terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 13, 2011

Isu murtad bongkar kepincangan agensi kebajikan, Baitulmal..


PEMBONGKARAN kes sekumpulan umat Islam yang terpaksa menerima perlindungan di sebuah gereja di Selangor kerana kesempitan hidup minggu lalu mengingatkan penulis kepada keputusan diambil pengurusan Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh Subang Jaya sekitar dua tahun lalu.
Pusat ini menerima lapan pesakit HIV Muslim yang sebelum itu bernaung dalam gereja di Petaling Jaya bagi menyelamatkan akidah mereka. Menurut pesakit, ada di kalangan mereka dibaptiskan ketika nazak dan dikuburkan sebagai Kristian. Kebanyakan pesakit sudah lama terputus hubungan dengan keluarga. Apabila mati, tiada waris menuntut. Seorang pesakit memberitahu, dia nekad keluar dari gereja itu selepas melihat rakannya meninggal dunia akibat tibi.

“Jenazahnya yang tidak dituntut keluarga diuruskan ikut cara Kristian, sedangkan dia Muslim. Memang banyak rumah perlindungan untuk pesakit HIV lelaki, tetapi semuanya diuruskan gereja Katolik, sedangkan ramai pesakit ialah Melayu-Islam. Saya percaya ramai lagi rakan sebangsa ingin keluar dari gereja itu, namun tiada tempat lain dituju” katanya yang berasal dari Kuala Selangor.

Berdasarkan maklumat, tempat perlindungan dikelola mubaligh dan aktivis Kristian tidak semestinya gereja. Banyak yang dipanggil rumah kebajikan masyarakat atau WCH (welfare community homes). Hari ini, dianggarkan 3,000 pesakit HIV lelaki Islam tinggal di gereja dan WCH sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, ada pandangan bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga memberi hak kepada warga negara Malaysia yang cukup umur, iaitu 18 tahun memilih sendiri agamanya, termasuk menukar agama. Hujah ini diperkuat kes gadis Cina Kelantan, Suzie Teoh yang mengaku masuk Islam pada umur 16 tahun. Ibu bapanya memohon perintah mahkamah untuk mengisytihar tindakan anak mereka tidak sah. Dalam tangisan, Allahyarham Tun Salleh Abas yang mengadili kes itu mengesahkan Teoh kekal dalam agama asalnya. Namun, dua tahun kemudian, kes dibuka semula dan dalam tangisan, Teoh memberitahu mahkamah: “Saya Yang Arif, kekal dalam agama saya, saya masih dengan nama Nur Aini”.

Jadi, apakah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Adakah ia berfungsi secara politik atau perundangan atau sekadar untuk acara rasmi saja? Beberapa peguam melahirkan keresahan kerana apabila berlaku pertembungan antara hukum syarak dan sivil, hukum syarak ‘kena’ beri laluan kerana Perkara 4 Perlembagaan menyebut mana-mana undang-undang yang bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan adalah terbatal dan tidak sah. Ini termasuklah hukum syarak.

Sekitar 1987, Jamaludin Othman yang menjadi Kristian dengan nama Jeshua, ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memesongkan akidah ramai anak Melayu. Namun, dia dibebaskan mahkamah atas alasan kebebasan beragama, berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Sementara pakar undang-undang membincangkan hal ini, hakikatnya ramai orang Islam yang murtad. Rekod rasmi menunjukkan pada 1989 ialah 4,776 Islam murtad, manakala pada 1997 hingga 1998, bilangan orang Islam yang mohon menukar kepada agama Kristian ialah 3,516. Tidakkah ini menggerunkan?

Gerakan mengkristiankan orang Islam di Malaysia bermula sejak kedatangan Portugis dan Belanda ke Nusantara, kemudian dijalankan penjajah Inggeris sehingga kepada kumpulan mubaligh dan gereja Kristian hari ini. Gereja Merah di Melaka, kubu A Famosa dan tugu St Francis Xavier antara peninggalan sejarah kristianisasi di negara ini. Menurut Pusat Islam California, pendakwah Kristian menjadikan Malaysia sasaran mereka. ‘Window 10/40’ adalah singkatan kepada usaha mengkristiankan penduduk negara di antara garis lintang 10 dan 40 darjah di peta dunia.

Antara kes bersejarah ialah membabitkan Natrah, anak gadis Belanda beragama Islam yang dimurtadkan. Peristiwa yang berlaku enam dekad lalu menyebabkan orang Melayu-Islam merusuh satu negara. Kes lain dalam ingatan termasuk Lina Joy, Nor Aishah Bokhari yang kahwin lari dengan pemuda bukan Islam dan Hartina Kamaruddin, wanita Perak yang menukar nama kepada Nivasni Rajeswari.

Sebelum kecoh pasal penahanan kitab Injil dalam bahasa Melayu cetakan Indonesia baru-baru ini, timbul peristiwa sama pada 1997. Jabatan Agama Islam Johor dan Kementerian Dalam Negeri merampas 250 buku ajaran Kristian berbahasa Melayu, termasuk bertajuk Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenali Rasul.

Di dalamnya ada kalimah ‘Allah’, ‘imam’ (untuk paderi), ‘nabi’, ‘malaikat’ dan istilah lain yang lazim kepada Muslimin. Sekali pandang, macam buku agama Islam. Ini adalah taktik, termasuk menggunakan nama penulis Melayu, misalnya buku Circumcised Heart karangan Hilmy Nor (Kairos Research Centre).

Dalam kes di DUMC, kitab Injil yang sama didapati diberikan kepada 12 orang Islam yang kononnya beriftar di situ. Ada gesaan daripada beberapa pihak agar polis siasat wujudnya kertas kuiz mengenai Islam ketika pemeriksaan JAIS. Antara soalannya bertanyakan maksud perkataan Islam, Muslim dan Quran. Juga ditanya malaikat yang menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad. Selain itu, ada juga nyanyian ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahuakbar’ pada majlis itu. DUMC dikatakan sering dikunjungi sehingga 100 ibu tunggal Muslim yang melarat.

Ada pihak membangkitkan apa salahnya orang Islam ke gereja seperti bukan Islam ke masjid. Ada juga menentang tindakan JAIS kerana berlawanan dengan semangat 1Malaysia, malah ada yang mahu Perlembagaan dipinda agar orang Islam juga bebas memilih agama.

Ketika perpaduan nasional dan keharmonian kaum menjadi matlamat negara, soal utama ialah kesucian dan kedaulatan Islam. Bagi Muslimin, ini adalah perkara wajib. Tidak ada kompromi kerana mendaulatkan kedudukan Islam adalah jihad. Penganut agama lain dan warga negara Malaysia harus memahami prinsip ini.

Satu lagi perkara berbangkit ialah keberkesanan kementerian dan agensi yang diwajibkan untuk membantu golongan yang miskin dan memerlukan. Apabila kes ini dibawa ke mahkamah kelak, pihak berwajib perlu mengkaji semula mekanisme dan kecekapan mereka menyalur bantuan agar tidak ada lagi orang Islam yang mengemis kepada gereja. Ini sangat memalukan.

Jika dibaca Buku Jingga, sepatutnya tidak ada lagi ibu tunggal yang daif di Selangor tetapi kerana janji ditabur dan tidak dikota, orang Islam miskin negeri ini terpaksa merempat di gereja. Dilaporkan juga kementerian bertanggungjawab memperuntukkan RM1.2 bilion untuk membantu 450,000 orang , tapi yang pasti ia tidak dapat dinikmati ibu tunggal Muslimin yang ke gereja untuk mendapat makanan. Jika kita yakin zakat dan Baitulmal ialah sistem Islam terbaik bagi mengatasi kemiskinan dan mewujudkan keadilan sosial, kenapa ini tidak berlaku dalam masyarakat kita?

Oleh Juhaidi Yean Abdullah



Penulis ialah Yang Di Pertua Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...