terima kasih buat kalian semua..

Monday, September 12, 2011

Hukuman pesalah syariah ringan? Lebih ringan dari Akta Binatang???


SESEBUAH akta yang menjadi tulang belakang undang-undang tertentu bukannya suatu perkara yang statik dan ia perlu bersedia digubal dan dipinda mengikut kesesuaian masa agar tidak kelihatan terlalu 'antik'.

Perubahan akta merupakan sesuatu yang perlu dilakukan supaya ia selaras dengan perkembangan zaman dan situasi semasa serta kecenderungan masyarakat.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa kadar denda RM200 di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) bagi kesalahan mendera haiwan bakal dinaikkan kepada satu jumlah yang lebih setimpal dengan penganiayaan yang dilakukan.

Selaras dengan perkembangan itu, harapan yang sama turut diimpikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang terhadap jumlah denda dalam undang-undang jenayah syariah.

Menurut beliau, mengikut Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah Syariah 1965 (Pindaan 1984), Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara maksimum tiga tahun atau sebatan syariah sebanyak enam kali atau gabungan antara hukuman-hukuman itu.

"Jumlah itu terlalu rendah. Jika hukuman bagi pendera binatang pun ada inisiatif untuk dinaikkan kepada RM50,000 jadi mengapa tidak pendekatan sama diambil untuk meningkatkan jumlah hukuman bagi kesalahan jenayah syariah supaya sekurang-kurangnya hukuman denda jenayah syariah ini sama dengan hukuman yang dicadangkan bagi kesalahan mendera binatang," katanya.

Lebih-lebih lagi dalam konteks semasa, Mahkamah Syariah kini kata Musa, telah mengalami banyak perubahan dari segi pentadbiran, infrastruktur dan sebagainya, maka adalah wajar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah yang dilakukan turut dinaikkan.

Ini kerana, menurut Musa, salah satu prinsip pemakaian undang-undang yang penting adalah berkenaan dengan pengiktirafan masyarakat. Apabila masyarakat merasakan boleh memberikan kepercayaan kepada mahkamah untuk menyelesaikan masalah, maka secara tidak langsung akan mewujudkan pengiktirafan di kalangan masyarakat.

"Saya tidak nampak dengan denda yang rendah sekadar RM5,000 dapat membantu mengurangkan kadar jenayah syariah dan seterusnya menyelesaikan masalah masyarakat.

"Misalnya khalwat, kesalahan zina, bersekedudukkan, musahaqah (lesbian), liwat, murtad, perbuatan membuang bayi, hamil luar nikah dan masalah tukar agama merupakan gejala sosial masa kini yang perlu ditangani secara tuntas,'' katanya.

Salah satu cara untuk mengekang gejala-gejala sosial ini daripada berleluasa, ujar Musa, adalah menerusi mekanisme undang-undang.

Peguam itu mempersoalkan, dengan undang-undang dan hukuman yang begitu ringan bagaimanakah ia mampu membangkitkan rasa serik serta meninggalkan perasaan insaf dalam kalangan tertuduh.

Beliau berkata, pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang terakhir dilakukan pada tahun 1984 iaitu 27 tahun lalu dan dari segi prinsip pemakaian undang-undang ia sudah tidak relevan lagi. Maka itu, katanya, sudah sampai masanya ia dikaji semula dan dipertingkatkan.

Katanya, sebagai pengamal undang-undang, beliau tertunggu-tunggu adanya pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk akta itu dipinda dan hukumannya dipertingkatkan.

"Apabila seseorang dihukum di bawah salah satu hukuman seperti yang dinyatakan, saya rasa terkilan kerana hukumannya tidak lebih RM5,000 yang boleh dilunaskan dan pesalah boleh pulang pada hari yang sama.

"Ia nampak seolah-olah kesalahan yang telah dibuat adalah kesalahan yang kecil dan boleh diulang semula. Ia juga tidak mampu membangkitkan rasa gerun dalam kalangan pesalah," kata peguam syarie itu.

Menurut beliau, jika Akta Binatang 1953 diluluskan, bererti pesalah yang melakukan kesalahan khalwat atau bersekedudukkan menampakkan kesalahan itu seolah-olah lebih ringan berbanding kesalahan melakukan kekejaman terhadap binatang.

Dari perspektif masyarakat pula seolah-olah, binatang lebih mulia berbanding hukum syarak.

Bagi Musa, sesuatu perlu dilakukan kerana dalam keadaan masyarakat sudah mengiktiraf Mahkamah Syariah, orang ramai pada masa ini boleh mengharapkan institusi itu memberi keadilan kepada mereka.

Orang ramai kata Musa, menaruh harapan agar Mahkamah Syariah boleh menghukum mana-mana pihak yang melanggar hukum syarak atau mana-mana pihak yang mengabaikan tanggungjawab mereka.

Sehubungan itu, pihaknya amat berharap agar hukuman bagi pesalah syariah dapat dikaji semula bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan semasa dan imej institusi tersebut dipandang tinggi serta dihormati.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...