terima kasih buat kalian semua..

Friday, October 7, 2011

Kesempitan kewangan tuntut warga bandar tagih pembelaan kerajaan...


SATU kajian dilaksanakan sebuah kumpulan berkaitan dengan kerajaan baru-baru ini mendapati kedudukan kewangan kebanyakan warga bandar berpendapatan RM3,000 ke bawah amat tenat sekali. Malah ramai antara mereka ini boleh disebut dalam bahasa kasar sudah jatuh pokai.

Fenomena ini tidak terbatas pada satu kaum saja, malah keadaannya tidak banyak beza jika dibandingkan antara kaum lain. Bagi kaum Melayu, kajian terbabit mendapati 70 peratus daripada kelompok ini berpendapatan RM3,000 ke bawah berada dalam keadaan kesempitan kewangan atau financial distress.
Di kalangan kaum Cina pula angkanya 60 peratus dan kemungkinan juga kaum India tidak jauh bezanya daripada paras ini. Warga bandar yang berdepan dengan keadaan ini bukan kerana sikap boros mereka tetapi rentetan peningkatan pelbagai kos daripada perumahan, pengangkutan, makanan, perubatan dan penjagaan anak.
Kajian sama menganggarkan baki pendapatan kumpulan warga bandar ini bukan hanya tidak ada langsung sebelum sempat akhir bulan tetapi jatuh negatif kerana ramai terpaksa berhutang. Tidak seperti penduduk luar bandar, warga bandar ini ketandusan infrastruktur sosial mahupun agensi kerajaan yang mereka boleh mengadu nasib. Golongan ini boleh dikatakan terkontang kanting berusaha menyelesaikan masalah masing-masing.

Secara perbandingan keadaan penduduk luar bandar yang mempunyai pendapatan lebih rendah, adalah lebih baik daripada warga bandar. Di luar bandar, kos perumahan rendah. Kebanyakan penduduk mempunyai tanah dan rumah sendiri. Jika mereka tidak mempunyai rumah sekalipun, ada agensi kerajaan akan membantu membina rumah bagi mereka di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin dengan kos yang rendah bagi penduduk ini.

Selain itu, pelbagai agensi kerajaan sedia membantu dengan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di luar bandar ini. Sebagai contoh seorang nelayan terbela dengan pelbagai program dilaksanakan agensi seperti Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, di samping agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Petani pula dibantu dengan kehadiran Jabatan Pertanian, MARDI dan FAMA. Selain itu, banyak klinik desa ditempatkan berhampiran penduduk luar bandar ini yang dengan menawarkan perkhidmatan dengan bayaran minimum. Malah padang bola atau futsal pun disediakan secara percuma oleh kerajaan.
Bagi warga bandar pula mereka yang memiliki rumah sendiri, terpaksa menyediakan bayaran ansuran bulanan yang agak tinggi berikutan harga rumah yang melonjak naik sejak beberapa tahun lalu. Tidak tersasar jauh jika dikatakan warga bandar berpendapatan kurang daripada RM3,000 ini terpaksa menyediakan anggaran 30 hingga 40 peratus pendapatan mereka untuk kos perumahan.

Bagi mereka yang tidak memiliki rumah, kos sewa juga agak tinggi dan mewakili sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka. Berikutan itu, ramai juga yang memilih untuk berhijrah ke pinggir bandar atau di bandar berhampiran yang kos perumahannya lebih rendah seperti di Rawang atau Seremban bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.

Langkah ini tidak menyelesaikan masalah berikutan mereka terpaksa menanggung pula kos pengangkutan yang tinggi untuk pergi dan balik ke tempat kerja. Warga bandar ini yang kebanyakan suami isteri bekerja juga terpaksa menanggung kos penjagaan anak sama ada menggaji pembantu rumah atau pun menghantar ke pusat asuhan yang turut membabitkan kos tinggi.

Jika jatuh sakit pula, kebanyakannya terpaksa mengunjungi klinik swasta yang mengenakan caj agak tinggi. Jika diambil kira semuanya ini, ditambah pula harga makanan meningkat, mungkin ramai yang berasakan tidak berbaloi duduk di bandar lagi.

Berikutan kebanyakan peluang pekerjaan terletak di bandar, kebanyakan daripada mereka ini tidak mempunyai pilihan. Di atas sebab ini ramai warga bandar yang berpendapat sederhana rendah ini, menaruh harapan dibela apabila kerajaan mengumumkan Julai lalu untuk memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketujuh iaitu Kos Sara Hidup.

Dalam meletakkan masalah kos sara hidup ini sebagai salah satu NKRA ia bermakna kerajaan serius menangani isu terbabit. Berikutan itu, warga bandar terbabit benar-benar berharap pengumuman NKRA ketujuh ini akan disusuli oleh pengumuman langkah konkrit dalam Belanjawan 2012 yang dibentang hari ini.

Setakat ini kerajaan sudah mengumumkan pembinaan kediaman di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA). Bagaimanapun masih kurang jelas bagaimanakah program itu dapat membantu menangani masalah warga bandar ini yang menjangkaui masalah perumahan.

Oleh Khaidir Majid


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...