terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, August 10, 2011

Pengangkutan awam daif cemar imej Kuala Lumpur..


SAYA ingin menarik perhatian pihak berkuasa, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai asap hitam yang dikeluarkan oleh bas milik syarikat tertentu hampir setiap hari ketika ia melalui jalan di depan Menara Berkembar KLCC, Kuala Lumpur.

Keadaan ini bukan saja mencemarkan alam sekitar tetapi juga memalukan negara ini yang menjadi tumpuan ramai pelancong. Malaysia adalah destinasi terkenal dan setiap tahun semakin ramai pelancong berkunjung ke negara ini.
Ada segelintir pihak seolah-olah tidak peka dengan peningkatan prasarana yang dialami di negara ini dan tidak mempedulikan apa juga amaran atau peringatan daripada pihak berkuasa

Rata-rata pengangkutan awam di bandar raya Kuala Lumpur masih belum dipertingkatkan selaras dengan pembangunan yang dialami di ibu kota Kuala Lumpur.

Demi menjaga nama baik negara di kaca mata pelancong, adalah diharapkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai kenderaan perdagangan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah syarikat bas yang tidak mematuhi peraturan tertentu seperti pengeluaran asap hitam yang mencemarkan alam sekitar.

Sebahagian besar bas milik syarikat yang sama juga berada dalam keadaan daif dan menggambarkan ciri-ciri sebuah negara dunia ketiga yang masih belum membangun sepenuhnya seperti Malaysia.

Bas adalah sistem pengangkutan penting di sesebuah bandar raya sibuk seperti Kuala Lumpur, yang melengkapi kemudahan lain termasuk sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Saya amat berharap JAS akan menempatkan pegawai penguat kuasanya di perhentian bas di depan KLCC and Avenue K bagi memantau pengeluaran asap hitam dan tebal oleh bas milik sebuah syarikat swasta di bandar raya yang menimbulkan masalah ini.

Pihak berkuasa sepatutnya tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat bas kerana ia dimiliki oleh pihak berpengaruh kerana dalam menguatkuasakan undang-undang, kepentingan awam dan negara hendaklah melebihi kepentingan individu.

WARGA KOTA PRIHATIN,
Jalan Ampang, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...