terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 25, 2011

Bahasa Melayu seperti melukut di tepi gantang..


JIKA seorang tokoh berucap menggunakan bahasa Inggeris pada majlis rasmi, siapakah yang berhak menegurnya?

Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau pengerusi majlis?
Jika pengacara radio menggunakan bahasa rojak dan disambut pendengar dengan bahasa yang bercampur aduk, apakah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkuasa untuk melarang dan mengambil tindakan tegas terhadap stesen penyiaran? Apakah peranan badan penyiaran dan masyarakat terhadap kedaulatan bahasa Melayu yang kononnya bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia?
Persoalan demi persoalan mengenai isu bahasa Melayu tidak pernah reda. Kecelaruan dan sikap rendah diri di kalangan segelintir bangsa Melayu menyebabkan bahasa kebangsaan sering tercabar.

Jangan terperanjat jika petugas kaunter makanan segera bertanya menggunakan bahasa Inggeris semata-mata untuk mengambil pesanan sekadar paha ayam goreng, kentang putar dan air bergas.

Di dalam pesawat nasional pula, pramugari menggunakan bahasa Inggeris sebagai ucapan pendahuluan kepada penumpang, disusuli bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Syarikat pengeluar kereta nasional menggunakan ejaan salah untuk ‘automobil’ lalu lahir syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd. Tiada siapa yang berani menegur sebuah syarikat berkaitan kerajaan menggunakan ejaan salah sejak hampir 30 tahun lalu.
Hari ini isu bahasa Melayu longlai di negaranya sendiri bukan sesuatu yang asing dan aneh. Nilai ekonomi makin merudum kerana sistem pasaran terbuka menginginkan urus niaga pantas dan cepat. Bahasa Inggeris dianggap bahasa global, tanpa disedari bahasa Melayu sekadar rintihan segelintir sasterawan dan pencinta bahasa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa selain suara dan pena saja!

Pada 13 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Melaka. Kita tidak tahu sejauh mana kesannya terhadap kedaulatan bahasa Melayu sendiri. Jika ikut kepada tradisi, majlis tak lebih daripada baca sajak, bersyair, berpantun, pidato, peraduan menulis khat dan kemudian bahasa Melayu kurang mendapat tempat.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Abdul Ghapar Abdullah, berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terjejas.

Beliau mengakui DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap golongan yang mengabaikan bahasa Melayu. DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan bahasa Melayu.

“Contohnya seperti kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis. Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca daripada sikap pengguna jalan raya, ” katanya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah pihak berkuasa tempatan (PBT). Jika PBT sendiri tidak arif, lalu wujudlah papan tanda ‘Ah Seng jahit wanita’ seperti yang ada sekarang.
Bagi pejuang dan pakar bahasa kebangsaan, Dr Awang Sariyan, proses globalisasi sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.

“Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan ekonomi,” katanya.

Oleh Imlan Adabi


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...