terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, October 25, 2011

Syor Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba bergabung..


SECARA umumnya rakyat Malaysia telah sedia maklum dua buah agensi kerajaan iaitu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) memainkan peranan yang amat besar kepada negara dalam aspek menyelamat harta benda dan keselamatan orang awam.

Namun begitu, sebahagian besar rakyat di negara ini masih lagi keliru mengenai perbezaan peranan kedua-dua jabatan berkenaan. Ini kerana mereka mempunyai ruang lingkup penugasan yang hampir serupa.

Jika disingkap dari segi sejarah, Pertahanan Awam atau Civil Defence ini wujud sejak era Perang Dunia Kedua. Ketika itu peranannya amat besar iaitu memberikan bantuan dan pertolongan dalam segenap aspek seperti memadam kebakaran, bantuan perubatan awal, pemindahan mangsa perang, merawat askar yang cedera dan sebagainya.

Selepas pasca kemerdekaan Malaysia, tugas dan peranannya semakin tenggelam. Namun begitu Pertahanan Awam masih relevan sehingga ke hari ini kerana masih gagah di bawah Akta Pertahanan Awamnya sendiri.

Bomba Malaysia pula wujud selepas era kemerdekaan negara. Begitupun, badan tersebut di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri masing-masing.

Dewasa ini Bomba dan Penyelamat Malaysia adalah sebuah Jabatan yang besar, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), mempunyai kekuatan anggota yang ramai, jentera dan logistik yang banyak serta taburan tempat operasi yang meluas, berbanding JPAM.

Ketika ini, negara telah sedia maklum bahawa kedua-dua agensi tersebut adalah juga rangkaian kepada sistem MERS 999, iaitu Malaysia Emergency Respons System selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hospital.

Apabila terjadinya sesuatu bencana atau malapetaka yang melanda di sesuatu kawasan di negara kita, keempat-empat badan atau agensi berkenaan akan digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Dari satu aspek, ia adalah amat murni dan terpuji kerana mereka datang dan berada di tempat kejadian dengan satu tujuan iaitu untuk memberikan pertolongan mengikut kemahiran serta bidang kuasa masing-masing.

Namun dari perspektif lain, JPAM dan Bomba seolah-olah mempunyai pertindihan tugas dan peranan. Ada juga sesetengah operasi yang melibatkan kedua-dua agensi berkenaan menimbulkan sedikit krisis yang mengakibatkan hubungan kemanusiaan kedua-dua pihak menjadi tidak erat serta dingin.

Kami sebagai rakyat berpendapat, adalah amat merugikan jika mereka saling menyalahkan antara satu dengan lain jika timbulnya sesuatu isu yang melibatkan aspek pasukan penyelamat berkenaan. Ini terutamanya ketika dalam proses membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang ditimpa musibah.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji semula peranan atau tugas masing-masing. Atau pun kita mungkin boleh mengambil contoh iktibar dari negara jiran kita, iaitu Singapura yang telah menggabungkan agensi penyelamat utama negara di bawah satu badan sahaja.

Tidak salah rasanya jika Malaysia juga boleh mengambil langkah transformasi dengan menggabungkan JPAM dan Bomba sebagai satu entiti Penyelamat Malaysia yang lebih kukuh, padu, berwibawa dan berkemahiran tinggi dari segenap aspek.

Ini akan dilihat sebagai serampang dua mata, iaitu memperkasakan pegawai dan anggota jabatan berkenaan melalui perkongsian ilmu serta kemahiran, di samping memperbanyakkan aset dan logistik yang sedia ada. Kos belanjawan kerajaan juga boleh ditumpukan di bawah satu agensi/jabatan penyelamat sahaja.

Mungkin kita boleh cadangkan di sini, agensi penyelamat yang digabungkan itu dikenali sebagai Angkatan Penyelamat Pertahanan Awam dan Kebombaan Malaysia (APPAKEM) atau Malaysian Rescue Civil Defence and FireBrigade (MRCDF).

PEMERHATI PENYELAMAT Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...