terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 26, 2011

Tragedi: Jangan salahkan takdir..


SAMBUTAN hari raya di kampung menjadi tradisi setiap tahun para perantau untuk pulang. Dalam keghairahan untuk pulang itu, persiapan mental dan fizikal menjadi sandaran agar perjalanan menjadi sesuatu yang tenang dan selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan para perantau yang bakal memenuhi jalan raya menuju ke kampung halaman supaya berhati-hati kerana potensi berlaku kemalangan adalah besar apabila terlalu banyak kenderaan.

Bahkan, pada hemat Perdana Menteri setiap pengguna hendaklah tidak menjadikan jalan raya itu sebagai pusara tanpa tanda. Sikap gopoh, hilang sabar dan pertimbangan fikiran yang goyah dikenal pasti sebagai punca kemalangan yang terbesar berbanding faktor mekanikal dan fizikal.

Saban tahun insiden kemalangan tidak banyak memberikan kita kesedaran, kerana ia terus meningkat terutamanya menjelang musim-musim perayaan. Kita juga kadangkala menerima kemalangan hanyalah sebagai takdir walhal sebahagian besarnya dapat kita elakkan jika merupakan pemandu yang sabar, disiplin, tidak mementingkan diri dan mengambil langkah berhati-hati.

Maklumlah dalam keadaan tertekan kerana jarak perjalanan yang jauh dan kesesakan kenderaan, kita akan menjadi lebih cepat marah. Kita marahkan sesiapa sahaja tetapi jarang pula kita menilai diri sendiri apakah corak pemanduan kita itu tidak mendatangkan keburukan atau bahaya kepada orang lain.

Dapatan kajian memberikan kesimpulan bahawa 80 peratus adalah disebabkan oleh faktor kecuaian manusia sendiri manakala 10 peratus adalah faktor fizikal dan selebihnya oleh faktor-faktor seperti jarak penglihatan yang rendah (disebabkan hujan) ataupun masalah kenderaan yang tidak diselenggarakan secara berkala.

Dari sudut pandangan Islam, berdasarkan keyakinan dan akidah sebenar, takdir bukan boleh disalahkan secara total. Sikap pesimis itu sebenarnya merupakan orang yang gagal menguruskan diri sendiri. Turut menjadi kegagalan ialah kerana tidak menggunakan kecerdikan akal membuat pilihan sedangkan kita sentiasa diminta agar bertindak secara bijaksana.

Atas kegagalan membuat pilihan secara bijaksana, kita sendiri sebenarnya telah memilih untuk mengundang tragedi atas kecuaian. Kita lebih banyak membuat kesimpulan, kalau sudah ditakdirkan kita mati secara begitu, walaupun telah melakukan tindakan pencegahan dengan begitu teliti, ia tetap juga berlaku kerana ia adalah kehendak Illahi. Jika segala langkah pencegahan telah kita mulakan dengan bersungguh-sungguh, maka konsep takdir boleh kita terima sebagai faktor tunggal.

Tetapi, kalau bukan menerusi langkah berhati-hati dan sentiasa beringat sebelum kena, maka menyalahkan takdir adalah sesuatu yang bertentangan dengan keyakinan agama. Kita telah membawa masuk nilai-nilai buruk dalam kehidupan kita sedangkan Islam sentiasa memberikan petunjuk, jauhkan sikap buruk kerana ia adalah sesuatu yang keji, jelek dan boleh memudaratkan nyawa kita sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan" (Surah al-Baqarah ayat 195).

Tabiat manusia lebih cepat berubah. Perubahan itu biasanya menjuruskan kepada perkara-perkara yang buruk kerana tarikannya adalah lebih kuat berbanding dengan tabiat yang lebih baik. Nilai ego telah menguasai diri, dan keegoan itulah menjadikan manusia sering lupa diri, sombong, riak dan bertindak membabi buta sehingga tidak dapat memikirkan keselamatan orang lain.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita diberikan petunjuk dan panduan agar lebih berhati-hati dalam hidup, sentiasa beringat kerana malang itu tidak berbau.

Kita mesti memandu dalam suasana yang tenang, tidak mengikut perasaan. Cara itu boleh membantu kita mengambil tindakan bila sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Kita boleh mengawal kenderaan kita. Kita boleh menyelamatkan nyawa kita sendiri dan orang yang berada di sekeliling kita. Mereka juga memerlukan sokongan dan dokongan kita untuk hidup, kerana mereka adalah sebahagian dari diri kita.

Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat. Kedua-dua ini adalah takdir-Nya, namun demikian manusia berpotensi untuk memilih dan berusaha menghindarinya.

Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.

Islam sentiasa menyuruh kita berhati-hati dan sentiasa mendoakan keselamatan. Antara doa lazim yang diajarkan kepada kita ialah "Innnallazi farada alaikal qurana laraduka ila ma'ad" (al-Quran surah Al qasas ayat 85). Menurut sesetengah riwayat sesiapa yang membaca ayat ini insya-Allah dirinya akan kembali ke tempat asal dengan selamat. Demikian juga perjalanan tersebut hendaklah dimulakan dengan doa yang selalu diajar antara lain ialah "subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun".

Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya-Allah. Memandu dengan laju tanpa menghiraukan peraturan jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sebagai mati katak bukan syahid kemalangan.

Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain.

Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan berlaku sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya.

Sesungguhnya manusia tidak boleh lari dari suatu ketetapan Allah kerana manusia tidak mampu keluar daripada keputusan dan takdir Allah selaras dengan ilmu pengetahuan-Nya yang meliputi sekalian makhluk ciptaannya. Tetapi manusia diberi daya usaha dan pilihan yang akan menentukan secara juzie. Justeru untuk memahami persoalan takdir ini sebenarnya ia amat sukar hendak diperjelaskan melainkan orang yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Manakala orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT dia akan mengikut fahaman Mazhab Jabariah.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...