terima kasih buat kalian semua..

Monday, October 24, 2011

Apabila ayah kaki judi..


SAYA mengaku sebagai anak mangsa perceraian hidup kami adik beradik memang tak sempurna, sejak kecil hinggalah berumah tangga. Daripada empat beradik cuma adik bongsu sahaja boleh dikatakan berjaya melanjutkan pelajaran, sementara kami bertiga, sekolah takat tingkatan lima. Lebih teruk macam saya sudahlah semasa kecil hidup terseksa dah kahwin pun belum jumpa bahagia.

''Saya tak salahkan jodoh emak ayah saya, memang itu ketentuan Allah tetapi sebagai manusia kita mesti berusaha. Jika dah tak sesuai antara satu sama lain, cari jalan keluar mungkin jodoh kedua mereka lebih bahagia. Saya bercakap daripada pengalaman sendiri tentang kehidupan emak ayah saya. Dan inilah yang saya ingin kongsikan dengan pembaca,'' demikian cerita Suhaidah dalam emelnya dan ketika kami berbual di telefon.

''Saya terpanggil untuk bercerita setelah membaca kisah minggu lalu tentang suami tak mahu bagi nafkah anak. Itu cerita pasangan yang dah bercerai. Tetapi emak saya walaupun tak bercerai hidup kami adik-beradik memang susah. Nama saja ada ayah, tetapi dia tak kisah langsung tentang hidup kami.

''Kisah ini berlaku lebih 26 tahun lalu. Ketika itu sebagai anak sulung yang baru darjah enam saya sudah faham dan melihat kepincangan hidup emak, ayah kaki judi, banyak duit gajinya habis beli nombor. Perbelanjaan sekolah dan makan minum kami empat beradik tak dipedulikan. Untung ada rumah kerajaan, kalau tidak mungkin kami tidur bawah jambatan atau duduk rumah kotak.

''Untuk meneruskan hidup emak terpaksa berniaga nasi lemak di sekolah, pendapatan tak seberapa, tapi kami dapat makan kerana emak akan masak lebih. Tetapi untuk belanja persekolahan memang tak pernah cukup. Pakaian ala kadar aja. Biasanya emak beri kami pakaian terpakai sepupu kami, tapi kami tak kisah.

''Kata emak saya dah cukup bernasib baik kerana dapat belajar sampai tingkatan lima. Lepas itu kata emak saya kena berhenti dan cari kerja sebab ada tiga adik lagi nak bersekolah. Saya akur dan terpaksa cari kerja, mula-mula kerja kilang, lepas tu kerana ada rezeki saya jadi kerani di sebuah kilang.

''Apa yang menyedihkan saya, emak selalu kena marah dengan ayah pasal benda-benda kecil. Biasanya ayah bengis bila duit dah habis. Mintak pada emak tak dapat. Biasanya bila dapat gaji ayah beri emak duit kadang-kadang RM300, tapi itu pada awal bulan, tak sampai seminggu dia minta duit pada emak, kalau dijumlah lebih daripada RM300 yang diberi. Bila emak kata duit dah habis, emak kena tengkinglah. Mangsanya duit berniaga emaklah jadi korban.

''Bila gaduh ayah pasti ugut nak ceraikan emak. Emak punyalah takut, sebab tak ada tempat nak bergantung. Nenek dan datuk dah meninggal dunia, nak harapkan bantuan adik-beradik mereka pun bukan orang senang. Jadi emak menikus dan menangis bila ayah sebut pasal cerai.

''Bila dah kerja saya bantu emak walaupun gaji tak banyak tapi dapat ringankan sikit beban emak. Sebab itulah adik bongsu kami dapat sambung belajar hingga masuk kolej dan jadi guru.

''Kami adik-beradik kahwin ikut pandai kami. Tapi saya saja terima nasib macam emak. Bekas suami saya walaupun bukan kaki judi, tapi dia kaki melaram memancing perempuan. Lepas seorang perempuan, seorang lagi dia laram, duit gaji habis, kehidupan saya tiga beranak terabai. Tapi saya tak sabar macam emak, saya bagi dia kata dua kalau tak ubah perangai saya bersedia diceraikan.

''Bila bercerai saya berpeluang sambung belajar kerana syarikat tempat saya bekerja semakin berkembang. Saya rasa amat bertuah diberi peluang menjawat jawatan lebih baik lagi. Tapi macam biasalah bukan senang nak mintak cerai. Makan tiga tahun baru selesai. Itupun sebab saya pindah duduk rumah emak jadi dia malu nak duduk rumah flat, akhirnya dia ceraikan saya.

''Anak-anak saya emak jaga. Bukan tujuan saya nak kulikan emak. Tapi emak kata hidup dia lebih senang daripada berniaga sebab duit sentiasa habis ayah ambil. Tapi bila emak jaga anak kami. Duit emak kami simpan dalam bank. Dan kami siapkan makan minum dan segala barang keperluan emak dan untuk anak-anak kami juga.

''Secara tidak langsung ayah tak ada jalan nak mintak duit emak, buku bank emak saya yang pegang. Dan ayah tak tahu kami beri emak duit, dia fikir kami tanggung makan minum emak. Untuk berbelanja sendiri takkan duit pencen tak cukup. Ayah cuma bayar sewa rumah, dan bil air dan letrik sahaja.

''Kata emak dia rasa hidupnya amat bahagia kerana anak-anak sudah bekerja dan kami mengambil berat hidupnya. Tidak seperti hidup bersama ayah menurut emak dia sering menderita. Tapi emak tak berani bantah cakap ayah.

''Saya rasa emak mempunyai tahap kesabaran yang amat tinggi, bukan macam saya. Sebabnya emak tak ada tempat nak bergantung dan mengadu jadi dia terpaksa sabar dengan kerenah ayah. Bercerai amat emak takuti.

''Kata emak dia bertahan hidup bersama ayah bukan kerana dia sayangkan ayah apa lagi bahagia, tetapi kerana ada tempat nak tumpang berteduh. Kasih sayang bersuami isteri langsung tak ada dalam kamus hidup emak.

''Moral cerita saya orang perempuan mesti ada pelajaran dan pekerjaan, bersuami belum tentu beri kita kebahagiaan, ada yang lebih menderita.

''Salah satu sebab saya minta cerai kerana tak mahu jamin pinjaman peribadinya dengan bank. Kerana membantah saya diseksa secara mental dengan aktiviti liarnya dengan ramai wanita. Tapi saya tak marah sebaliknya saya minta diceraikan, kerana itu lebih baik untuk saya dan anak-anak, saya tak mahu 'gantung diri' sebagai penjamin dan dikejar Along,'' demikian cerita Suhaidah tentang hidupnya untuk dikongsi pengalaman.

1 comment:

  1. sebab itulah perkahwinan merupakan satu tangunggjawab yang besar,selain dari sunnah nabi,perkahwinan merupakan salah satu jalan untuk istiqamah terhadap ALLAH..

    It's true banyak kesan negatif bila berlakunya sebuah penceraian,mungkin pada pandangan kasar orang lain tak nampak,hakikatnya mereka yang merasainya lebih memahami.


    p/s: kadang-kadang takut dengan kaum adam sekarang,ada lagikah yang betul2 komited dengan family?

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...