terima kasih buat kalian semua..

Saturday, September 24, 2011

Panduan sebelum membeli kereta..



SELEPAS mengenal kebaikan dan keburukan kad kredit pada isu yang lalu, kali ini kita melangkah ke bab baru mengenai pembelian kereta.
Sudah tentu sebaik saja anda mula bekerja, salah satu keputusan penting yang anda akan ambil ialah membeli sebuah kereta. Walaupun kereta adalah kaedah pengangkutan selesa, perlu diketahui bahawa memiliki sebuah kereta bukan setakat membayar ansuran bulanan saja.
Ia juga membabitkan kos lain seperti petrol, bayaran tol, parking, cukai jalan, insuran, kos penyelenggaraan serta kos membaiki apabila kereta anda rosak.

Seandainya anda boleh membayar segala kos yang disebutkan tadi dengan selesa, anda masih perlu tanya diri anda sama ada kereta itu suatu keperluan atau kehendak.

Kereta baru atau kereta terpakai? Apabila kereta adalah keperluan, anda perlu membuat keputusan sama ada ingin membeli kereta baru atau kereta terpakai.

Ramai orang beranggapan bahawa membeli kereta baru adalah lebih baik kerana kos penyelenggaraannya lebih rendah tetapi pada hakikatnya, memiliki kereta baru juga ada kelemahannya.
Ketika memutuskan jenis kereta yang diperlukan, anda hendaklah terlebih dulu menilai kemampuan anda. Jika didapati membeli kereta baru boleh membebankan, belilah kereta terpakai yang masih berkeadaan baik.

Lagipun, kereta hanya sebuah kenderaan yang membawa anda bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Bagaimana membiayai kereta anda? Lazimnya, orang akan membeli kereta dengan menggunakan pinjaman sewa beli. Sewa beli adalah penyewaan barangan dengan pilihan untuk membelinya pada akhir tempoh pinjaman.

Dengan mengambil pinjaman sewa beli, anda akan dikenali sebagai penyewa dan institusi kewangan yang memberi pembiayaan sebagai pemilik kenderaan.

Sebagai penyewa, anda perlu membuat bayaran ansuran berdasarkan terma dan syarat yang sudah dipersetujui di bawah perjanjian sewa beli.

Selepas semua bayaran ansuran dijelaskan, hak milik kereta tersebut akan dipindahkan kepada anda.

INFO: Panduan bijak beli kereta

  • Buat perbandingan untuk mendapatkan kereta yang boleh diharapkan dan memenuhi keperluan anda. Ada baiknya jika meminta nasihat dari ahli keluarga atau sahabat.

  • Jika anda ingin membeli kereta terpakai, dapatkan khidmat mekanik yang boleh dipercayai atau lakukan pemeriksaan PUSPAKOM ke atas kereta berkenaan.

  • Pertimbangkan harga jualan semula atau nilai tukar beli kereta sekiranya anda bercadang untuk menukarnya kelak.

  • Sekiranya anda mengambil keputusan untuk memohon pinjaman kereta, cari pakej terbaik berdasarkan kemampuan anda. Dapatkan maklumat mengenai kadar faedah efektif yang akan dikenakan.

  • Rangka bajet mengikut pendapatan anda. Ambil kira ansuran bulanan kereta dan lain-lain kos seperti kos petrol, bayaran tol, parking, perbelanjaan lain termasuk cukai jalan, insurans dan servis biasa.

  • Cuba tingkatkan tabungan untuk bayaran pendahuluan supaya pinjaman yang diambil lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih singkat. Perlu diingat bahawa semakin panjang tempoh pinjaman, semakin banyak faedah yang anda perlu bayar.

  • Jangan gunakan kad kredit untuk membuat bayaran pendahuluan kerana anda akan terikat dengan pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi.

  • Bersedia untuk menanggung perbelanjaan di luar dugaan seperti membaiki kereta sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan. Ada baiknya untuk mengetahui mengenai kemudahan mendapat alat ganti serta kos untuk menggantikannya.

  • Pastikan kereta anda mempunyai perlindungan insurans komprehensif yang mencukupi atau sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan insurans pihak ketiga

  • Oleh Alzahrin Alias

    1 comment:

    1. cara saya pulak sy akan beli kereta dengan bayaran bulanan 1/3 dari jumlah gaji sy. sebelum itu sy akan kumpul duit pendahuluan sebanyak 10% dengan jumlah 1/3 gaji setiap bulan sehingga cukup then baru beli tapi kalau ada rebate time tu alhamdulillah jadi x perlu gopoh dalam pembelian kereta. simpan 5% dari jumlah gaji setiap bulan untuk bayaran insurans dan servis kereta. ini cuma boleh dilakukan jika anda belum ada komitmen lain dan ini cuma kaedah yang sy sendiri guna. pembahagian gaji itu adalah penting. gaji bukan untuk spending aje tapi untuk saving di masa hadapan

      ReplyDelete

    Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...