terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 25, 2011

Hidu 'bau' curang pasangan !!!



KECURANGAN dalam sebuah rumah tangga tidak kiralah berpunca daripada si suami atau isteri memang boleh 'dihidu' sebenarnya. Hanya mungkin individu yang mengalaminya berada dalam situasi penafian untuk menerima kenyataan bahawa pasangan mereka telah melakukan sesuatu yang buruk di belakang mereka. Siapalah yang mahu rumah tangga yang dibina menjadi mangsa orang ketiga bukan?

Tapi apa yang anda mampu buat bila ikatan murni itu terputus di tengah jalan kerana pasangan anda sudah mula curang.

Siapa yang mampu menafikan mangsa dari kecurangan ini pasti menghadapi tekanan yang begitu meluap-luap akibat pasangan yang curang ini.

Bagi si suami atau isteri yang sudah mula berteka teki tentang kejujuran pasangan masing-masing boleh mengawasi tanda seperti di bawah, jika ada, maknanya pasti si dia telah curang terhadap anda.

Tanda yang pertama yang boleh dikesan ialah apabila pasangan anda itu begitu berhati-hati dengan aktiviti komputernya. Kalau dulu dia tidak pernah log keluar pada aktiviti laman sosial yang dikunjunginya namun kebelakangan ini dia begitu berhati-hati dengan aktiviti Internetnya. Kadang-kadang jika anda perhati dia akan memadamkan semua 'history' aktiviti di komputer supaya anda tidak akan dapat mengesan apa yang dibuatnya. Namun anda pasti boleh berfikir sendiri, jika sekali pun dia memadamkannya, kenapa dia perlu berbuat begitu? pasti ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku.

Tanda yang kedua ialah perubahan dalam rutin atau jadual hariannya. Kalau dulu rutinnya sama saja, anda pun sudah masak dengan segala aktiviti hariannya. Mungkin bangun pagi, pergi ke pejabat dan pulang. Kadangkala dia pulang lambat itu pun kerana menyiapkan kerja yang bertimbun di pejabat. Ermm... tapi kali ini dia memberitahu anda bahawa kerjanya terlalu banyak sehingga dia perlu pulang lewat. Atau mungkin juga dia membohongi anda dengan mengatakan bahawa jadual kerjanya telah berubah. Memanglah untuk mendapatkan pangkat atau kredit dari majikan kita perlu rajin bekerja namun apa kaitannya dengan memberitahu anda semua ini, pasti sesuatu yang pelik telah berlaku, fikirkanlah.

Tanda yang ketiga ialah berkaitan dengan emosi yang anda berdua sedang alami. Pada satu peringkat dalam rumah tangga anda akan mengalami saat di mana rumah tangga itu akan menjadi agak hambar kerana kurangnya masa diperuntukkan untuk berdua-duaan. Lihat perubahan pada pasangan anda, adakah dia semakin kurang bercakap, kurang ketawa? dan kurang memberi perhatian kepada apa yang anda tuturkan padanya? Jadi berikan perhatian apabila pasangan anda hanya ada 'jasad' di sebelah anda dan fikirannya menerawang entah ke mana.

Tanda seterusnya dan sekali gus satu tanda yang amat perlu diberi perhatian ialah gerak hati. Bukan mahu bersangka buruk tapi apabila kita tergerak untuk dapat mengesan sesuatu yang tidak baik sedang berlaku memang kita tidak mampu menafikannya.

Tapi awas, jangan bertindak melulu, gunakan juga kewarasan anda untuk bertindak secara berhemah dalam menangani isu ini.

Walau apa pun dugaan yang berlaku dalam perhubungan anda berdua, persoalannya berbaloikah anda untuk mempertahankan hubungan tersebut? Tepuk dada tanya selera.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...