terima kasih buat kalian semua..

Monday, November 7, 2011

Isteri jangan sesekali curang !!!


DALAM apa jua masalah, isteri tidak boleh menduakan suami dan berlaku curang dengan suami.

"Apa jua masalah berbincanglah dengan cara baik. Jika berdua sudah tidak mampu untuk menyelesaikan cara baik panggil ahli keluarga lain untuk membantu,'' ujar penceramah bebas, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood.

Menurut beliau, sudah menjadi lumrah, manusia tidak pernah sempurna. Namun ia bukan faktor yang perlu dijadikan penyebab kepada si isteri untuk berlaku curang kepada suami.

"Biar apa pun alasan sama ada diabaikan, kurang kasih sayang mahupun kesepian ia bukan alasan yang membolehkan seseorang wanita itu berlaku curang.

"Seseorang wanita atau isteri tidak harus mengambil jalan mudah dengan menduakan suami,'' ujarnya.

Katanya lagi, dalam Islam ada pelbagai cara untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Malah ada tempat untuk golongan wanita dan isteri yang mengalami masalah.

Terangnya lagi, jangan memandang mudah dengan perbuatan curang kerana ia adalah perbuatan salah dan hukumnya berdosa.

Katanya lagi, curang adalah sifat yang tidak jujur dan mengkhianati antara satu sama lain.

Perbuatan itu adalah haram dan berdosa dalam Islam dan hukum syarak.

"Sebagai seorang isteri kita wajib menjaga kehormatan diri, keluarga, serta taat kepada perintah suami, malah setiap perkara yang dilakukan perlu mendapat keizinan suami,'' ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama terang beliau, isteri perlu sentiasa ingat bahawa syarak mengharamkan mereka menyimpan perasaan suka apatah lagi cinta kepada lelaki selain daripada suami mereka.

"Dalam situasi ini, isteri perlu menghormati suami dalam keadaan mana sekalipun. Jangan lupa status sebenar diri yang mempunyai insan yang wajib diberi perhatian," jelasnya.

Beliau berkata, kecurangan berlaku tidak kira sama ada isteri atau suami adalah disebabkan hubungan dan perintah Allah tidak dilakukan dengan sempurna.

"Isteri yang curang kepada suaminya mempunyai masalah dengan keimanannya, sebab itu mereka sanggup menduakan suami walaupun mereka tahu suami itu adalah insan mulia di sisi isteri .

"Sebagai seorang isteri dia perlu menjaga kehormatan dan maruah suaminya. Apabila kalah dengan godaan syaitan, mereka tiada iman. Akibatnya, perasaan malu sudah tiada lagi sehingga sanggup menggadaikan maruah diri untuk keseronokan yang hanya bersifat sementara," katanya.

Beliau berkata, jika suami mengesyaki isteri cenderung melakukan kecurangan ambil masa untuk menyiasatnya dan jangan bertindak terburu-buru.

"Sebagai ketua keluarga, suami wajib memenuhi segala tuntutan dan keperluan isteri. Ini termasuk menjaga hubungan seksual agar bertambah erat hubungan kasih sayang antara pasangan," katanya.

Dalam Islam, suami mempunyai kewajipan memastikan kebahagiaan rumah tangga, sebagai ketua mereka perlu bertindak sebagai pelindung isteri dan anak-anaknya.

"Sebagai seorang suami, dia perlu mentadbir rumahtangga dan menjadi contoh yang baik kepada keluarganya,'' ujarnya.

Oleh ZUHAYATI YAZID

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...