terima kasih buat kalian semua..

Friday, October 21, 2011

Konsep bina, jual permainkan pembeli?


KONSEP pemilikan rumah secara 'bina dan jual' merupakan satu konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu para pembeli memiliki rumah pertama.

Tujuan konsep ini adalah untuk membela nasib pembeli rumah di samping dapat mengelakkan projek terbengkalai yang boleh merugikan pembeli.

Namun sejauh manakah konsep ini memihak kepada pembeli?

Dewasa ini, peningkatan harga rumah dan tiada kawalan harga oleh kerajaan telah menyebabkan para pemaju menaikkan harga rumah dengan sewenang-wenangnya.

Laporan khas Utusan Malaysia bertarikh 7 Oktober 2011 berkaitan harga rumah yang semakin mahal di Lembah Klang dan pemaju amalkan taktik 'kotor' menarik perhatian saya dalam mengetengahkan isu ini.

Pada 20 Jun 2010, saya telah membuat tempahan sebuah rumah teres dua tingkat berukuran 20x65 kaki berharga RM237,000 di Bandar Teknologi Kajang dengan wang pendahuluan tempahan sebanyak RM1,000.

Semasa membuat tempahan, eksekutif pemasarannya memberitahu hanya unit yang berkonsepkan bina dan jual sahaja yang masih ada ketika itu.

Terdapat kira-kira 40 unit rumah berukuran 20x65 kaki menggunakan konsep ini. Unit-unit rumah yang dijual itu berharga antara RM228,000 hingga RM237,000.

Menurutnya lagi, harga rumah yang dijual kepada pembeli adalah mengikut harga semasa dan tiada perubahan dari segi harga bermula dari tarikh tempahan dibuat sehinggalah rumah siap.

Memandangkan pemaju merupakan antara senarai pemaju perumahan yang stabil di Kajang, saya tidak teragak-agak untuk menempahnya.

Selang dua atau tiga bulan dari tarikh membayar tempahan untuk rumah tersebut, saya kerap menelefon eksekutif pemasarannya untuk mengetahui tentang perkembangan projek berkenaan.

Menurutnya, konsep bina dan jual tidak memerlukan pembeli dan pemaju menandatangani perjanjian jual beli rumah semasa pembinaan.

Perjanjian jual beli hanya akan dimeterai apabila pinjaman perumahan telah dipohon oleh pembeli dan diluluskan oleh pihak bank.

Oleh itu, hanya resit pembayaran tempahan sahaja yang membuktikan wujudnya tempahan dan pembelian rumah tersebut.

Menurut pemaju, rumah tersebut dijangka siap pada Februari 2012 dan pihak peguam akan memaklumkan para pembeli bilakah tarikh permohonan pinjaman perumahan boleh dibuat.

Tambahnya lagi, anggaran tarikh pinjaman perlu dibuat adalah pada Oktober atau November 2011.

Untuk memastikan pembinaan rumah ini berjalan lancar, saya bersama keluarga telah beberapa kali mengunjungi kawasan perumahan yang sedang dibina ini dari semasa ke semasa untuk melihat perkembangan projek.

Hasil tinjauan tersebut, saya mendapati projek perumahan tersebut hampir siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, selepas setahun menunggu, baru-baru ini ini saya menerima panggilan dari pihak peguam tersebut dan memaklumkan projek perumahan yang hampir siap itu tidak akan dijual kepada pembeli sedia ada termasuklah saya.

Pemaju memberi alasan projek perumahan fasa tersebut akan disewakan kepada institusi pendidikan swasta yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

Bagi saya, alasan yang diberikan oleh pemaju tersebut adalah tidak logik langsung.

Adakah ini hanya alasan untuk pihak pemaju dan peguam menaikkan harga rumah tersebut dan menjualkannya pada pembeli lain mengikut harga pasaran terkini?

Saya merasakan ini adalah satu helah dan penipuan daripada pihak pemaju untuk menjual semula unit-unit rumah tersebut mengikut harga pasaran terkini dan ia sudah pasti akan lebih menguntungkan pemaju berbanding meneruskan konsep 'bina dan jual' seperti yang telah dipersetujui.

Oleh kerana tiada perjanjian jual dan beli dimeterai dan hanya perjanjian 'mulut' dan sehelai resit wang pendahuluan tempahan beli rumah, maka pemaju dengan sewenang-wenangnya menukar konsep 'bina dan jual' ini dan membuat pembatalan tempahan pembeli sebelum ini pada saat pembinaan rumah akan siap sepenuhnya.

Selain itu, Fasa 2 bagi projek Hillpark ini telah dibuka untuk tempahan. Perbezaaan harga bagi projek yang dijalankan antara Fasa 1 dan Fasa 2 dianggarkan bernilai RM100,000.

Tindakan pemaju membatalkan penjualan rumah yang kononnya berkonsepkan bina dan jual ini saya rasakan hanyalah untuk mempermainkan pembeli.

Membuang masa pembeli selama setahun lebih menyebabkan pembeli terpaksa menanggung kerugian dari segi masa dan menyebabkan harga rumah semakin meningkat dalam tempoh tersebut.

Pihak pemaju dengan rasa tidak bersalah dan tanpa rasa tanggungjawabnya telah membuatkan pembeli mengalami kerugian.

Saya memanjangkan kes ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Menurut pegawai di bahagian aduannya, laporan dan tindakan tidak dapat dikenakan ke atas pemaju yang tidak bertanggungjawab ini disebabkan tiada perjanjian jual beli ditandatangani dan dimeterai antara kedua-dua pihak sama ada di pihak pembeli mahupun pemaju.

Di manakah hak pembeli jika masalah ini berlaku?

PEMBELI TERANIAYA,
Seri Kembangan, Selangor

1 comment:

  1. Jayie
    Saya pun salah seorang pembeli yang ditipu oleh metro kajang
    jayie22@yahoo.com

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...