terima kasih buat kalian semua..

Saturday, August 13, 2011

Tidak semua isteri muda bahagia...


SAYA kasihankan anak saya. Dia jadi mangsa poligami. Orang selalu kata isteri kedua biasanya dimanja suami, sayangnya anak saya menderita fizikal dan mental kerana perbuatan suami dan isteri pertamanya."

Kenyataan itu terbit dari bibir seorang ibu yang kecewa dengan rumah tangga anak perempuan tunggalnya setelah diambil sebagai isteri kedua.

Mahu dikenali sebagai Mama Yati (bukan nama sebenar), wanita ini begitu prihatin dengan masa depan anaknya walaupun ketika ini dia hanya berharap menantunya sedar dengan sikap tidak adilnya dalam berpoligami.

Dalam satu pertemuan yang tidak disengajakan, Mama Yati mencurahkan segala yang terbuku di hatinya mengenai rumah tangga anaknya itu yang hanya dipanggil Intan.

Begini cerita Mama Yati.

"Saya mempunyai tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan, Intan yang berusia 27 tahun.

"Dua tahun lalu, Intan membawa pulang seorang lelaki yang diperkenalkan kepada saya sebagai Imran, berusia lewat 30-an, katanya masih bujang.

"Dua bulan selepas itu, Intan memberitahu dia ingin berkahwin dengan lelaki itu. Saya beritahu dia, supaya ikut adat, hantar rombongan merisik, meminang dan majlis nikahnya.

"Majlis pertunangan berlangsung meriah, maklumlah, anak perempuan tunggal. Semasa majlis pertunangan, saya nampak kebanyakan rombongan pihak lelaki berbisik-bisik sesama sendiri dan sesekali memandang ke arah Intan.

"Sekali dua saya tidak ambil kisah tetapi lama-kelamaan, salah seorang daripada mereka terlepas cakap dengan kata-kata, "untung dapat madu yang baik dan cantik."

"Darah saya berderau, madu? Apa sebenarnya yang mereka maksudkan? Saya tidak bertanya walau hati tersentuh dengan kata-kata tersebut.

"Sebelah malamnya, Imran datang ke rumah berjumpa saya dan keluarga. Saya tidak syak apa-apa sebab mungkin kerana dia tidak datang majlis sebelah siang, jadi dia datang malam.

"Rupa-rupanya, kedatangan Imran membawa khabar yang menghancurkan hati saya. Dia berterus terang memberitahu dia sudah bernikah dan mempunyai tiga orang anak.

"Bagai hendak pengsan saya rasakan. Tapi saya kawal perasaan sebab tidak mahu tunjuk rasa kecewa saya. Alhamdulillah, Allah beri ketenangan.

"Anak sulung saya mengamuk, marah-marah dan mahu pertunangan diputuskan, tetapi Intan menangis dan berkata dia yang mahu hidup bersama Imran.

"Imran beritahu dia cinta dan sayangkan Intan, isterinya telah memberi keizinan. Begitu mudah sekali! Fikir saya. Saya menangis kerana terlalu kecewa. Anak tunggal perempuan saya terpaksa berkongsi suami.

"Di hadapan saya, Imran berjanji akan menjaga Intan dengan baik dan berlaku adil. Pengakuannya itu menjadikan saya sedikit lega. Malah saya amat berharap dia mengotakan janjinya terhadap Intan.

"Akhirnya mereka bernikah. Rombongan lelaki datang begitu ramai, macam mengarak anak teruna. Orang kampung mula bercakap-cakap, berbisik-bisik. Saya yakin mereka tahu menantu saya suami orang. Saya tidak kisah. Saya nekad tidak peduli kata orang.

"Kini sudah dua tahun berlalu. Intan nampak bahagia dengan suaminya walaupun mereka hanya berjumpa dua kali sahaja dalam seminggu. Tapi saya tahu Intan memendam rasa sebab Imran tidak berlaku adil dan melebihkan isteri pertama.

"Saya sedih sebab sebagai ibu saya tidak sanggup melihat Intan hidup sendiri dan menguruskan keperluan hidupnya tanpa sumbangan suami.

"Apabila saya tanya Intan, katanya memang mereka sudah setuju dengan cara itu. Maknanya Imran tidak akan bertanggungjawab terhadap keperluan hidup Intan kecuali nafkah batin.

"Saya pelik apabila diberitahu oleh Intan bahawa rumah, kereta dan wang simpanan Imran dipindahkan ke akaun isteri pertamanya setelah Imran bernikah dengan Intan.

"Apa sebabnya saya tidak tahu, tapi saya pasti, isteri pertamanya seorang wanita bijak. Dia telah mengatur semuanya untuk menyusahkan anak saya.

"Sepatutnya sebagai suami Imran perlu tahu hak dia untuk berpoligami. Dia tidak sepatutnya mengikut telunjuk isteri pertama. Patutlah dia izinkan suaminya berkahwin lain kerana dia telah dapat semua yang dia mahu.

"Saya hairan kenapa menantu saya begitu mudah terpengaruh dengan isteri pertamanya sedangkan dia patut berlaku adil terhadap anak saya juga.

"Sekarang dia jarang pulang menjenguk anak saya, seminggu sekali pun susah. Saya kasihankan anak saya. Memang salah anak saya sengaja cari beban dan masalah. Tetapi suami juga perlu dipersalahkan jika tidak berlaku adil. Poligami mahu tetapi tanggungjawab lepas tangan!

"Saya telah ajukan masalah pindah harta benda ini kepada pejabat agama tetapi jawapannya memang tidak boleh buat apa-apa sebab ia dipindahkan atas kerelaan suami. Cuma Intan boleh membuat laporan tentang sikap suami terhadapnya. Tetapi anak saya, kerana sayang suami, cakap ibu pun tidak didengar lagi walaupun saya berkali-kali meminta dia bersemuka dengan suaminya tentang perkara ini.

"Susah anak-anak sekarang, kerana cinta sanggup hidup merana. Untung masih belum ada anak, kalau tidak macam mana?

"Saya bercerita bukan buka aib keluarga tetapi supaya lelaki yang ingin berpoligami sedar akan tanggungjawab, bukan ambil mudah tentang pernikahan. Isteri perlu dilayan sama rata jika berpoligami bukan mengikut telunjuk isteri pertama. Jika tidak, jangan teringin poligami.

"Apa pun saya berdoa dan berharap suatu hari anak saya sedar dan membuat keputusan yang baik demi masa depannya. Buat menantu saya, jangan ambil mudah pernikahan ini. Di dunia mungkin anda terlepas tetapi di akhirat balasannya menanti. Ingatlah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Jangan buat sesuka hati untuk memuaskan pihak yang satu lagi," Mama Yati menutup cerita.

Menutup kata, pesanan saya, jika permulaan hari itu dalam keadaan tidak menggembirakan, itu bermakna ia permulaan bagi kehidupan yang membahagiakan dan menyenangkan pada kemudian hari.

Salam.

Oleh Normala Hamzah

1 comment:

  1. Insyaallan jika kita boleh berSABAR dab bertindak JUJUR serta IKHLAS dan terus beriman dengan ALLAH swt akan dapat nikmat dipengakhiran nanti Insyaallah. itulah ujian terhadap kita ataupun bala dan sifat buruk hasil kesesatan ygkita lakukan.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...