terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 11, 2011

Pulih dara, realiti atau fantasi?


Selaput yang sudah pecah tidak mungkin kembali seperti asal

CERITA wanita tertipu dengan bomoh palsu yang mendakwa mampu mengembalikan perawan bukan perkara baru. Walaupun perlu melakukan amalan ritual, wanita yang 'terdesak' untuk kembalikan dara tetap percaya serta ingin mencubanya.
Rawatan itu bukan saja karut tetapi berisiko dan boleh mengundang bahaya seperti memasukkan benda terlarang pada bahagian sulit, antaranya susuk atau ditindik, kononnya boleh memulihkan semula dara.
Persoalannya, adakah dara benar boleh dipulihkan atau sekadar omongan kosong pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap wanita daif?

Pakar Sakit Puan dan Kecantikan Klinik Dr Alice, Dr Alice Prethima, berkata wanita yang mengikut petua atau kepercayaan untuk pulihkan dara, tidak masuk akal seperti memasukkan sesuatu ke bahagian sulit.

Dr Alice berkata, ini mungkin berlaku kerana wanita tidak mempunyai pengetahuan secukupnya berhubung fungsi dan peranan bahagian sulit. Mereka tidak mengenali fungsi bahagian yang menjadikan seseorang itu sebagai wanita sejati.

“Memang ada wanita percaya rawatan bomoh atau mengamalkan petua yang nyata tidak mementingkan kebersihan atau sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata untuk bahagian itu sempurna, akhirnya terperangkap dengan tipu muslihat seperti dilaporkan di akhbar. Ada juga yang percaya menyapu sesuatu sebelum melakukan hubungan intim akan menyebabkan ‘alat sulit’ ketat.
“Tetapi sebenarnya, ‘ketat’ itu terasa bila bahagian disapu itu menjadi bengkak atau radang. Keadaan itu hanya bersifat sementara dan penggunaan berterusan terhadap bahan sapu seperti ini dikhuatiri menyebabkan bahagian sulit wanita terasa kebas dan tidak akan dapat lagi menikmati hubungan intim sebenarnya,” katanya mengenai pulih dara.

Dara dikaitkan dengan selaput bahagian itu dan ia menentukan perawan wanita. Ia terlalu ‘rapuh’ hingga boleh hilang disebabkan kemalangan atau melakukan hubungan seksual. Justeru, selaput dara tidak dapat dikembalikan dengan hanya dengan rawatan serta petua.

Itulah kenyataan, tetapi merapatkan bahagian sulit atau pulih dara, membolehkan hubungan kelamin berjalan dengan baik boleh dilakukan menerusi rawatan di klinik sakit puan.

Sama ada wanita itu masih dara hanya dapat ditentukan suami (menerusi hubungan seks) dan jika mudah saja bermaksud ‘daranya sudah dicerobohi’ atau disebabkan perkara lain kerana selaput berkenaan terlalu tipis dan mudah hilang.

Bagi wanita berkahwin, pulih dara dilakukan untuk memperbaiki hubungan seksual selepas ‘tidak kemas’ akibat pertambahan usia atau melahirkan anak.

Namun, bagi wanita bujang, rawatan itu membolehkan rahsianya tidak terbongkar. Lantaran kesukaran penetrasi dijadikan ‘tanda dara yang boleh dipalsukan’ olehnya kepada bakal suami kelak.

Bagaimana berlaku ‘kelonggaran’? Dr Alice berkata, sejajar peredaran waktu, anggota tubuh badan juga mengalami penuaan. Bezanya di bahagian bawah itu tidak dapat dilihat jelas keadaannya.

Keadaan itu hanya disedari apabila sudah agak terlewat, seperti berasa tidak selesa dan pasangan mulai mengadu mengenai kemutan yang tidak lagi seperti dulu.

“Wanita perlu akur bahagian sulit wanita tidak akan menjadi sempit seperti zaman anak dara disebabkan beberapa faktor termasuk melalui proses kelahiran selain perubahan hormon disebabkan pertambahan usia kerana ia memberi implikasi kepada otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj wanita apabila akan semakin mengendur.

“Wanita muda memiliki struktur tubuh yang ketat dan kemas. Justeru, semakin berusia usia wanita, vagina akan menjadi semakin lemah dan longgar dengan kekenduran otot serta ligamen di sekeliling lantai pelvik tidak boleh dielakkan, sekali gus memberi kesan kepada kepuasan ketika menjalin hubungan seksual.

“Keadaan ini bukan saja memberikan implikasi kepada pasangan sebaliknya turut mengalami ‘vagina relaxation’ iaitu keadaan menyebabkan wanita tidak lagi mendapat kepuasan seperti dulu. Ia disebabkan masalah ‘stress urinary incontinence (SUI)’ iaitu keadaan individu tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing. Keadaan tidak selesa itu boleh menyebabkan hilang fungsi kawalan serta penurunan keinginan seksual,” katanya.

Vulva adalah organ luaran wanita yang melindungi pembukaannya oleh ‘dua pintu’ labia majora (bibir besar) dan labia minora (bibir kecil). Faraj adalah bahagian anjal menyambungkan antara vulva ke rahim. Panjang faraj ketika rehat kira-kira 6 hingga 7.5 cm (2.5 hingga 3 inci) merentasi dinding anterior (depan), manakala 9 cm (3.5 inci) panjang di dinding belakang atau (posterior).

Ketika berahi faraj akan mengembang di dalam menyebabkan kedua-dua bahagian itu menjadi lebih panjang dan lebar. Keanjalan itu, membolehkan ia meregangkan ketika hubungan seksual dan ketika proses kelahiran anak berlaku.

Indahnya sains apabila kecanggihan teknologinya membantu wanita memulihkan dara menerusi rawatan khusus menggunakan laser. Ia dikatakan mampu memulih keadaan otot serta kekuatan faraj wanita yang mengalami masalah kekenduran otot vagina terutama selepas bersalin atau akibat peningkatan usia.

Menyifatkan ia sebagai rawatan ringan kerana tidak mengakibatkan pendarahan, ia hanya mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk pulih. Rawatan menghasilkan stimulasi kolagen untuk memulihkan mukosa faraj, merangsang penjanaan semula kolagen dan pemulihan dinding vagina menjadikan ia rapat dan elok sama di bahagian dalam atau luaran.

Bukti keberkesanan rawatan apabila ia mampu mengurangkan diameter luar dalam vagina, sekali gus meningkatkan rangsangan vagina.

Bagaimanapun tegas Dr Alice, ‘keperluan’ rawatan untuk wanita yang berhadapan menopaus yang menyebabkan longgar serta rasa tidak selesa.

Perubahan fisiologi biasa kepada wanita dalam penuaan dan wanita pos-menopaus meningkatkan kerapuhan, kegatalan, kekeringan, dan atau sakit dalam tisu kemaluan. Pengurangan lapisan kolagen dalam mukosa disebabkan oleh penuaan dan perubahan hormon menopaus, pengurangan kolagen serta penipisan lapisan mukus dinding faraj akan menyebabkan kerapuhan, kekeringan, kesakitan dan pendarahan dalam faraj.

Begitupun, menjaga kekuatan otot kawasan sekitar, usaha lain boleh diamalkan. Antaranya, wanita disaran amalkan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok dan alkohol. Makan makanan berkhasiat serta tinggi serat termasuk buah-buahan serta minyak ikan diikuti amalan senaman kemutan untuk menguatkan otot bahagian itu, pada masa sama menggalakkan kolagen

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...