terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 2, 2011

Menjenayahkan perbuatan tak berpuasa !!


“OPPS... sorry auntie... auntie puasakan? Maaf, saya tak ingat,” lafaz seorang pelajar sekolah berbangsa Cina ketika menyuap karipap ke mulutnya. Saya agak terkejut kerana tidak menyangka beliau akan memohon maaf. Saya senyum – senyum dari hati sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.
Peristiwa ini berlaku di dalam lif sebuah pusat beli-belah ketika Ramadan tahun lalu. Saya terharu dengan sensitiviti pelajar berkenaan. Beliau memahami amalan puasa orang Islam. Inilah masyarakat Malaysia yang menghormati budaya dan agama yang pelbagai.
Kepada pembaca umat Islam, Ramadan al-Kareem, shahrun azim mubarak, bulan yang kaya dengan keberkatan dan kemuliaan. Alhamdulillah masih sempat lagi kita menghirup nikmat dan merasai berkat Ramadan tahun ini.

Sebagai peringatan untuk diri sendiri dan pembaca, syariat puasa jelas di dalam al-Quran seperti firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” Sudah tentu, tujuan puasa menurut ayat ini ialah untuk menjadikan kita orang yang bertakwa, iaitu insan yang mempunyai hubungan baik dengan Allah dan juga hubungan mulia sesama manusia.

Saya percaya umat Islam keseluruhannya mengetahui kewajipan berpuasa serta memahami tanggungjawab menghormati bulan yang mulia ini. Namun, mungkin kerana wujudnya alasan tertentu seperti kegagalan sesetengah kita menghormati Ramadan, kita terpaksa membuat peruntukan undang-undang jenayah syariah yang menghukum perlakuan yang tidak menghormati bulan mulia ini.

Dari sudut sejarah undang-undang jenayah syariah di negara ini, kesalahan tidak menghormati Ramadan bukanlah kesalahan yang baru digubal, ia sudah sekian lama wujud di negara kita. Sebagai contoh, satu masa dulu di Terengganu, ada peraturan yang diberi nama ‘Peraturan Dalam Masa Puasa’ – Ishtihar 45/1352. Undang-undang yang lebih kurang sama wujud di Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor sejak akhir 1930-an.
Undang-undang berkaitan yang kita ada sekarang mempunyai peruntukan yang agak sama, iaitu antara lain, ia menjenayahkan perbuatan menjual makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu.

Undang-undang yang wujud sekarang juga menghukum perbuatan makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain seumpamanya secara terbuka atau di tempat awam. Semua negeri di negara ini mempunyai peruntukan yang lebih kurang sama, walaupun ada sedikit perbezaan dalam jumlah hukuman.

Sesetengah negeri meletakkan hukuman maksimum RM1,000 denda atau enam bulan penjara atau kedua-duanya ke atas kesalahan pertama. Sementara itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hukuman yang boleh dikenakan ialah denda maksimum RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya. Sebagai contoh, pembaca boleh merujuk kepada seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997. Ada negeri yang menyediakan hukuman yang lebih ringan.

Secara teknikalnya undang-undang yang kita ada tidak menjenayahkan perbuatan tidak berpuasa semata-mata, tetapi undang-undang menghukum perbuatan yang disebutkan itu, termasuk makan atau minum di tempat awam.

Undang-undang ini mengambil kira prinsip keringanan yang diberikan Islam ke atas orang yang secara syari’e atau atas faktor kesihatan tidak dapat berpuasa. Tetapi, undang-undang menghalang perbuatan ‘menunjuk-nunjuk’ tidak berpuasa dengan cara makan atau minum atau seumpamanya di khalayak awam.

Perbuatan ini boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ‘penghinaan’ kepada Ramadan dan ia tidak harus dikompromi. Walaupun ia bukanlah satu kesalahan yang disebut secara harfiah di dalam ayat suci al-Quran, ia adalah perbuatan berdosa yang boleh dijadikan satu bentuk kesalahan takzir.

Saya teringat satu ketika dulu ada individu beragama Islam yang menggunakan alasan hak asasi (livelihood) untuk membenarkan penjualan makanan pada siang hari Ramadan. Hujahnya ialah hak orang bukan Islam untuk memperoleh pendapatan menerusi penjualan makanan kepada orang Islam telah disekat oleh undang-undang jenayah syariah ini. Ada juga individu yang mempersoalkan penguatkuasaan jenayah syariah ini atas alasan ibadah puasa adalah hubungan peribadi antara individu dan Allah SWT.

Saya tidak perlu mengulas panjang mengenai pendapat ini. Ia sudah terang lagi bersuluh. Idea sebegini menampakkan sedikitnya pengetahuan, pemahaman dan penghormatan terhadap pensyariatan puasa itu sendiri. Ia juga menggambarkan bahawa tidak sensitifnya mereka mengenai kedudukan puasa sebagai antara satu daripada rukun Islam yang sentiasa wajib dipatuhi umat Islam.

Walaupun kita mempunyai undang-undang untuk menghukum kelakuan tidak menghormati Ramadan, alangkah elok sekiranya umat Islam dapat mengawal diri sendiri tanpa mengharapkan mekanisme undang-undang.

Ini akan menjadikan kita umat yang berdisiplin dan menghormati amalan dan ajaran Islam tanpa perlu disuruh atau dipaksa. Kepada semua pembaca, selamat berpuasa, semoga amal soleh mendapat keberkatan berganda di bulan mulia ini.

Oleh Shamrahayu A Aziz


Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...