terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 20, 2011

Suami terlampau memanjakan adik perempuannya berbanding isteri sendiri!!!


SAYA pasti setiap isteri mengharapkan suami akan memberi sepenuh kasih sayang dan perlindungan kepadanya dalam melayari hidup berumah tangga.

Namun kadang kala suami alpa akan perkara ini dan meletakkan isteri di tempat kedua dengan melebihkan orang lain dalam banyak perkara.

Akibatnya, isteri kecewa, merajuk hati dan merasakan dia tidak dipeduli lantaran suami terlampau mengambil berat perihal adik kandungnya. Itulah luahan perasaan Hani (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.

Begini cerita Hani.

“Saya baru setahun berkahwin dengan suami, Rizal (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah bank.

“Kami bernikah atas dasar suka sama suka setelah empat tahun bercinta di kampus. Suami mempunyai seorang adik lelaki dan yang bongsu seorang perempuan, Zila (bukan nama sebenar), dua tahun lebih muda daripada saya.

“Secara kebetulan setelah kami bernikah, Zila tinggal bersama kami kerana dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi.

“Saya tidak kisah tentang adiknya yang menumpang di rumah kami, sebab saya tahu tanggungjawab seorang abang menjaga kebajikan adiknya. Saya juga tidak ada masalah dengan ipar saya itu.

“Apa yang saya terkilan adalah sikap suami yang terlalu mengambil berat diri adiknya. Saya menyifatkan tindakannya itu sudah melampau sehingga saya merasakan diri saya diabaikan.

“Sebagai contoh, setiap hari, saya memandu sendiri ke pejabat walaupun pejabat kami berdekatan sebab suami terpaksa menghantarnya dahulu ke kampus.

“Petang, dia bergegas lagi ke kampus menjemput adiknya. Jika adiknya itu hendak ke mana-mana, dia juga akan menghantar dan menjemputnya.

“Setiap hari saya akan tiba dahulu di rumah, sedangkan suami balik lewat. Saya faham tanggungjawab suami melindungi adiknya tetapi berpada-padalah.

“Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Pada mulanya saya sangka ia hanya untuk sementara tetapi nampaknya keadaan tetap begitu juga walaupun telah setahun kami menjadi suami isteri.

“Pernah juga saya lontarkan rasa tidak puas hati saya kepada suami, tetapi dia kata saya cemburu. Katanya lagi, tidak salah kalau dia memberi perlindungan kepada adiknya sebab dia perempuan, bimbang berlaku apa-apa.

“Saya faham tanggungjawabnya dan saya tidak cemburu. Saya kadang-kadang hendak juga ke pejabat bersama suami seperti orang lain, dihantar dan dijemput sesekali.

“Ini tidak, hujung minggu jika saya ajak ke mana-mana, dia akan beritahu sudah ada rancangan lain dengan adiknya. Siapa yang tidak kecewa dan sakit hati?

“Yang saya pelik, adiknya itu tidak pula rasa segan dan menghormati hak saya sebagai isteri kepada abangnya.

“Apa salah sekurang-kurangnya beritahu saya dahulu atau minta izin dan sebagainya. Kata orang manis mulut, sejuk sikit hati saya.

“Pernah juga sekali dua saya sindir-sindir tetapi tidak menjadi kudis langsung kepadanya. Saya tidak salahkan dia. Dia bertuah kerana ada abang yang sayang dan mengambil berat tentang dirinya.

“Sekarang ini bulan Ramadan. Baru tiga kali saya berbuka dengan suami, selebihnya dia berbuka bersama adiknya, alasan tidak sempat tiba di rumah.

“Memandangkan ini tahun pertama menyambut Ramadan sebagai suami isteri, tentu saya mahu selalu di samping suami, bersolat jemaah dan bertarawih bersama. Tapi impian saya tidak kesampaian sebab sikap suami.

“Saya juga pernah bercerita tentang perkara ini dengan ibu saya, nasihat dia supaya saya bersabar. Kata ibu, itu masalah kecil sahaja dan boleh diatasi. Pesan ibu lagi, ini baru permulaan dugaan dalam rumah tangga. Setiap hari ada ujian Allah untuk kita dalam rumah tangga.

“Kata-kata ibu memberi saya kekuatan untuk menghadapi masalah ini dengan tabah. Saya sebenarnya tidak tahu apa perasaan saya sekarang. Marah atau cemburu?

“Mungkin sebab saya belum menyelami suami secara mendalam setelah kami bernikah. Lagipun saya akui kami tidak ada privasi di rumah sebab ada Zila. Dia pula di mana ada abangnya, di situ dia ada. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang sehinggakan kadang kala saya naik menyampah.

“Saya bukan sengaja berkongsi cerita ini dengan pembaca tetapi saya yakin ramai yang berdepan masalah ini di luar sana.

“Kepada suami dan adik ipar saya, jika terbaca catatan ini, fikir-fikirkan perasaan orang lain juga. Jangan ingat apabila seseorang itu berdiam masalah telah selesai.

“Doa dan pinta saya, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Saya berharap suami sedar sikapnya yang melukakan hati saya dan berubah untuk kebahagiaan masjid yang baru kami bina,” Hani menamatkan ceritanya.

Begitulah masalah dalam rumah tangga, sentiasa menguji kesabaran seorang isteri.

Saya harap Hani bersabar dengan apa yang dilaluinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua ini asam garam rumah tangga.

Cadangan saya, ajak suami berunding dari hati ke hati. Jika perlu ajak sama keluarga kedua-dua pihak untuk memberi pandangan, juga adik ipar anda itu.

Pendekatan yang boleh digunakan, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata sepakat perlu agar tidak berlaku perkara lain yang boleh merenggangkan hubungan anda berdua.

Mengakhiri catatan pesanan saya, bertindaklah dengan bijaksana, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak. Doa saya semoga semua akan kembali tenang dalam masa terdekat.

Selamat berpuasa!

3 comments:

  1. Tahu kah anda apa tanggong jawapnya sebagai Wali???Isteri boleh ganti atau cerai tapi adik kandong hubongan sampai lubang kubur.Seorang Lekaki adalah Wali pada adik perempuannya atu kakaknya.

    ReplyDelete
  2. yer tanggungjawab sebagai wali. tapi bukankah satu hari nanti adik perempuannya akan menjadi isteri org. dan adakah 'wali' ini suka atau mengharap adik perempuannya mendapat layanan yang sama isterinya perolehi.

    ReplyDelete
  3. Saya juga alami masalah yg sama cuma situasi berbeza. Suami anak sulung. Semuanya harus bergantung pada suami saya walaupun adik tu masih ada ayah dan masih ada abang yang lain yg bujang. Ni tidak, seolah2 saya pulak bukan isteri dia. Ni dah terbalik dah ni. Siapa yg jadi isteri sebenarnya??

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...