terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 15, 2011

Peniaga leka kejar untung terlepas nikmat Ramadan...



RAMADAN adalah pesta segala pesta, ia pesta kepada hamba yang cintakan kerahmantan dan keampunan Allah, juga mereka yang cintakan sunnah Rasulullah SAW. Ramadan juga pesta bagi mereka yang tidak bernasib baik seperti anak yatim dan fakir miskin serta ibu tunggal kerana kemurahan umat Islam yang berganda dalam bulan ini.

Antara janji Allah kepada hamba-Nya melalui Rasulullah SAW adalah sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis lain dinyatakan bagaimana pemurahnya Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan sehingga diibaratkan sebagai angin kencang yang berlalu. Pada bulan ini juga pelbagai fadilat dan keutamaan memberi makan kepada orang berbuka puasa.
Perniagaan adalah pekerjaan mulia dan sunnah Rasulullah SAW. Namun, Islam menitikberatkan soal hak, keadilan, kejujuran dan keikhlasan dalam urusan ini. Akhirnya, semua nilai ini terhakis kerana terlalu mengejar jualan dan risau rugi jika dibuang begitu saja. Inilah ujian terbesar kepada peniaga
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi walau sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis Ahmad dan An-Nasaie).

Banyak lagi hadis menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW mempergunakan ruang waktu selama sebulan Ramadan beramal ibadah. Malah ulama lama dan baru masih terus menukilkan mengenai puasa dari pelbagai perspektif seperti kesihatan, sains serta emosi.

Pada masa sama, Ramadan juga dianggap pesta cukup penting bagi mereka yang inginkan keuntungan segera melalui perniagaan. Malah yang tidak berniaga pun akan turun padang membuat kerja tambahan dengan menjadi peniaga pasar Ramadan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Sejak terma Pasar Ramadan diperkenalkan di Malaysia, banyak kesan buruk berbanding kesan baik yang diperoleh. Kelekaan berniaga dan membuat persiapan perniagaan memakan tumpuan dan ruang untuk mereka beramal ibadat.
Keletihan membuat kerja tambahan ini pasti juga menyebabkan mereka tidak berdaya lagi melayari bahtera ibadah di masjid yang menjanjikan keampunan dan kerahmatan Allah.

Perniagaan adalah pekerjaan mulia dan sunnah Rasulullah SAW. Namun, Islam menitikberatkan soal hak, keadilan, kejujuran dan keikhlasan dalam urusan ini. Akhirnya, semua nilai ini terhakis kerana terlalu mengejar jualan dan risau rugi jika dibuang begitu saja. Inilah ujian terbesar kepada peniaga.

Ada yang berniaga tetapi tidak menjaga kualiti makanan atau lauk yang dijual. Cantik di mata namun tidak menepati kriteria sesuatu kuih atau lauk itu sendiri, semuanya kerana mahukan untung yang maksimum dengan kos minimum.

Allah memberi amaran keras dalam al-Quran yang bermaksud: “Ada suatu sungai dalam neraka jahanam itu disediakan bagi orang hina, yang apabila mereka menyukat atau menimbang akan sesuatu yang mereka jual maka akan mengurangkan sukatan atau timbangan tetapi apabila membeli barangan dari orang lain mereka akan melebihkan sukatan atau timbangan untung mereka.” (Surah al-Mutaffifin, ayat 1-3).

Peniaga yang tidak jujur akan untung wang ringgit tapi sebenarnya mereka adalah manusia yang rugi andai terus mengamalkan sikap demikian. Ramadan sepatutnya menjadi bulan mendidik dan mengajar mereka erti keikhlasan dan memberi, kerana keuntungan sebenar adalah apabila kita meraih habuan syurga daripada Allah di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Peniaga yang jujur itu bersama para nabi, siddiqin dan syuhada nanti di syurga.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah juga memberi amaran dalam sabda yang bermaksud: “Jual beli dilakukan dengan tawar-menawar, jika kedua-dua pihak jujur dan nyata, maka mereka diberkati, tetapi jika kedua-duanya dusta dan merahsiakan, maka keberkatannya akan lenyap.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Oleh Zahiruddin Zabidi


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...