya saya terpaksa telan ubat tidur, dan akhirnya terpaksa jumpa doktor kemudian dinasihatkan telan ubat penenang.

‘‘Semua masalah ini berlaku kerana saya mendiamkan diri, dengan harapan satu hari nanti suami akan berubah, selalu solat minta tolong pada Allah. Malangnya saya bukan wanita jenis yang boleh berdikari. Perbuatan mendiamkan diri memakan diri, saya jadi murung dan menghadapi pelbagai jenis penyakit termasuk tekanan darah tinggi.’’ Demikian cerita Nooraina dalam emelnya dan ketika kami berbual di telefon.

‘‘Memang ujian Allah kepada saya amat berat. Kini sudah empat wanita yang dijanjikan akan diambil jadi isteri ditinggalkan setelah wang ringgit dan barang kemas mereka habis digunakannya oleh suami saya Ikram. Malangnya bila tak jadi kahwin saya dimaki hamun sedangkan saya tak pernah berhutang dengan mereka.

‘‘Seperti biasa Ikram menghilangkan diri, tak mahu bertanggungjawab dia tak pernah insaf, sebaliknya dia akan mencari mangsa baru yang cepat percaya pada penampilannya, kata-katanya dan pujuk rayunya. Semua dia janji nak kahwin tapi tak jadi.

‘‘Kalau dulu mangsa Ikram gadis lanjut usia (andalusia) atau ibu tunggal, tetapi terbaru mangsanya isteri orang, Shery namanya. Saya tak mahu Ikram buat dosa, saya suruh kahwin tetapi dia tak mahu konon takut kehilangan anak.

‘‘Saya dah berjanji padanya selepas bercerai nanti dia boleh ambil empat orang anak kami pada bila cuti sekolah atau hujung minggu untuk tinggal dengannya. Saya tak halang malah saya galakkan dia kahwin. Apa lebih penting dia mesti bagi nafkah anak-anak.

‘‘Nak berpoligami pasti tak mampu, anak empat, rumah masih menyewa, kalau saya tak bantu pasti anak-anak tak ke sekolah. Tapi perangainya dari muda sampai umur 40-an masih tak habis-habis bercinta. Kahwin tak mahu, agaknya dia takut tembelangnya pecah, sebab suka menipu, konon gaji besar dan berpangkat, tapi masih jadi kuli.

‘‘Kes terbaru Ikram buatkan saya naik angin, mengapa dia nak runtuhkan rumah tangga orang lain. Tak ingat ke dosa dan pembalasan hari akhirat. Yang si Shery tu pun satu bab. Suka ceritakan masalah rumah tangga pada lelaki, kena lelaki hidung belang macam Ikram, habis wang ringgit dan barang kemas tergadai.

Kesepian

‘‘Shery mengadu pada Ikram konon kesepian, suami selalu tinggalkan dia sebab kerja luar, dia yang terpaksa uruskan anak-anak sendirian. Dia tak fikirkan berapa ramai wanita lain yang tinggal sendirian kerana suami bertugas jadi tentera, polis, dan macam-macam lagi. Bukan suaminya tak balik rumah atau ada perempuan lain, bolehlah susah hati macam saya. Ini suami belayar ada ketikanya, berminggu-minggu dia di rumah takkan tak boleh sabar.

‘‘Dua tahun lamanya hubungan mereka berjalan secara sembunyi dan selama itulah mereka buat dosa ketika suaminya pergi belayar. Akhirnya busuk bangkai terbau juga. Si suami dapat tahu dan mereka berperang hingga hendak bercerai. Ketika itulah Ikram jadi kelam kabut, dia takut nak bertanggungjawab sebab dia memang tak mampu nak tanggung dua keluarga. Seperti biasa tindakannya menghilangkan diri daripada Shery. Akhirnya saya jadi mangsa bergaduh dengan Shery sebab dia tuduh saya sembunyikan Ikram.

‘‘Ketika itulah baru rahsia mereka terbongkar, Ikram telah menggadaikan barang kemas Shery, meminjam banyak duit Shery dari kad kredit yang diberikan oleh suaminya. Ketika itulah skandal Shery terbongkar. Shery tak dapat sembunyikan dari suaminya. Setelah beberapa bulan bertelagah, akhirnya mereka bercerai.

‘‘Kini sudah enam bulan Ikram memutuskan hubungannya dengan Shery, sebab itu Shery beritahu semua masalah dia pada saya, sebab dia nak minta Ikram pulangkan semula barang kemas dan duitnya. Pada Shery terus terang saya ucapkan selamat mencuba, sebab saya tahu Ikram takkan bayar balik duit dia. Kerana itu yang terjadi kepada wanita lain sebelum ini.

‘‘Saya beritahu Shery saya tak marah dia gilakan Ikram sebab saya tahu perangai Ikram. Dan saya beritahu dia kalau dia mahukan Ikram berusahalah cari dia, saya rela bercerai. Malangnya setelah tahu siapa Ikram sebenarnya, Shery langsung tak berminat hendak kahwin dengan Ikram. Selain nak minta ganti kerugian.

‘‘Saya nasihatkan Ikram jangan aniaya Shery seperti wanita lain. Dia dah kena cerai, jadi dia kenalah bertanggung jawab. Kasihan dia hidup tak tentu hala, anak-anak dah dipisahkan, yang besar suami ambil yang kecil tinggal dengan Shery. Lebih besar masalahnya, dia terpaksa keluar rumah dan menyewa kerana suaminya dapat buktikan dia ada skandal dengan lelaki lain. Nak lawan kat mahkamah Shery malu takut lebih banyak keburukannya terbongkar.

‘‘Itulah nasib wanita silap langkah ada skandal dengan lelaki lain, hukumannya dia diceraikan. Hidupnya kucar kacir di samping malu dengan jiran tetangga dan rakan taulan. Tetapi beza dengan orang lelaki, buat skandal dengan berapa ramai wanita sekali pun dia tak pernah rasa malu, malah bermegah dia masih boleh tunjuk garang dengan isteri dan buat skandal lagi. Seolah-olah dia tak takut dengan pembalasan Allah.

‘‘Itulah bezanya antara lelaki dan wanita, sebab dia ada kuasa talak. Dia boleh ceraikan isteri pada bila-bila masa mengikut pilihan hati dan keadaannya, berbeza dengan wanita, kalau suami berzina pun dia tak boleh ceraikan suami.

‘‘Begitulah hebatnya kuasa lelaki kerana dia ada kuasa jatuhkan talak kepada isterinya. Kini dua orang wanita jadi mangsa Ikram, saya dan Shery. Saya dianiaya dengan tekanan perasaan, kalau tak cukup kuat iman mungkin boleh masuk hospital bahagia. Sementara Shery kerana kesilapan percaya pada lelaki, akibatnya dia diceraikan oleh suaminya.

‘‘Kesimpulannya, saya suka menasihatkan wanita baik isteri orang, gadis ataupun janda, jangan tersalah langkah hidup anda boleh hancur. Jangan percaya pada lelaki yang suka memujuk rayu. Nanti anda kena tipu. Lelaki ada kuasa kerana dia ada talak.’’ Demikian cerita Nooraina panjang lebar tentang perangai suaminya hingga membuat dia hampir gila.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...