terima kasih buat kalian semua..

Sunday, August 28, 2011

Sambut raya dengan makna..


DUA hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut 1 Syawal. Di Malaysia bahang hari raya mula dirasa sejak sebelum berpuasa lagi. Iklan raya di sana-sini. Kadang-kadang terasa umpama raya dulu baru berpuasa.

Lagu-lagu raya berkumandang sebelum masanya. Maka apabila tiba hari raya, seri serta maknanya tidak begitu ketara.

Perkara paling penting bagi kebanyakan orang dalam menyambut hari raya adalah menyusun atur cara. Bermula dengan balik kampung. Bagi orang bujang tidak ada masalah. Yang sudah berumah tangga maka diingatkan raya tahun lepas kampung siapa yang dituju. Biar pun telah bersetuju, namun ada juga yang merajuk atau tidak berpuas hati apabila tiba giliran balik di kampung isteri atau suami.

Selamat sampai di kampung halaman, apa pula perancangan? Di kampung, malam raya dimeriahkan dengan bacaan takbir dari rumah ke rumah. Itu seni hari raya yang mengundang suasana sayu dan sarat dengan pengertian. Kalimah puji-pujian kepada Yang Maha Pencipta selain mengungkap rasa syukur kepada limpahan nikmat-Nya juga mengingatkan kita kepada mereka yang telah pergi.

Ada ibu terkenang anak yang mendahuluinya bertemu Ilahi, begitu juga si suami atau isteri yang kehilangan pasangan. Selain sahabat terpaksa melihat jenazah sahabatnya diusung dalam keadaan persahabatan erat terjalin, begitu juga pasangan kekasih yang tidak sempat bersatu di alam rumah tangga. Apatah lagi jika episod sedih dan menyayat hati itu berlaku sepanjang Ramadan, tentunya hari raya umpama tidak membawa sebarang makna lantaran imbauan senyum, tangis dan tawa mereka yang pergi meninggalkan kita itu masih segar bermain di ingatan.

Saat itu juga ada yang cuba menyelam perasaan anak-anak yatim. Apa agaknya catatan rasa nun di sudut hati mereka terutamanya yang kehilangan ibu dan bapa sekali gus. Bagaimana pula saudara seagama di negara-negara yang ditimpa bencana. Adakah hari raya mereka semeriah kita sedangkan untuk mengisi perut setiap hari pun belum tentu mereka mampu. Lihat saudara kita di Somalia, Palestin, Afghanistan, Iraq - merempat dan kelaparan di negara sendiri.

Kesemua perasaan itu terungkai sebaik mendengar tahmid memuji kebesaran Allah sambil memikirkan apakah akan ada lagi hari raya untuk kita pada tahun hadapan atau ini yang terakhir.

Keindahan takbir bersambung ke pagi Syawal. Umat Islam berduyun-duyun ke masjid bagi menyempurnakan sembahyang sunat Aidilfitri. Berpakaian baru meraikan kehadiran Syawal menyerlahkan suasana hari raya yang tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Sembahyang raya selain menjadi ibadat merupakan peluang untuk merapatkan silaturrahim.

Masjid menjadi medan pertemuan mungkin dengan insan yang tidak ditemui bertahun-tahun lamanya. Ketika itu kehangatan Syawal amat terasa. Sekali lagi takbir dan tahmid berkumandang. Khutbah hari raya selalunya mengingatkan manusia tentang saudara seagama yang dilanda bencana serta sengsara.

Selesai solat hari raya, langkah diatur ke pusara. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran disedekahkan kepada kaum keluarga yang telah pergi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.

Nisan

Tidak mustahil dalam setahun, ada kubur yang dikunjungi hanya sekali iaitu pada hari raya. Ada yang tercari-cari lantaran terlupa di mana letaknya kubur orang yang dikasihi. Lantaran terlalu lama tidak dikunjungi ada batu nisan tenggelam akibat hakisan hujan. Apabila tenggelam dan kali terakhir dikunjungi adalah pada hari raya tahun lepas maka tentulah sukar dikenal pasti. Ada juga kubur yang rumput menjalar di sana-sini, menunjukkan tiada siapa ambil peduli. Seolah-olah kubur menjadi tempat buangan yang hanya diingati apabila tiba hari raya. Biar pun ada yang berkata mengunjungi pusara tidak penting sebaliknya doa adalah lebih afdal, namun tentu ada hikmahnya apabila setiap kematian berakhir di tanah perkuburan.

Tentu ada sebabnya mengapa kematian selalu diletakkan tanda - yang pasti antara lain supaya orang yang hidup dapat lihat, fikir dan ingat bahawa tidak diketahui bila, akan ada nisan baru yang mungkin tertera nama kita. Sebab itu pada hari raya, kubur yang sentiasa sunyi sepi menjadi `hidup’ kerana dikunjungi para waris biar pun setahun hanya sekali. Ini kerana yang sekali itu mungkin akan menyuntik rasa insaf bahawa hidup ini terlalu singkat untuk kita melupakan bahawa manusia tidak pernah tahu di mana tanah kuburnya dan adakah akan ada anak atau cucu atau sahabat yang akan mengunjungi pusara kita kelak?

Selesai solat raya dan mengunjungi pusara, ada yang mula tidak selesa berbaju Melayu, menyarung baju T untuk menikmati juadah. Ketupat, lemang, rendang, lontong, kuih-muih bukan lagi makanan istimewa hari raya. Dahulu hidangan tersebut hanya boleh ditemui pada Syawal atau Zulhijjah sesekali semasa kenduri-kendara, itu pun jarang sekali. Sebab itu apabila tiba hari raya keterujaan untuk menikmati hidangan seperti itu amat terserlah. Tetapi kini ketupat, lontong, dodol, bahulu dan banyak lagi menjadi makanan sepanjang tahun. Kesemuanya boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana-mana. Cuma bezanya juadah itu menjadi istimewa kerana dinikmati pada hari yang istimewa juga. Maka hidangan yang biasa menjadi luar biasa terutamanya apabila dinikmati bersama keluarga dan sanak-saudara.

Susunan jadual hari raya sepatutnya bersambung kepada acara kunjung-mengunjungi. Bagi kanak-kanak inilah masanya mengumpul duit raya. Semakin ramai saudara-mara dikunjungi, semakin `lebatlah’ sampul duit yang diperoleh. Memberi duit raya terutama kepada kanak-kanak menjadi tradisi turun temurun. Bukan bermakna mengajar kanak-kanak menjadikan duit sebagai motif beraya dari rumah ke rumah, sebaliknya memberi sedekah mensyukuri nikmat yang dianugerah Allah sepanjang setahun.

Silaturrahim

Bagi anak-anak yang membesar di bandar dan pulang ke kampung kerana mengikut ibu dan bapa, maka sesi kunjung-mengunjungi sememangnya ditunggu-tunggu. Inilah masanya bertemu sanak-saudara, mengeratkan silaturrahim sambil bertanya `yang ini anak siapa’ dan `yang itu anak siapa pula’.

Namun tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan amalan kunjung-mengunjungi baik di kampung mahu pun di bandar semakin tidak mendapat tempat. Sebab utama kerana tidak mahu terlepas menonton program-program menarik di kaca televisyen yang telah diuar-uarkan dua minggu sebelum raya. Maka jadual hari pertama hari raya yang sepatutnya diisi dengan ziarah sanak-saudara selepas solat kini ditukar kepada berkumpul di ruang tamu menonton satu demi satu program menarik. Lebih menarik lagi adakalanya program tersebut bukan bersifat tempatan. Cerita dan dokumentari yang diimport turut mewarnai hari raya malah isi kandungannnya dan mesej yang hendak disampaikan juga tidak diketahui sama ada relevan dengan hari raya atau sebaliknya.

Justeru, boleh saja dirumuskan bahawa hari raya kini hanya berkisar kepada jalan raya sesak kerana semua orang berpusu-pusu meninggalkan kota untuk balik ke kampung halaman. Selepas itu, sama-sama bertakbir, menunaikan solat hari raya, saling bermaafan, mengunjungi pusara dan menikmati juadah hari raya. Apa sebenarnya matlamat hari raya dan di mana kita sepatutnya berada semasa hari raya juga menjadi semakin kabur. Semangat untuk menyemarakkan kampung halaman semacam tidak mendapat perhatian. Yang penting hanya hari pertama raya. Hari-hari lain sama seperti mengisi cuti tahunan. Melancong, mengunjungi pusat beli-belah kini menjadi sebahagian daripada agenda hari raya. Ada juga umat Islam yang tidak kisah jika tidak berhari raya. Bukan kerana terpaksa bekerja, tetapi kerana makna hari raya itu semakin tidak dihayati.

Oleh Noraini Abd. Razak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...