terima kasih buat kalian semua..

Monday, September 12, 2011

Mengapa 80 peratus yang mati penunggang motosikal?


STATISTIK angka kematian pada Ops Sikap ke-24 lalu amat mengecewakan. Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar juga mengakui akan kegagalan keberkesanan operasi tersebut.

Pelbagai cara dicari, pelbagai rancangan diatur dan pelbagai pendekatan dibuat, namun angka kematian terus meningkat. Jumlah 289 adalah satu angka kematian yang paling tinggi semenjak Ops Sikap diperkenalkan dan ini menunjukkan betapa pengguna jalan raya kerap berada dalam bahaya setiap kali mereka menggunakan jalan-jalan raya di negara ini.

Mungkin kegagalan pada pihak polis adalah dalam melaksanakan undang-undang dengan penuh ketegasan.

Daripada jumlah kematian itu, 80 peratus adalah dari kalangan penunggang motosikal.

Penunggang motosikal dididik dan diasuh untuk menjadi penunggang yang kurang ajar. Pergi sahaja kemana-mana jalan kampung seluruh negara, pasti ada penunggang motosikal yang memandu tanpa topi keledar, tanpa lesen dan tanpa cukai jalan.

Tiada siapa yang berani menegur dan melarang. Tindakan pihak polis pula mengikut mood dan tidak konsisten.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula langsung tidak peduli tentang penunggang motosikal, JPJ lebih penting kepada ikan besar, seperti lori dan kereta sahaja.

Kenapa penunggang motosikal begitu degil dan kurang ajar semasa di atas jalan raya adalah sesuatu yang perlu di ambil serius.

Kajian secara mendalam (bukan menyeluruh) dari segi sosioekonominya, dari segi mental dan sikap, atau dari segi pembelajarannya perlu diberi perhatian.

Saya berpendapat, penunggang motosikal yang kerap bertindak ganas dan sering melanggar peraturan jalan raya adalah kerana faktor mental dan sosioekonomi mereka.

Kebanyakan penunggang motosikal adalah dari kalangan berpendapatan rendah dan sederhana dan kurang berpelajaran. Kenderaan yang mereka ada dan mampu hanyalah motosikal. Tahap IQ yang rendah membuat mereka kurang berfikir panjang dan lekas baran jika ada provokasi.

Harus diingat, penunggang motosikal dari kalangan 80 peratus inilah yang menyumbang kepada statistik kematian yang tinggi setiap menjelang sesuatu perayaan. Masih ada 20 peratus penunggang motosikal yang bersopan dan berdisiplin di jalan raya. Ini kerana 20 peratus ini adalah dari kalangan mereka yang berpendidikan, berjawatan dan motosikal sebagai kenderaan alternatif sahaja.

Kenapa harus di bebankan kepada guru untuk mengajar anak- anak kita tentang keselamatan jalan raya?

Tahukah kita ada di kalangan guru itu sendiri yang tidak bersopan semasa berada di atas jalan raya? Atau kita sengaja mahu melepas tangan dan memindahkan bebanan untuk dipersalahkan kepada guru sekolah pula?

Apa yang perlu kita buat adalah memasuki ke dalam kelompok remaja ini dan mendidik mereka ibu bapa mereka tentang ilmu pemanduan dan tanggungjawab.

Generasi kini perlu dididik secara keras dan tegas untuk mereka mewarisi disiplin dan tanggungjawab agar generasi akan datang mendapat manfaatnya.

Generasi hari ini rela mati di jalan raya dari mati membela negara. Pendidikan berterusan dan ketegasan pihak berkuasa memainkan peranan penting.

Jika pihak berkuasa (polis) tidak berani bertindak kerana mereka juga tinggal di taman-taman perumahan dan di kampung-kampung yang sama, maka Ops Sikap ini harus ditujukan kepada pihak polis dan JPJ kerana sikap mereka yang tidak konsisten dalam menjalankan tanggungjawab yang di pikul.

Inilah sebenarnya punca kenapa 80 peratus angka kematian adalah dari kalangan penunggang motosikal.

Kenapa harus berlembut dan bersifat mendidik? Setiap pemandu yang mempunyai lesen memandu, telah diajar (sepatutnya) tentang semua aspek pemanduan dan keselamatan jalan raya.

Pihak polis tidak perlu lagi bersifat mendidik. Pihak polis dan JPJ atau mana-mana badan penguatkuasaan hanya perlu bertindak dan menjalankan tanggungjawab agar semua pemandu mengikut dan mematuhi undang-undang jalanraya. Berlembut inilah sebenarnya penyumbang utama kepada kegagalan pemandu mematuhi undang-undang jalan raya.

MEZA,
Sg. Buloh

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...