terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 16, 2011

Wanita yang bersolat tapi tidak menutup aurat....


PAKAH hukum wanita yang rajin beribadat seperti solat dan mengerjakan puasa tetapi tidak menutup aurat atau memakai pakaian ketat? Bilakah wanita dikatakan nusyuz.
ADIB, Kedah.

Jawapan: Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Ibadat seperti solat dan puasa Ramadan adalah wajib. Begitu juga menutup aurat. Menurut Syeikh Mutawalli as-Sya’rawi dalam kitab beliau Anta Tas’al wal Islamu Yujiib iaitu: “Ada sebahagian wanita Muslimah yang menganggap pakaian menutup aurat mengekang kebebasannya dalam berdandan, bahkan dalam pergaulannya.”

Sebenarnya banyak hikmah di sebalik perintah menutup aurat. Sebagai contoh, bertujuan melindungi dan memelihara diri mereka ketika memasuki usia tua. Tanda usia tua bagi wanita iaitu berhentinya haid (menopaus).
Ketika itu kecantikan wanita beransur pudar, tubuh tidak lagi padat dan kulit mula kendur. Ketika ini wanita banyak merenung dan berasa putus asa kerana tidak lagi mampu melakukan hubungan seksual secara optimum untuk memuaskan keperluan suami.

Dia memerlukan kesetiaan, pengertian, dan kasih sayang suami. Islam dengan ajaran yang sempurna melindungi diri dan memelihara tubuhnya yang tidak lagi cantik dan menarik dengan mencipta kebahagiaan dan ketenteraman bagi rumah tangga.

Seseorang gadis perlu menyedari dia tidak dapat mempertahankan kecantikan dan daya tarikannya. Jika suaminya keluar rumah dan melihat ramai wanita muda cantik dan berdandan menarik dengan mempamerkan rambut, lengan dan betis yang menawan, pasti suami tergoda dan membandingkan dengan isterinya yang tua di rumah.

Setiap hari suami melihat keadaan itu dan setiap kali itulah dia membandingkan dengan isterinya di rumah. Keadaan ini membuatkan cinta terhadap isteri makin berkurang kerana perwatakkannya itu selalu menggoda nafsu seksnya. Ini menyebabkan kurangnya keharmonian keluarga, serta cinta dan kasih sayang semakin pudar.

Justeru, Islam melarang wanitanya terutama yang masih muda untuk mempamerkan kecantikan dan keindahan tubuh agar dia dilindungi daripada perbuatan wanita muda lain yang akan mengganggu rumah tangganya.

Wanita cantik yang selalu mengganggu lelaki dan disukai ramai pemuda, kelak tiba masanya banyak lelaki membencinya. Tidak ada lagi lelaki yang memandangnya, bahkan mereka akan menjauhinya sambil mencemuhnya.

Untuk soalan kedua, perlu difahami pengertian nusyuz yang bererti meninggalkan kewajipan bersuami isteri, misalnya nusyuz daripada suami yang bersikap kasar dan keras terhadap isteri, tidak mahu menggaulinya dan tidak memberi haknya.

Nusyuz daripada isteri misalnya meninggalkan rumah tanpa izin suami. Allah SWT berfirman dalam ayat 34 surah an-Nisa’ bermaksud: “...dan wanita yang kamu bimbangkan nusyuznya, nasihatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya...”

Tindakan di atas sekadar memberi pelajaran. Jika terpaksa, pukul dengan ringan yang tidak meninggalkan bekas. Apabila cara pertama (nasihat) ada manfaatnya, jangan digunakan cara lain yang dapat menyusahkan isteri.

Allah SWT berfirman pada surah an-Nisa ayat 128 bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar...”

Misalnya, suami yang sihat, tiba-tiba diserang gangguan jiwa sehingga selalu marah, memukul isteri dan berbuat perkara aneh yang membuat kehidupan rumah tangga seperti di neraka. Bolehkah si isteri meninggalkan suaminya dan meminta cerai? Boleh, isteri mengajukan perceraian kepada Mahkamah Syariah. Demikianlah, wallahua’lam.

Oleh Ustaz Zahazan


2 comments:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...