terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 2, 2011

Liat bangun sahur...


SETIAP kali menjelang Ramadan, kanak-kanak antara yang paling seronok menyambutnya, mungkin kerana memikirkan ia petanda Hari Raya bakal tiba. Walaupun tidak mampu menunaikannya sepanjang hari, sekurang-kurangnya, ada yang berusaha untuk sama-sama berpuasa bersama keluarga.
Lebih meriah apabila tiba waktu berbuka, si kecillah yang paling bising dan diberi keutamaan di meja makan, terutama yang berusaha untuk berpuasa. Apa saja permintaan, cuba dituruti ibu bapa.
Namun, cabaran melayan kerenah si kecil yang berlapar dan nafsu mahu pelbagai juadah ketika berbuka, tidak sehebat cabaran mengejutkan kanak-kanak untuk bersahur. Orang dewasa pun liat untuk bangun sahur inikan pula kanak-kanak, terutama yang baru belajar berpuasa.

Tabiat kanak-kanak yang terlalu aktif ketika waktu siang adalah antara punca mereka liat bangun sahur.

Banyak tenaga dikeluarkan selepas aktif bermain, justeru, tidur malam yang panjang diperlukan untuk kembali bertenaga keesokan harinya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata jika waktu siang kanak-kanak terlalu aktif dan tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit liat untuk bangun sahur di awal pagi.
“Bagi menggalakkan anak-anak berpuasa dan bangun sahur dengan mudah, ibu bapa perlu mengawal aktiviti mereka pada siang hari terutama pada bulan puasa. Ibu bapa perlu memastikan si kecil tidur lebih awal supaya mendapat rehat yang cukup dan seterusnya mudah untuk mereka bangun sahur.

“Begitu pun, kanak-kanak akan mudah menerima perubahan aktiviti harian jika kena pada gaya dan kaedah pujukan yang sesuai. Oleh kerana anak mudah dididik, maka bergantung kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak berpuasa dan kadang-kadang tidak hairan jika kanak-kanak lebih mudah bangun sahur daripada orang dewasa lain dalam keluarga,” katanya.

Dr Mariani berkata, pelbagai cara menarik dan kaedah yang betul boleh diamalkan bagi memudahkan si kecil bangun sahur. Beberapa hari sebelum memasuki bulan puasa, mereka seharusnya didedahkan dengan persekitaran bangun sahur sama ada menerusi perbualan harian, mahu pun bahan bacaan atau tontonan rancangan televisyen yang memaparkan keseronokan bangun sahur.

“Kaedah itu penting kerana kita mahukan kanak-kanak bertanya sendiri secara terus sekali gus dapat berbual mengenai perkara yang dipaparkan menerusi keinginannya untuk mengetahui sesuatu perkara.

“Setiap maklumat yang disampaikan adalah perkara baru bagi mereka dan ia akan menjadi perkara yang bermakna serta kemungkinan akan menimbulkan keinginan untuk melalui pengalaman bersahur selain mengetahui apa itu sahur dan sebagainya.

“Selain itu, kanak-kanak akan mudah bangun jika apa yang menjadi keseronokan pada mereka boleh berlaku. Kanak-kanak juga mempunyai makanan kegemaran masing-masing.

Sehubungan itu, jadikan makan sebagai isu utama dengan menyediakan makanan yang mereka gemari selain pelbagaikan selera setiap hari. Maklumkan kepada anak sebelum mereka masuk tidur mengenai sajian menu kesukaan mereka yang akan disediakan apabila bangun sahur nanti,” katanya.

Bagi lebih menggalakkan kanak-kanak bangun sahur, Dr Mariani berkata, ibu bapa seharusnya menggunakan perkataan dan panggilan nama yang sesuai ketika mengejutkan mereka supaya ia boleh membuatkan mereka seronok dan keinginan yang tinggi untuk bangun sahur.

“Antara kaedah lain yang sesuai, ibu bapa juga boleh memainkan muzik atau lagu dengan nada kekuatan yang bersesuaian ketika mengejutkan mereka terutama lagu yang mereka suka. Sebagai usaha lain dan terus menggalakkan kanak-kanak mudah bangun sahur, ibu bapa boleh menghias kamar tidur anak dengan kelainan susun atur kerana ia boleh memberi suasana dan motivasi baru buat mereka terutama untuk bersahur,” katanya.

Bersahur sangat penting. Namun, ada juga kanak-kanak yang tidak mahu bersahur atau terlalu liat untuk bangun sahur tetapi masih mahu berpuasa. Bagaimana untuk memastikan mereka tidak berasa letih?

Kata Dr Mariani, satu cara terbaik ialah ibu bapa memastikan anak terbabit tidak terlalu aktif di siang hari.

“Jika terlalu aktif, kanak-kanak akan berpeluh dan berasa haus. Bila tidak boleh minum, timbullah keresahan, kegelisahan dan akhirnya keletihan akan berlaku.

“Selain itu, galakkan mereka berada di tempat teduh dan jauh dari cuaca panas serta sediakan aktiviti rekreasi yang kurang memerlukan tenaga buat anak sementara menunggu waktu berbuka,” katanya.

Apapun, kata Dr Mariani, perkara paling utama adalah memastikan anak mendapat tetap mendapat khasiat secukupnya khasiat secukupnya, yang penting untuk pertumbuhan dan kesihatan mereka.

“Elakkan memberi mereka makanan tambahan kerana ia hanya dapat membekalkan nutrien tertentu saja. Jika diambil secara berlebihan dan tidak teratur, ia hanya menyebabkan toksik di dalam badan,” katanya.

INFO

Panduan didik kanak-kanak berpuasa dan bersahur

  • Hidangkan juadah panas untuk bersahur kerana masakan panas boleh menambahkan selera anak-anak.
  • Pelbagaikan jenis masakan kerana masakan yang sama menjemukan anak-anak untuk makan.
  • Perlu ada masakan berkuah yang mudah dimakan dan boleh mengenyangkan.
  • Tanya anak sebelum tidur menu yang disukai mereka untuk makan waktu sahur.
  • Elakkan masakan pedas yang boleh menyebabkan ketidakselesaan di siang hari.
  • Elakkan menyedia makanan berminyak.
  • Galakkan anak makan buah dan minum banyak air pada waktu sahur.
  • Elakkan anak kecil yang kurang dari usia 4 tahun makan di hadapan anak yang sedang berpuasa.
  • Kurangkan menonton televisyen kerana terdapat banyak iklan makanan yang boleh ‘menggugat’ fokus anak-anak berpuasa.


Panduan mengejutkan orang bangun sahur

  • Pegang anak jari kiri atau kanan sambil memanggil namanya perlahan lahan.
  • Sentuh bahunya dan goyangkan perlahan-lahan sambil panggil namanya.
  • Renjis air di muka secara perlahan sambil memanggil namanya.
  • Menampar manja dan lembut di pipinya sambil memanggil namanya.
  • Tutup kipas atau penghawa dingin

Oleh Hidayah Mohammad


Sumber: Pelbagai laman web

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...