terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 25, 2011

Pembekuan amah asing sepatutnya bukan isu besar..


PEMBEKUAN dan pemberhentian penghantaran pembantu rumah dari Indonesia dan Kampuchea sepatutnya tidak menjadi suatu masalah besar kepada negara ini.

Sudah terlalu lama masalah ini diperkatakan, sehingga membabitkan kepimpinan negara-negara yang terlibat. Malahan di pihak Malaysia, kerugian wang hingga mencecah ratusan juta ringgit telah dilaporkan.

Adakah isu ini terlalu sukar untuk diatasi? Adakah kita benar-benar memerlukan kehadiran amah-amah ini dalam jumlah yang sebegitu besar dari negara-negara tersebut atau dari negara-negara lain juga?

Atau, adakah kita terpaksa memujuk rayu atau sepatutnya mendirikan institusi profesional khusus untuk melatih amah-amah tempatan supaya kita dapat mengambil alih tugasan amah-amah dari luar?

Sebenarnya isu dan masalah ini dapat diatasi dengan yakin dan mudah dalam kaedah dan situasi menang-menang.

Kebanyakan keluarga yang memerlukan pembantu-pembantu rumah ini adalah mereka yang terdiri daripada pasangan muda yang mempunyai seorang, dua atau tiga orang anak kecil.

Kedua-dua pasangan ini pula bekerja. Jadi, masalah mereka sebenarnya ialah penjagaan anak-anak kecil ini sewaktu mereka keluarga bekerja, bukan di hari-hari hujung minggu atau di waktu selepas hari bekerja.

Juga perlu disebutkan, masalah pasangan muda ini bukanlah isu penyediaan makanan, mengemas rumah, membasuh dan sebagainya.

Bagi kerja-kerja rumah ini, pasangan bahagia berkenaan akan lakukan sendiri secara bersama, sambil menyerlah lagi kebahagiaan hidup mereka.

Mari kita ambil situasi di sebuah taman perumahan atau di sebuah kampung yang tidak jauh dari bandar. Di kawasan inilah penjagaan anak-anak kecil ini sangat diperlukan.

Menginsafi kewujudan isu mendesak ini, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tempat itu bolehlah membuat soal selidik atau bancian untuk penduduk yang memerlukan khidmat dan bantuan menjaga anak kecil.

Juga jalankan bancian atau soal selidik untuk mengenal pasti dan mendapatkan persetujuan pihak ibu-ibu atau siapa juga yang berkemampuan dan berkeinginan untuk menjaga anak-anak kecil, dengan mendapat bayaran RM300 hingga RM800 setiap bulan (terpulang kepada jumlah anak-anak yang mereka jaga).

Pihak JKKK di tempat itu bolehlah hebahkan kemudahan perkhidmatan menjaga anak kecil (baby sitting) dengan kaedah lain yang mudah. Pihak JKKK bolehlah menjadi penyelaras dan pemantau kesempurnaan perkhidmatan ini.

Saya percaya dan yakin jika usaha ini dilaksanakan, pihak-pihak yang terlibat akan bergembira kerana mereka dapat mengatasi masalah ini dalam suasana menang-menang.

Bagi pihak JKKK setempat pula akan merasa bangga dapat berbakti kepada masyarakat dan negara.

Tetapi di dalam situasi yang lain, kehadiran seorang dua orang 'bibik' memanglah tidak dapat dielakkan. Namun demikian, keperluan 'bibik-bibik' di dalam rumah tangga di negara kita tidak akan menjadi terlalu besar dan 'repot-repot' (banyak masalah).

ABD. AZIZ
Bangi, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...