terima kasih buat kalian semua..

Thursday, August 11, 2011

Keluarga hebat daripada isteri hebat !!!


ALANGKAH beruntung suami yang dikurniakan ‘syurga dunia’ iaitu isteri solehah. Rasulullah bersabda yang bermaksud; “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan engkau apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu.” (Hadis riwayat Nasa’i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim).

Jika merancang berumah tangga, pilih jodoh yang ditetapkan agama supaya berkekalan ke akhir hayat

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan empat ciri iaitu kerana harta benda�nya, keturunannya (kemuliaan keturunan), kecantikannya dan pegangan agamanya. Oleh itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Bolehkah kita selidiki apakah tanda atau ciri seorang isteri solehah? Antaranya ialah mentaati suami dan mengasihinya sepenuh perasaan.


Isteri solehah sentiasa memohon kemaafan suaminya meskipun melakukan kesalahan. Maka, amalan itu melambangkan mereka berhak digelar wanita berkeperibadian unggul

Selain itu, isteri solehah sentiasa mencurahkan keimanan kepada Allah dengan sepenuh hati. Isteri berhak menasihati suami jika mereka tersilap langkah, tetapi perlu secara bijaksana selain mendokong tugas suami mentadbir keluarga.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih serta sayang.” (Surah Ar-Rum ayat 21).

Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dan calon isteri solehah? Apabila mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak serta menjadi contoh kepada anak.

Suami perlu banyak bersabar serta saling menasihati isterinya dengan penuh hikmah. Daripada Aisyah r.a yang menceritakan: ‘Aku bertanya Rasulullah; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?”. Jawab Nabi; “Suaminya”. Aku bertanya lagi: “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?”. Jawab Nabi; “Ibunya”. (Hadis riwayat al-Hakim).

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya, dia akan masuk syurga”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi).

Islam mewajibkan seorang isteri melayani tuntutan suaminya dengan baik selepas ikatan ijab dan kabul. Memang benar, bukan mudah mendapat tingkatan isteri solehah.

Paling utama, wanita itu perlu berusaha mengikis sebanyak mungkin sifat mazmumah dalam dirinya selain bergantung pengharapan sepenuhnya kepada Allah Taala.

Tidak kira suami atau isteri, masing-masing punyai kekurangan diri yang dilengkapi pasangan masing-masing. Namun, isteri tetap perlu menjalankan ‘tugas’ utama - menghormati suami dalam apa jua keadaan.

Fuqaha bersepakat me�ngatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suami. Mereka dilaknat selagi tidak bertaubat.

Nusyuz ditakrifkan sebagai seorang isteri yang tidak melakukan ketaatan terhadap suaminya. Namun, Islam meletak beberapa panduan jika suami berdepan dengan masalah isteri nusyuz.

Antaranya, jika berasakan isterinya ada tanda nusyuz seperti menjawab percakapan suami dengan nada yang kasar, bermasam muka, disunatkan suami memberi nasihat kepada isterinya terlebih dahulu.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian paling atas. Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; jika engkau membiarkannya dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 1468).

Justeru, kepada wanita bersegeralah melakukan perkara yang boleh membahagiakan suami dan rebutlah peluang sementara masih diberikan waktu ini menuju ke syurga
dengan melaksanakan kewajipan mentaati suami.

Penceramah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata kita boleh mencontohi bagaimana bapa Imam Malik memiliki zuriat yang hebat kerana pendidikan bermula kepada isteri.

“Begitulah hebatnya insan bergelar isteri. Nabi Muhammad sendiri tidak pernah bersedih kecuali selepas isterinya, Siti Khadijah meninggal dunia.

“Hakikatnya, di sebalik kehebatan sesebuah keluarga itu datang daripada isteri hebat. Nabi pernah bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan perhiasan yang baik ialah isteri yang solehah”,” katanya.

Katanya, apabila mahu berkahwin, seorang lelaki perlu mencari isteri beragama, baik tingkah lakunya, tahu membaca al-Quran dan inginkan ilmu pengetahuan.

“Selepas anak dilahirkan, ibu bapa perlu memberikan nama yang baik kepada anak mereka. Jangan beri nama yang pelik sehingga sukar untuk disebut.

“Nama yang disukai Allah seperti Abdul Rahman. Ada nama elo,k tetapi sebutan tidak sesuai seperti Rokiah dipanggil Rock atau Fatimah menjadi Fatty,” katanya.

Beliau berkata, memberi nama yang baik terhadap anak itu satu doa dan selepas anak dilahirkan lakukanlah ibadah akikah dan beri mereka didikan agama sempurna.

“Sampai umur tujuh tahun, jika tidak solat, rotanlah mereka malah sebelum berjimak, pastikan berdoa kepada Allah terlebih dahulu.

“Pastikan anak dan isteri sentiasa mencium tangan ketua keluarga selain memberi penghargaan dan hadiah antara suami isteri,” katanya.

Sementara itu, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, berkata isteri solehah perlu berusaha menjadi isteri idaman suami.

“Ikut contoh Siti Khadijah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menyenangkan hati nabi. Beliau sanggup menderma tulangnya untuk agama apabila meninggal dunia.

“Jika suami hendak tidur atas riba isteri, jangan pula menolaknya. Belai rambut suami supaya dia rasa lega. Isteri solehah juga tidak akan keluar rumah tanpa keizinan suaminya.

“Panggillah suami anda de�ngan dengan panggilan paling romantis seperti ‘sayang’ atau ‘darling’ dan kekalkan panggilan itu setiap masa,” katanya.

Katanya, banyak perkara yang isteri ambil mudah, contohnya suami meminta isteri garu di belakangnya atau diurut, jangan pula kata tidak boleh kerana ia boleh menyebabkan suami berkecil hati,” katanya.

Beliau berkata, isteri solehah perlu ada sifat rendah diri serta pandai menyimpan rahsia suami dan rumah tangga mereka.

“Nabi Muhammad berkata ‘rumahku syurgaku’ walaupun rumah baginda tidak memiliki apa-apa,” katanya.

Katanya, anak yang sudah berkahwin jangan lupa kepada ibu bapa kerana doa mereka menjadi keredaan hidup di dunia dan akhirat.

“Jangan biarkan ibu bapa menangis dan tidur dengan linangan air mata kerana ting�kah laku anda,” katanya.

Beliau berkata isteri tidak boleh sesekali menengking suami walaupun niat asal mereka untuk menegur.

“Gunakan bahasa yang lembut serta berdiplomasi.

Untuk mengubah sikap isteri atau suami, cuba amalkan ayat daripada Surah Al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk dan terbelah kerana takut kepada Allah. Itulah contoh, Kami berikan untuk manusia, mudah-mudahan mereka memikirkannya.”

“Doa itu sesuai melembutkan hati anak dengan meniup di ubun-ubun dan bagi suami, tiupkan di tengkuk,” katanya

Oleh Mohd Fadly Samsudin

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...