terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, October 5, 2011

Luahan suami terpinggir...


JIKA biasanya saya ikuti ruangan ini sering membicarakan isi hati juga masalah kaum wanita sahaja, terutama para isteri, minggu ini izinkan saya membuka isi hati saya, yang saya rasa cukup parah, kerana kedegilan isteri yang lebih mementingkan kepentingan adik-beradiknya sendiri daripada memenuhi hasrat dan keinginan suaminya.'' Itu cerita Helmi dalam emelnya.

''Perkahwinan saya dengan Nurshida atau Shida adalah pilihan orang tua. Namun hidup kami bahagia juga dan kini menjangkau 20 tahun. Sewaktu kami berkahwin, Shida anak yatim piatu, sementara saya beribu tiri.

''Saya tidak menolak dijodohkan dengan Shida kerana saya rasa dia seorang anak yang bertanggungjawab. Dia mampu menjaga lima adik-beradiknya selepas ibu bapanya meninggal dunia.

''Sebab itu saya bersetuju apabila dia meminta kami menetap di rumah pusaka orang tuanya selepas berkahwin demi menjaga dua adiknya yang masih bersekolah menengah. Sementara 3 orang lagi adiknya sudah bekerja.

''Saya akui Shida memang seorang kakak dan isteri yang bertangunggjawab, dia jalankan tugasnya dengan baik pada awal perkahwinan kami. Tetapi masalah besar dia suka bawa adik-adiknya walau ke mana kami pergi. Tidak kiralah sama ada bercuti atau bersiar-siar. Memang pada mulanya saya tidak kisah sangat, tetapi bila selalu sangat begitu, saya mula rimas. Tidak ada masa untuk kami berdua.

''Setelah adik-adiknya habis belajar dan berkerja, sudah pasti tanggungjawabnya mengurus mereka selesai, maka saya ajak Shida tinggal di kampung saya, tetapi dia menolak. Ketika itu usia perkahwinan kami mencecah 10 tahun.

''Alasan dia tolak konon tak mahu tinggal bersama ibu tiri saya kerana ketika itu ayah saya telah meninggal. Katanya lagi kampung saya jauh dari tempat dia bekerja. Maka saya buat keputusan tinggal di kampung bersama anak perempuan kami dan memulakan perniagaan sendiri. Saya tinggalkan dia dengan dua anak kami serta Zek adik bongsu Shida.

''Katanya dia tak boleh tinggalkan rumah sebab kesiankan Zek dan tak ada orang nak uruskan makan minumnya. Tapi macam mana makan minum saya? Sedangkan Zek sudah cukup dewasa dan ada kerja tetap. Malangnya bila Zek sudah kahwin pun dia masih tidak mahu ikut saya pindah, agaknya dia takut rumah pusaka jatuh ke tangan adik-adiknya nanti.

''Zek pula tinggal di rumah mertuanya kerana dekat dengan tempat kerjanya selain menyedari rumah pusaka tersebut telah dikuasai kakaknya. Mulanya saya tidak dengar sebarang masalah tentang sikap Shida, tapi lama kelamaan saya dengar juga desas desus rungutan adik-adik ipar saya tentang sikap kakaknya. Konon dia hendak rumah pusaka itu menjadi miliknya sendiri. Sebagai bukti Zek dan isterinya langsung tak mahu pulang ke kampung.

''Tidak lama kemudian, Shida mengandung lagi. Saya buat keputusan bawa anak bongsu kami berusia empat tahun tinggal bersama saya, dan tinggallah dia bersama anak sulung kami yang berusia 15 tahun. Semasa mengandung, dia pernah jatuh sakit. Bila saudara maranya tahu, saya dipersalahkan, kata mereka, tidak patut saya tinggalkan isteri sendirian.

''Mereka tidak nampak kesalahan Shida yang tidak mahu ikut saya pindah. Sepatutnya mereka nasihatkan Shida supaya ikut suami.

''Walaupun setelah tinggal di rumah sendiri Shida tetap balik kampung bila adik beradiknya pulang. Dia balik bukan sehari dua, kadang-kala sampai seminggu.

''Setiap hari raya dia akan balik kampung dan kembali ke rumah setelah semua adik beradiknya pulang. Dia hendak beraya dengan adik-beradik di rumah pusaka. Dia akan masak dan hidangkan macam-macam hidangan untuk adik-beradiknya, sedangkan saya ditinggalkan sendirian, tanpa memikirkan makan minum saya sepeninggalannya.

Perasaan

''Saya pernah bertanya, tidakkah dia terfikir apa saya makan sewaktu dia masak untuk adik-adiknya? Tak pernahkah terlintas di hatinya apa perasaan suaminya ditinggalkan keseorangan sewaktu dia bersukaria dan bergelak ketawa bersama adik-beradiknya? Pernah dia terfikirkan saya selalu kesunyian bila ditinggalkan?

''Selama 20 tahun saya memendam rasa, mungkin kerana Shida tidak pernah merasa apa yang saya rasakan. Bagaimana agaknya kalau saya balas apa yang Shida lakukan terhadap saya? ''Saya berdoa Allah memberi hidayah kepada Shida supaya sedar tentang tanggungjawab dan tugas dia yang sebenar sebagai isteri. Saya sudah letih menasihatkan Shida. Sebaliknya dia selalu kata sewaktu adik-adiknya pulang itulah waktu mereka dapat berkumpul.

''Kini adik bongsunya mengikut perangai Shida tinggalkan suaminya kerana ikut kakak keduanya Nora pulang kampung. Yang peliknya neneknya atau saudara maranya tidak mahu menasihati Shida dan adiknya.

''Saya pernah terfikir ingin melepaskan Shida kerana berasa tidak diperlukan dan tidak penting dalam hidupnya melainkan adik-beradiknya. Semoga dengan luahan hati saya ini Shida boleh membaca dan menimbangkannya. Begitu juga kepada mana-mana isteri yang sanggup tinggalkan suami semata-mata kerana kepentingan adik-beradik atau anak menantu berminggu atau berbulan-bulan. Fikirkan macam mana keadaan suami yang ditinggalkan, adakah kesunyian dan macam mana makan minumnya.

''Jangan nanti bila suami cari lain atau buka cawangan lain kerana sering kesunyian dituduh macam-macam. Setakat ini hati dan iman saya masih teguh, tetapi jika selalu begini, sudah tentu sebagai lelaki, saya ada sifat nakal dan ego juga. Kepada Shida jangan sampai saya terasa tercabar sebagai seorang suami! Berapa lama lagi saya mesti bersabar?

1 comment:

  1. Kepada saudara, saya simpati dan mengerti apa yang dirasakan saudara kerana apa yang saudara rasakan adalah sama dengan apa yang saya alami sekarang. Saya hormat saudara kerana mampu bersabar walaupun sudah 20 tahun. saya yang hanya menginjak ke usia 3 tahun perkahwinan tidak mampu menanggung semua itu. Suami saya juga berkelakuan dan berpikiran seperti isteri saudara. Lebih mementingkan adik beradik walaupun mereka semua telah berkahwin. rela meninggalkan isteri dan anak2. tidak memikirkan makan minum anak2. hanya memikirkan keseronokan bersama adik beradik. Wang bulanan dan nafkah isteri dan anak2 tidak diberi .dengan alasan saya sebagai isteri yang bekerja mampu untuk menanggung kehidupan kami. Wang dia hanya disalurkan kepada adik beradik dengan alasan .. kesian ngan adik beradik. merekalah yang menjaga diri nya selama ini. mereka di dalam kesusahan dan perlu ditolong. Tapi saya sebagai isterinya dan anak2 nya. tidak kah dia kasihan . Langsung tidak diberi nafkah. Tidak perlukah kami merasakan duit dan masa dan kasih sayang seorang ayah dan suami. Mengapa keluarganya yang diutamakan. Bukankah mereka mempunyai suami dan isteri yang boleh dijaga. Pernah suami saya tidak pulang ke rumah dan pergi melawat adiknya. Dan saya dilanda kesakitan pada malam tu. Saya suruh pulang ..Saya menelefon adiknya menyuruh pulang. Tapi alasannya. Jauh dan lewat malam. Biarlah esok sahaja balik. Dalam tengah malam itu saya gagahkan diri juga pergi ke hospital seorang diri dan anak2 dijaga oleh jiran. Dimana silapnya tidaklah saya ketahui. Sayangnya pada adik beradik melebihi sayangnya pada keluarga dia sendiri. Dan kini saya hanya berdoa semoga Allah bukakan pintu hatinya untuk kami anak beranak. Ikhlas rintihan hati dari IBUterpinggir

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...