terima kasih buat kalian semua..

Thursday, October 27, 2011

Rombak fungsi Polis Trafik, JPJ...


Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah dua agensi penguatkuasaan yang melaksanakan undang-undang trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis Trafik adalah salah satu unit di bawah Jabatan Ketenteraman Awam/Keselamatan Dalam Negeri, PDRM manakala JPJ adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.

Pada masa ini, sekiranya berlaku kemalangan biasa di jalan raya, selalunya laporan akan dibuat oleh orang ramai atau pihak yang terlibat kepada balai polis terdekat. Kes tersebut kemudian disalurkan kepada Unit Trafik di mana siasatan akan dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Trafik atau mana-mana pembantu atau penolongnya bagi tujuan pampasan insurans.

Sekiranya kes kemalangan melibatkan kematian atau cedera parah atau kerosakan teruk, selalunya Pegawai Penyiasat Trafik akan mengambil masa lebih lama untuk membuat siasatan kerana memerlukan keterangan saksi, laporan bedah siasat, laporan PUSPAKOM dan lain-lain lagi bagi tujuan pendakwaan, tuntutan insuran serta proses mahkamah. Tugas ini belum lagi termasuk membuat penguatkuasaan di jalan raya ataupun membuat kawalan trafik pada waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya.

Bayangkan, sekiranya sesuatu daerah mempunyai beberapa kes melibatkan kematian setiap hari, betapa banyaknya beban kerja kakitangan Polis Trafik ini yang bilangannya sedikit jika dibandingkan dengan unit lain seperti Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Narkotik, Cawangan Khas dan lain-lain lagi. Umum mungkin sedia maklum bahawa Unit Trafik sama ada di peringkat kontinjen atau peringkat daerah, selalunya mempunyai anggota yang minimum dibandingkan dengan keperluan semasa.

Justeru, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mempertimbangkan agar anggota Pasukan Gerakan Am (dahulunya Pasukan Polis Hutan) yang mempunyai kekuatan lebih daripada 16 batalion di seluruh negara dapat diaturgerakkan (redeploy) semula bagi memenuhi keperluan sumber manusia untuk Polis Trafik di segenap peringkat daerah sehinggalah ke peringkat kontinjen.

Saya juga mengesyorkan dibuat rombakan agar Unit Trafik dapat dikeluarkan daripada Jabatan KDN/KA dan menjadi jabatan penuh (seperti JSJ, Narkotik dan Cawangan Khas) serta pengarahnya melapor secara terus kepada Ketua Polis Negara atau Timbalan KPN.

Ini dapat meningkatkan lagi keberkesanan operasi Jabatan Trafik dari segi policy decision bagi menangani isu-isu kemalangan jalan raya yang semakin berleluasa sekarang ini. Saya yakin, dengan kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun yang tidak kurang daripada 6,200 nyawa rakyat Malaysia, sudah cukup untuk dijadikan sebagai justifikasi untuk menubuhkan Jabatan Trafik ini.

Seperkara lagi yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan ialah isu pembahagian kuasa (separation of power) di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 agar segala kuasa penguatkuasaan (power to enforce) diserahkan secara terus atau telus kepada Polis Trafik PDRM. Ini bagi membolehkan kebertanggungjawaban sepenuhnya (full responsibility) sekiranya berlaku apa-apa ketirisan dari segi pelaksanaan pada masa depan.

Buat masa ini, terdapat isu pelaksanaan undang-undang trafik yang berbeza yang berlaku di lapangan di antara Trafik PDRM dan JPJ. Contohnya daripada segi jumlah saman yang dikenakan berbeza untuk kesalahan yang sama dan isu saman polis boleh diskaun tapi bukan saman JPJ dan sebagainya.

Pada masa sama, di dalam Akta Polis, telah digariskan bahawa polis juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang trafik di jalan raya. Ini juga merupakan pertindihan kuasa sedia ada di antara Trafik dan JPJ dari segi Akta Polis dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peranan JPJ sebenarnya boleh diperluaskan dan dimantapkan lagi dengan menambah nilai kepada kualiti perkhidmatan pengangkutan darat sekiranya menyerahkan kuasa penguatkuasaan kepada Trafik PDRM.

Tidak semestinya JPJ akan 'hilang taring' sekiranya peranan penguatkuasaan ini diserahkan kepada Trafik PDRM. Ini kerana, dengan pengurangan beban kerja penguatkuasaan, JPJ boleh memberi keutamaan untuk menjadi badan kawalselia yang telus dan berkualiti terutama sekali di dalam menangani isu-isu pelesenan pemandu, kualiti pengajaran di institut memandu dan pelesenan kenderaan.

Belanja kos operasi mengurus bagi agensi JPJ juga sebenarnya dapat dikurangkan dengan sebaiknya dan lebihan peruntukan boleh disalurkan kepada peningkatan taraf perkhidmatan kaunter.

Dengan pembahagian kuasa ini, adalah diharapkan dalam jangka masa panjang, persepsi negatif masyarakat terhadap Polis Trafik dan JPJ, seperti isu rasuah dapat ditangani dan dikurangkan secara beransur-ansur. Barulah selepas ini, JPJ dan Trafik Polis akan sentiasa disegani dan dihormati oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

WARGA PRIHATIN
Sarawak

2 comments:

  1. Pendapat saudara WARGA PRIHATIN SARAWAK adalah bernas tetapi setahu saya, ada sebab kenapa JPJ di tubuhkan. Bukan saja isu perlesenan yang perlu saudara/saudari ataupun apa apa jua isu isu penambahbaikan kaunter dan sistem kerja, tapi JPJ ada salah satu agensi penguatkuasa yang terakhir sekali yang akan mengambil tindakan penguatkuasaan di atas jalan raya selepas PDRM dan lain-lain lagi. Sekiranya saudara/saudari pernah mengalami situasi , contohnya, kalau pihak polis membuat sekatan jalan, pihak polis terlepas pandang sekiranya anda tidak mempunyai lesen memandu, mungkin ini boleh membahayakan orang awam lain. Mungkin anda akan fikir anda selamat, tetapi macam mana dgn keselamatan orang awam lain yang memandu kenderaan tanpa di sedari pemandu kenderaan lain tidak mempunyai lesen memandu dan tidak di lindungi insuran. Sebab itulah adanya JPJ di wujudkan dan wujudnya pegawai penguatkuasa JPJ. Bagi saya, tak salah adanya kehadiran Jabatan Penangkutan Jalan di malaysia. PDRM pun juga gunasama AKta JPJ. Cuba suadara/saudari fikirkan, kenapa wujud nya POLIS? Setahu saya, Tugas polis dahulu, menjaga kententeraman awam rakyat Malayisa.(rujukan pengalaman dari bekas polis hutan/polis ayah saya sendiri) dan tidak salah juga polis menggunakan akta JPJ.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...