terima kasih buat kalian semua..

Friday, October 7, 2011

Awek cun, boyfriend selebet !! Agaknya kenapa yer???



CINTA itu manis, indah, mengasyikkan, menenangkan dan penuh keceriaan. Istilah cinta itu buta pula menjadikan semua yang sedang dilamun perasaan itu tidak menghiraukan apa orang kata mengenai pasangannya.
Mungkin dari kaca mata orang lain, seorang gadis cantik dan memiliki pakej lengkap keluar ‘dating’ dengan lelaki hodoh dari aspek fizikalnya, bagaikan kisah dongeng zaman kanak-kanak dulu, ‘Beauty and The Beast’, namun mereka langsung tidak menghiraukan apa orang kata, sebaliknya masing-masing tahu keistimewaan pasangannya.
Kisah ‘Beauty and The Beast’ boleh dikaitkan dengan kisah cinta realiti yang masih bertahan sejak tujuh tahun lalu seperti yang dibuktikan pasangan Hollywood iaitu supermodel Heidi Klum yang masih berbahagia dengan pasangannya Seal yang juga seorang penyanyi Soul.

Jelas sekali, kedua-duanya mempunyai kemasyhuran masing-masing dan begitu juga dengan supermodel itu yang tersenarai antara selebriti yang berpendapatan tinggi sepanjang tahun berbanding suaminya.

Puas juga memikirkan apakah punca utama seorang gadis yang cantik mampu mengetepikan rupa paras pasangannya bahkan menunjukkan keintiman yang cukup menghairankan. Jika berpandukan pemikiran singkat, mungkin kerana lelaki itu mempunyai dasar kewangan yang cukup stabil jadi mana-mana perempuan pun mahu keluar dengannya.

Tanggapan itu mungkin tidak salah dan memang benar kestabilan sumber pendapatan membantu lelaki untuk mencari pasangannya, tapi rasanya kalau kaya-raya saja tidak cukup. Sejauh mana manusia boleh hidup gembira hanya berlandaskan kehausan dalam mengejar kesenangan hingga sanggup mengetepikan keperluan dirinya.
Menurut pemerhatian yang dilakukan perunding percintaan, Peter Spalton, wanita lebih mudah mendekati lelaki yang hodoh berbanding si kacak kerana takut jika pelawaannya ditolak berbanding dengan lelaki hodoh yang dikatakan lebih mesra walaupun dalam perjumpaan pertama dan mereka tidak berkelakuan berlebih-lebihan kerana menyedari kekurangan diri sendiri.

Pakar berkenaan juga menjelaskan penyelidikan dilakukan Universiti North Carolina, Wake Forest terhadap 4,00 peserta menunjukkan lelaki dan wanita meletakkan kepentingan yang sangat berbeza pada tanda tarikan fizikal.

Menerusi kajian psikologi, lelaki lebih tertarik kepada keadaan atau gambaran fizikal wanita yang lebih seksi dan mengancam berbeza dengan ciri-ciri dicari wanita yang tidak meletakkan syarat fizikal untuk bersama dengan pasangannya.

Ini adalah kerana wanita mempunyai cita rasa lebih meluas merangkumi sikap dan keperibadian serta kewangan.

Menurut satu kajian rambang yang dilakukan menerusi laman sosial, ramai yang memberi berpendapat lelaki yang dikategori sebagai sederhana mampu menawan gadis pujaan ramai kerana sikap budiman yang dipamerkan bahkan mereka lebih peka dan prihatin terhadap kemahuan atau keinginan wanita berbanding lelaki kacak.

Wanita yang cantik juga dikatakan semakin jelik dengan sikap lelaki yang suka mengambil mudah terhadap hubungan yang dijalin malah melihat hubungan hanya sekadar landasan untuk berseronok dan melepaskan keinginan diri saja.

Penyelidikan yang dijalankan di Universiti Newcastle juga menjelaskan lelaki hodoh mempunyai kolam gen yang lebih sihat dan berdaya tahan. Oleh itu, ia secara tidak langsung menarik perhatian wanita untuk berada dengan mereka berbanding lelaki berwajah klasik. Wanita juga lebih tertarik kepada lelaki bijak, kelakar dan berciri-ciri pemimpin.

Ada juga yang berpendapat, wanita cantik lebih memiliki sikap ego dan mementingkan diri. Jadi, dengan memilih pasangan yang hodoh membuatkan mereka rasa selamat dari masalah kecurangan dan sebagainya. Bahkan, ramai antara mereka juga suka bergaul dengan wanita yang sederhana penampilannya supaya kejelitaan yang dimiliki tidak terancam.

Bagi jejaka yang melihat dirinya kacak, sila lihat di sekeliling anda, rupa bukanlah penilaian utama yang dicari wanita cantik sebaliknya sikap dan kelakuan serta keperibadian dijadikan ukuran. Jangan pula ada nada cemburu mahupun hairan mengapa lelaki hodoh selalu saja dapat memikat hati si gadis seksi dan mengancam.

Apa juga hujahnya, kasih yang terjalin antara dua pihak lebih berdasarkan tarikan fizikal, tetapi cinta yang hadir penangan dan panahannya jauh ke dasar lubuk hati seseorang.

Apabila anda berada dalam fasa cinta, semua indah belaka dan secara tidak langsung mempercayainya. Cinta yang hadir juga adalah perasaan dikongsi antara dua orang yang mempunyai kepentingan seiringan itu melengkapi antara satu sama lain dengan berserta kebahagiaan.

Malah, cinta tidak mengenali cemburu. Ia bukan tentang konflik, mahupun membabitkan ujian. Cinta adalah positif dan jika ia dicemari oleh kecurigaan, iri hati atau pemikiran tidak selamat ia bukanlah cinta sebenar sebaliknya hanya untuk mengisi kekosongan jiwa.

Cinta juga seharusnya membuat anda ingin menjadi lebih baik, ia tidak seharusnya membawa kepada kerosakan diri. Perasaan istimewa itu tidak menuntut semangat tetapi mengangkat dan menjadikannya sebagai cahaya kehidupan.

Sedar atau leka dibuai keasyikan perasaan itu, ia sebenarnya mampu melahirkan impak cukup besar dalam kehidupan seseorang individu. Perasaan yang istimewa itu mampu mengubah kenyataan dan kepercayaan pasangan yang dibuai asmara.

Cinta paling agung sewajarnya kepada Allah, diikuti Nabi Muhammad SAW dan kemudian sesama manusia. Ini bermakna agama mengajar pengikutnya untuk mencintai sesama sendiri tanpa mengira latar belakang etnik, bahasa atau budaya mereka. Cinta yang digalakkan membabitkan jiran, rakan sekerja, saudara mara dan bahkan orang yang tidak dikenali.

Menurut pengertian Barat, cinta merujuk kepada pelbagai perasaan yang berbeza termasuk terhadap negeri, alam dan kehidupan dan juga jiran serta keluarga mahupun pasangan. Perasaan sayang yang lahir dari hati secara tidak langsung memberikan keseronokan serta tarikan tersendiri yang sukar untuk ditafsirkan.

Cinta juga boleh dirujuk sebagai keinginan atau keintiman cinta romantis, tarikan seksual atau sebaliknya keakraban emosi kasih sayang keluarga, atau cinta platonik yang menentukan persahabatan dan untuk kesatuan.

INFO:

Cinta adalah satu perkara yang indah dan mengasyikkan. Persoalannya, tahukah anda saat anda dilamun perasaan itu? Tiada cara mudah untuk mencari kebenaran di sebalik perasaan anda atau individu lain. Namun, ada beberapa tanda memberitahu kisah cinta mula mekar.

  • Anda tahu kerana anda sudah pun mula bercerita mengenai perasaan istimewa terhadap seseorang itu kepada rakan.

  • Apabila meluangkan masa dengan si dia, anda sangat selesa bahkan mesra.

  • Jika atau apabila anda merasa cemburu, perasaan itu akan hilang kerana anda yakin bahkan percaya dengan pasangannya anda tentang keikhlasannya.

  • Rasa tenang apabila pasangan anda bersama-sama.

  • Apabila anda berbincang mengenai sesuatu dengan pasangan, walaupun terpaksa berdebat, anda masih dapat mengawal emosi bahkan selepas itu keadaan menjadi lebih mudah untuk diuruskan bersama.

  • Pasangan tidak pernah meminta anda untuk memilih antara dia atau sebaliknya kesetiaan anda kepada keluarga dan rakan.

  • Sama ada anda atau pasangan anda berasa perlu untuk menguji kesetiaan atau perasaan antara satu sama lain.

  • Anda senang bersamanya walaupun bersama dengan rakan lain.

  • Jika seks adalah keperluan utama dalam hubungan yang dijalin, maka perasaan yang hadir itu bukanlah cinta sebenar. Cinta sepatutnya tidak hanya berlandaskan keinginan nafsu sebaliknya tanggungjawab dan komitmen bersama

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...