terima kasih buat kalian semua..

Sunday, September 11, 2011

Keluhan isteri jadi seperti pembantu rumah di rumah mertua !!


AGAKNYA apa yang anda rasakan jika setiap kali keluarga berhimpun, anda menjadi seperti pembantu rumah, bukan sebahagian daripada keluarga mentua?

Adakah anda akan menangis dan berkurung di dalam bilik, atau terus tabah menghadapi situasi genting tersebut setiap kali berhimpun bersama adik-beradik?

Saya pasti jawapan itu tidak dapat diberikan kerana anda mungkin tidak mengalaminya seperti mana yang dilalui oleh Delaila (bukan nama sebenar) yang saban tahun menahan perasaan dengan sikap keluarga mentua terhadapnya.

Agaknya benar kata orang, jika kita ada rupa, berpendidikan dan berjawatan tinggi, semua orang suka dan dipandang tinggi. Tetapi bagi yang tidak punya apa-apa melainkan kudrat dan jiwa yang luhur, tidak siapa akan peduli.

Itulah yang dirasakan oleh Delaila, ibu kepada dua orang anak perempuan berusia lapan dan 10 tahun.

Pertemuan dengan Delaila sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini membuka ruang kepada saya untuk menyelami perasaan wanita muda ini yang pada saya berada dalam situasi senyum di dalam tangisan. Kepada saya, Delaila berkongsi cerita untuk iktibar kita bersama.

"Saya berusia awal 30-an, tidak bekerja, hanya suri rumah sepenuh masa. Saya berkahwin dengan suami, Aman (bukan nama sebenar) 11 tahun lalu atas pilihan keluarga. Suami hanya bekerja biasa, anak bongsu dalam adik-beradik seramai enam orang.

"Sementara saya, anak yatim piatu dan hanya mempunyai seorang kakak dan seorang abang yang tinggal jauh dari tempat tinggal saya di utara tanah air.

"Walaupun diatur keluarga, perkahwinan kami bahagia. Suami amat sayang dan mengambil berat terhadap kebajikan saya dan anak-anak.

"Lima lagi adik-beradik suami, berkelulusan universiti dan telah berkahwin serta mempunyai keluarga sendiri.

"Bapa mertua saya meninggal dunia lima tahun lalu. Semasa hayatnya, dia menjadi pelindung saya setiap kali kami berhimpun beramai-ramai.

Dia mengambil berat dan selalu menyabarkan saya supaya tidak ambil hati dengan sikap ibu mentua saya yang tegas dan mengamalkan pilih kasih. Ketiadaannya menjadikan saya hilang tempat bermanja dan mengadu.

"Saya bukan menantu pilihan mak mentua disebabkan kekurangan saya, walaupun saya yakin prestasi saya sebagai menantu amat cemerlang.

"Setiap kali berhimpun adik-beradik, saya adalah orang yang paling sibuk di dapur kerana saya tinggal bersama mentua. Saya akan buat semua kerja termasuk mengemas, memasak dan ke pasar.

"Lima lagi menantunya, dua lelaki dan tiga perempuan ditatang bagai minyak yang penuh. Jarang disuruh buat kerja malah mereka dilayan sebagai tetamu kelas pertama dan diberikan seorang satu bilik.

"Mentua saya sanggup berhabis duit untuk mengubah suai rumah pusakanya semata-mata untuk memberi keselesaan kepada anak menantu pilihannya berbanding saya dan suami yang terus menetap di bilik yang sama sejak kami berkahwin hingga kini.

"Namun itu bukanlah perkara penting bagi saya. Yang manisnya saya dan suami bahagia. Suami faham kemelut yang saya lalui dan selalu menyabarkan saya. Saya yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.

"Apabila berhimpun beramai-ramai tentunya perbelanjaan juga akan meningkat. Itulah yang berlaku setiap kali kami berhimpun beramai-ramai terutama pada hari raya. Sayangnya mereka semua buat tak tahu sahaja dengan alasan setiap bulan akaun mentua saya sudah dimasukkan wang belanja. Pada hal mereka tidak tahu duit itu sebenarnya tidak pernah diusik oleh mentua saya kecuali mengubah suai rumahnya untuk keselesaan mereka anak beranak.

"Perbelanjaan rumah termasuk bil api, air dan telefon, semuanya ditanggung oleh suami saya.

"Apabila mereka buat tidak tahu, mahu tidak mahu, saya dan suami terpaksa juga keluarkan belanja. Apa salahnya hulurkan RM10 seorang untuk menampung belanja dapur. Ini tidak, masa makan semua berebut, bila bab membeli, semua buat bodoh.

"Dua hari sebelum hari raya, rumah mentua saya akan dipenuhi dengan anak menantu dan cucunya yang pulang ke kampung untuk beraya. Saya dan suami pagi-pagi lagi sudah ke pasar membeli keperluan untuk dimasak. Mana nak masak untuk berbuka, makan malam, persiapan raya juga saya mesti selesaikan.

"Ipar-duai saya hanya memerhati, kalau ada pun menolong, paling lama 15 minit kemudian terus menghadap televisyen atau laptop, ada yang keluar ke pekan malah ada juga yang masih berdengkur walaupun matahari mula menampakkan diri.

"Yang saya hairan mentua saya tidak pula ambil kisah dan menegur anak menantu dan cucu-cucunya itu. Kalau saya, terlajak sikit waktu Subuh, menjerit-jerit dia memanggil nama saya sehinggakan jiran keliling boleh dengar.

" Sejak berkahwin sehingga kini, saya tidak pernah merungut pada suami sebab saya anggap itu semua sebagai tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Walaupun penat saya paksa diri kerana tidak mahu mak mentua merungut.

"Kadang-kadang saya terfikir juga, kalau hari-hari biasa saya sudah bekerja keras di dalam rumah itu, apa salahnya setahun sekali ipar-duai saya pula yang mengambil alih.

"Tetapi apa yang saya harapkan tidak berlaku, sebaliknya saya tetap jadi 'bibik' yang setia melayan tetamu setiap kali mereka balik.

"Bohong kalau saya tidak terkilan dan rasa penat, tetapi saya telan sendiri kerana mahu menjaga hati mentua dan suami.

"Tetapi tahun ini kesabaran saya tercabar. Saya tidak boleh tahan lagi apabila anak-anak saudara yang sudah remaja buat saya macam pembantu rumah, suruh buat itu dan ini. Mereka langsung tidak menghargai saya sebagai ibu saudara mereka.

"Saya dijerit dan disuruh membancuh minuman dan menyediakan makanan mereka, macam saya tidak ada hati dan perasaan sedangkan mak bapa dia orang asyik berborak dan menghadap TV 24 jam.

"Mak mentua saya juga tidak melarang dan menegur sikap buruk cucu-cucunya terhadap saya. Agaknya di mata mereka, saya memang pembantu rumah. Semalaman saya menangis di dalam bilik kerana sedih dengan sikap mereka. Suami memujuk supaya saya bersabar tetapi saya katakan saya sudah hilang sabar.

"Saya nekad mengajak suami berpindah. Sudah sekian lama saya berbakti kepada mentua dan anak menantunya dan kini sampai masanya saya memberi tumpuan kepada diri saya, suami dan anak-anak pula.

"Saya perlu berubah untuk kebahagiaan saya sendiri. Saya harap suami faham dan bersetuju dengan saya. Saya harap mak mentua saya sedar dengan sikapnya kepada saya sepanjang 13 tahun hidup serumah dengannya.

"Saya bukan minta disanjung dan dipuja tetapi sekurang-kurangnya, hargai pengorbanan saya, sayang saya seperti mana dia menyayangi anak menantu dan cucu-cucunya yang dari bandar itu.

"Saya sedar siapa saya. Saya tidak ada kelulusan dan jawatan tinggi yang dia boleh uar-uarkan kepada orang kampung. Rupa juga kurang. Tapi saya ada harga diri dan sekeping hati yang ikhlas dan jujur untuk menghormati, menyayangi dan berbakti kepadanya sebagai menantu. Mudah-mudahan Allah mudahkan hajat saya untuk terus hidup dengan cara saya sendiri. Insya-Allah," Delaila menamatkan ceritanya dengan air mata bergenang.

Saya amat berharap Delaila terus tabah dan sabar menghadapi tekanan dan berdoa semoga kemelut yang dialaminya itu akan selesai segera.

Hajat Delaila untuk berpindah juga saya sokong 100 peratus demi kebaikan masa depannya. Namun Delaila harus bijak menangani masalah ini agar hubungan suami dengan ibunya tidak terjejas.

Buat semua mertua, layan menantu biar sama rata, kasih sayang juga mesti seimbang demi kerukunan dan keharmonian hidup berkeluarga.

Kepada Delaila, luahkan apa yang tersurat di hati kepada suami dan mentua. Jangan simpan lama-lama, bimbang diri sendiri yang akan merana.

Menamatkan catatan, pesanan saya, jadilah wanita yang sabar dan tabah, kerana kepayahan itu sebenarnya adalah jalan menuju bahagia.

3 comments:

  1. Sekarang ni mmg ramai yg jadi kedekut walaupun bergaji besar sebab dah melabur ke rumah dan kereta mewah....bila tima makan berebut , bila nak beli barang semua buat dono aje..dasar kedekut..sebab tu dia org ni kalau bersedekah RM2 pun susah nak hulur....
    Kepada budak2 muda..mmg malas nak ke dapur ..dia ingat mak saudara dia org bibik kot..tapi yg salah mak bapak dia org yg tak mendidik dari kecil..cuba tahun depan raya..pergi raya rumah adik beradik..atau time makan..keluar ngan keluarga beraya rumah org...baru padan dia org....

    ReplyDelete
  2. bonda saya siap berpesan kepada kami: jangan tinggal bersama keluarga mentua apabila sudah berkahwin, katanya mula-mula bau wangi,lama-lama bau tahi... lebih baik hidup berdikari, susah senang dirasai suami& isteri...untuk Delaila, jangan biarkan diri anda terus diperhambakan, ubah situasi.... insya-Allah yang lain akan berubah layanan terhadap anda!

    ReplyDelete
  3. Pesan saya pada Delaila dan juga diri saya sendiri, buat baik biar berpada, buat jahat jangan sekali.... tak kira pada siapa pun. Jgn biarkan diri anda di buli!

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...