terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 11, 2011

Diragut di hentian PLUS !!!


SAYA ingin berkongsi pengalaman sebagai mangsa ragut. Pendedahan ini tidaklah sehebat mangsa yang sering kita baca dalam akhbar mahupun televisyen.

Pada pukul 2.30 pagi 30 September 2011, saya, isteri dan seorang anak lelaki berusia 12 tahun tergamam apabila menjadi mangsa ragut dua remaja, hanya 70 meter dari tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara-Selatan di bawah sinaran lampu.

Setelah menjelaskan bayaran tol kami sekeluarga terpaksa berhenti berehat kerana keletihan dan tidak mengesyaki apa-apa kerana pada waktu itu terdapat deretan lori turut berhenti rehat.

Setelah berehat kira-kira 20 minit, saya dikejutkan oleh suara jeritan isteri yang sedang bergelut dengan salah seorang remaja yang berusaha mengambil beg tangannya. Kami berehat dalam kereta yang berkunci dan hanya sedikit cermin diturunkan bagi mendapat udara luar.

Peragut tersebut menghulurkan tangannya di ruang yang hanya cukup untuk tangan bersaiz kecil dan menarik beg tangan pada kedudukan di bahagian bawah tempat letak kaki bahagian hadapan sebelah kiri pemandu.

Saya hanya tersedar dan sempat memegang sebahagian beg tersebut. Peragut bersama rakannya berjaya mendapatkan beg itu dan terus melarikan diri menaiki motosikal menongkah arus menuju ke selatan melalui tol tersebut.

Apa yang saya ingin dipaparkan ialah rasa terkilan di atas kelekaan atau tidak ambil berat oleh pihak pengurusan PLUS untuk meletakkan papan tanda amaran atau apa saja usaha untuk memberitahu pengguna mengenai keselamatan mereka.

Sekiranya terdapat apa-apa sahaja peringatan keselamatan, mungkin kami sekeluarga akan berfikir panjang untuk berhenti rehat. Atau jika terdapat kelibat petugas di sekitar kawasan tersebut peragut mungkin takut.

Jika laluan yang sering melibatkan kemalangan jalan raya diletakan tanda amaran kenapa bagi kes ragut tidak difikirkan caranya?

Saya harap pendedahan ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan pengguna lebuh raya bahawa peragut tidak mengenal mangsa dan tempat. Pihak PLUS perlu lebih berusaha untuk mengatasinya, tambahan pula di kawasan yang telah dikenal pasti seperti kejadian yang menimpa keluarga saya.

MANGSA RAGUT
Langkawi, Kedah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...