terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 11, 2011

Minta Tabung Haji lebih telus isu pilih jemaah


SAYA dan suami sebahagian daripada 733,000 pendeposit yang mendaftar untuk mengerjakan haji pada 2009 dan mengikut rekod, dijangka menunaikan ibadat haji pada 2029. Ketika mendaftar, kami suami isteri dimaklumkan bahawa kami boleh merayu setiap tahun untuk dipercepatkan kunjungan ke Baitullah.

Bermula tahun lalu, kami membuat rayuan namun tidak mendapat tempat dan kami buat rayuan sekali lagi pada Mac lalu dan mengemukakan rayuan kedua pada Jun lalu.
Tetapi apa yang amat saya kesalkan, terdapat kes tertentu di mana pihak yang tidak mendaftar diberikan tawaran dan ada baru mendaftar pada 15 September lalu terus mendapat kelulusan untuk terpilih.
Saya maklumkan kepada pihak Tabung Haji berkenaan dua kes yang benar-benar berlaku tetapi aduan saya tidak diendahkan.

Saya hanya mahu keadilan ditegakkan bagi kami pendeposit yang mendaftar untuk mengerjakan haji secara mussassah. Saya merayu seperti dinasihatkan dan terkini saya merayu kerana bapa saya menghadapi masalah penglihatan dan memberikan surat doktor.

Saya akur kiranya bukan rezeki kami suami isteri untuk pergi bersama dengan ibu bapa kami, tetapi biarlah adil.

Saya dimaklumkan rayuan ditolak kerana faktor umur kami masih muda, baru mendaftar dan kumpulan bapa saya sudah mencukupi lima orang.
Saya hanya mahu keadilan. Kiranya benar, kami baru mendaftar pada 2009, bagaimana dengan kes yang saya nyatakan iaitu baru mendaftar pada 15 September terus mendapat kelulusan pada 24 September lalu?

Kalau benar Tabung Haji telus, maka kotakan apa yang salah seorang pegawai kanannya pernah beritahu pada suami saya, bahawa yang dulu didahulukan. Kalau faktor umur, adakah Tabung Haji hanya mahu menunggu kami mencecah umur warga emas pada 2029 baru dapat pergi menjejakkan kaki di Makkah?

Jangan jadikan pendeposit yang berdaftar ini sentiasa diberikan jawapan bergantung pada kekosongan. Jawapan bukan rezeki akan sentiasa diberikan kepada pendeposit yang merayu setiap tahun.

Saya hanya mahu keadilan ditegakkan kerana setakat ini masih tiada jawapan yang menyakinkan diberikan oleh pihak berkenaan terhadap aduan saya.

RASHIDAH RAHAMAT,
Seremban

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...