terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 23, 2011

Kedudukan betul menyusu baby anda....


BAGI ibu, detik terbaik untuk berkomunikasi dengan bayi adalah waktu menyusukan bayi kerana pada ketika itu, seolah wujud pertalian erat antara anak dan ibu walaupun si kecil belum pandai berkata-kata untuk meluahkan rasa kasih sayang mereka terhadap ibu yang melahirkan.

Sama ada menyusu badan atau menggunakan botol, ibu pastinya akan merenung dan menghayati detik demi detik si kecil menghabiskan susu di dalam botol atau ketika bibir mungil si kecil melekat di dada ibu.
Namun, dalam pada berjaga-jaga menghayati tumbesaran si kecil, ada juga berlaku kes si kecil tercekik susu, lantas membawa musibah kepada kematian walaupun ia mungkin boleh dihindari.
Sehubungan itu, ada banyak keadaan yang perlu diawasi ibu ketika bayi mereka menyusu. Sama ada menyusu dari badan sendiri atau menggunakan botol, pemerhatian perlu dilakukan supaya si kecil selamat menelan susu yang dihisap.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Perunding Laktasi, Rita Rahayu Omar, berkata apabila menyusu, posisi atau kedudukan bayi adalah penting bagi memastikan bayi selesa dan dapat menyusu dengan betul.

“Keselesaan dan keupayaan bayi melekap dengan betul adalah dua perkara penting yang sering diutamakan ketika menyusu. Sebenarnya, ibu boleh menggunakan sebarang kedudukan yang bersesuaian asalkan dirinya dan juga bayi selesa.

“Mendukung adalah keadaan paling biasa digunakan. Letakkan bayi berhadapan dengan perut. Muka dan lututnya pula perlu rapat ke tubuh anda. Kepalanya perlu menghadap payu dara anda dengan mulut menghala tepat ke puting anda. Cara sebegini memberi peluang kepada anda memangku bayi dengan selesa,” katanya ketika dihubungi melalui e-mel, baru-baru ini.
Rita Rahayu berkata, untuk keselesaan tambahan, ibu digalakkan menggunakan bantal menyusu kerana penggunaan bantal sedikit-sebanyak dapat mengurangkan rasa lenguh akibat terlalu lama memangku si kecil.

“Kaedah mendukung bersilang pula amat baik bagi yang mengalami masalah penyusuan, menyusukan bayi yang bersaiz kecil atau pramatang. Kedudukan bayi sama seperti ketika dia berada dalam posisi mendukung dan pastikan dia berada sama paras dengan payu dara dengan tubuhnya menghadap anda.

“Cara ini membolehkan ibu menggunakan tangan dengan lebih berkesan dengan memegang bahagian belakang kepala bayi sementara sebelah tangan lagi mengampu payu dara,” katanya.

Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan (caesarean), memiliki bayi bersaiz kecil, payu dara bersaiz besar atau puting rata, kaedah ini sangat disarankan.

“Ibu boleh membaringkan bayi di sisi dengan kepalanya berada dalam tapak tangan ibu manakala bahagian belakangnya berada dalam lengan. Kepit kakinya menggunakan tangan. Kaedah begini sesuai diamalkan terutama ketika waktu tidur atau ketika ibu berehat.

“Perut bayi seharusnya menghadap perut ibu. Puting ibu pula perlu bertentangan dengan mulutnya. Jika bayi masih kecil, ibu boleh meletakkan gulungan tuala di bahagian belakangnya bagi mengelakkan bayi berguling,” katanya sambil menambah kaedah itu juga sesuai untuk ibu yang bersalin secara pembedahan.

Satu lagi kedudukan ialah posisi biologikal (biological nurturing), yang mana ibu berada dalam keadaan menyandar sedikit supaya graviti dapat membantu pengeluaran susu. Bayi diletakkan di atas dada ibu supaya ia akan merasa lebih stabil dan selamat.

Namun, katanya, bagi bayi yang menyusu botol, bayi digalakkan berada pada posisi separa duduk dan bukannya berbaring.

“Paras botol pula haruslah mendatar (horizontal) sama paras dengan kepala bayi yang mana bayi akan dapat mengawal pengambilan susu itu dengan hisapannya. Kaedah ini dipanggil paced bottle feeding,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik-baik susu untuk tumbesaran si kecil adalah susu ibu kerana ia mengandungi seribu kebaikan selain meningkatkan tahap keintiman antara ibu dan bayi, seterusnya membentuk sahsiah bayi menjadi anak yang cergas dan sihat

Oleh Shaidah Shafie


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...