terima kasih buat kalian semua..

Monday, October 24, 2011

Sudahlah diisytihar muflis, dipenjara pula sebulan !!!


SURADI Darius, berusia 43 tahun diisytiharkan bankrap pada 2004 akibat kegagalan melangsaikan hutang pinjaman kereta. Suradi diarahkan Pejabat Insolvensi Malaysia untuk membayar ansuran RM50 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang selari dengan perintah mahkamah bertarikh 4 Mac 2005.

Isteri Suradi, Rosnah Mohd @ Sailan sebagai penjamin juga diisytihar bankrap. Suradi terpaksa membayar hutang isterinya RM50 sebulan menjadikan ansuran bulanannya ialah RM100.
Akibat kegagalan pembayaran ansuran berkenaan, Pejabat Insolvensi Malaysia memfailkan Permohonan Komital di bawah Seksyen 91(2) Akta Kebankrapan 1967 terhadap Suradi. Beliau dihadapkan ke mahkamah pada 30 Jun lalu hanya selepas waran tangkap dikeluarkan mahkamah atas permohonan Pejabat Insolvensi Malaysia.
Suradi menjelaskan kepada mahkamah beliau tidak pernah menerima apa-apa surat atau tindakan mahkamah sebelum ini. Namun, beliau tetap hadir di mahkamah pada setiap tarikh bicara dan membayar semua tunggakan RM3,450 yang dikira dari Oktober 2004 hingga Jun 2010.

Namun, ia tidak memadai bagi Pejabat Insolvensi Malaysia yang meminta Suradi membayar tunggakan sehingga September lalu. Suradi tiada pilihan walaupun jelas ia memprejudiskan beliau kerana tempoh antara 30 Jun hingga 27 September lalu adalah singkat untuknya mencari wang membayar semua jumlah dituntut.

Bagaimanapun, Suradi tetap akur dan berusaha mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang dalam tempoh diberikan. Suradi berjaya membayar jumlah terhutang sehingga Jun lalu dan berbaki tiga bulan berjumlah RM150 saja. Walaupun usaha gigih dan kerjasama diberi kepada mahkamah dan terutama Pejabat Insolvensi Malaysia, Suradi tetap dikenakan penjara sebulan atas alasan melanggar perintah mahkamah bertarikh 4 Mac 2005 dan sebagai pengajaran kepada semua pihak terutama mereka yang muflis agar mematuhi perintah mahkamah.

Suradi melalui peguamcaranya, Tetuan Imam & Associates memfailkan rayuan atas hukuman itu dan pada 21 Oktober lalu, mahkamah membebaskan Suradi dengan hukuman sebulan penjara adalah keterlaluan. Namun ia tidak menyebabkan Suradi tidak layak dipenjarakan kerana ia benar dan sah di sisi undang-undang. Suradi contoh menarik yang perlu mendapat perhatian semua pihak terutama Pejabat Insolvensi Malaysia dalam melaksanakan tugas. Pejabat Insolvensi Malaysia perlu melihat setiap kes berdasarkan merit dan keadaan si bankrap sebelum bertindak ikut undang-undang. Setiap kes berbeza dan unik. Justeru, pertimbangan adil amat dituntut sebelum tindakan dibuat.
Suradi tidak mempertikaikan keputusan mahkamah pada 27 September lalu kerana berdasarkan undang-undang. Namun, adalah keterlaluan dan tidak setimpal jika beliau dipenjarakan sebulan hanya kerana gagal membayar baki RM150.

Di manakah pertimbangan pihak terbabit selepas segala usaha gigih beliau melunaskan hutang? Adakah padan dan patut beliau dipenjarakan dengan alasan kepentingan awam dan sebagai pengajaran semata-mata?

Adakah Pejabat Insolvensi Malaysia melaksanakan tindakan lain sebelum mengambil tindakan akhir iaitu penjara? Adakah amaran terakhir diberi kepada Suradi dan mengapa Pejabat Insolvensi Malaysia tidak mengenakan denda sebagai alternatif? Apakah faedah jika Suradi dipenjarakan sedangkan beliau akan dibuang kerja? Bagaimana Suradi membayar ansuran bulanannya jika tidak bekerja?

Suradi harus mendapat peluang terakhir untuk mempelajari kesilapannya kerana beliau bukan pesalah ulangan atau enggan terus mengingkari perintah mahkamah. Malah, hutang itu dibayar masih berbaki RM150.

Pejabat Insolvensi Malaysia sewajarnya melaksanakan penguatkuasaan lebih mantap dan berkesan sebelum memenjarakan si bankrap. Dalam melaksanakan undang-undang, segala alternatif lain perlu dilaksanakan dulu dan pertimbangan sewajarnya diambil kira termasuk taraf kehidupan, sosial dan kerjasama si bankrap.

Jika Suradi hidup mewah dan enggan mematuhi perintah mahkamah, wajar tindakan memenjarakannya dilaksanakan. Kes Suradi ialah yang pertama di Malaysia dengan tindakan memenjarakan si bankrap dilaksanakan sejajar dengan lunas undang-undang. Namun, persoalannya, adakah wajar dan patut beliau dipenjarakan sebulan?

Ini penting untuk menjaga integriti Pejabat Insolvensi Malaysia supaya tidak dianggap jabatan kerajaan yang kejam dan tidak bertimbang rasa dalam pelaksanaan tanggungjawabnya.

Janganlah gunakan undang-undang sebagai medium untuk menghukum si bankrap tanpa memberi peluang dia mempelajari kesilapannya atas alasan kepentingan awam semata-mata.

Oleh Norina Munira Karim


Penulis ialah anggota jaringan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...