terima kasih buat kalian semua..

Thursday, November 10, 2011

Jenuh fikirkan tarikan lelaki Afrika...


ENTAH apa tarikan kuasa yang ada pada lelaki-lelaki warga Afrika yang menyebabkan ramai wanita negara ini dilapor terjebak dalam cinta siber yang berakhir dengan penipuan.

Jenuh juga memikirkan daripada mana datangnya tarikan itu. Bukan penulis saja jenuh memikir, kawan-kawan lelaki lain juga sibuk bertanya-tanya, sudah tiadakah lelaki tempatan atau apa kurangnya mereka sampai wanita negara ini beralih kepada golongan 'awang hitam' ini.

Tentu agak luar biasa kuasa tarikan itu atau putar-belit kata-katanya, sehinggakan wanita tempatan ini mudah 'cair' dan mempercayai seratus peratus tanpa rasa curiga menyerahkan wang yang bukan sedikit jumlahnya kepada lelaki warga Afrika ini.

Sebelum ini, kita turut maklum dengan wanita negara ini yang turut menjadi 'keldai dadah' yang memusnahkan kehidupan mangsa dan membuatkan keluarga mereka turut sengsara.

Jenayah ini juga bermula melalui perkenalan di Internet. Dan kini, muncul pula sindiket penipuan kiriman bungkusan, yang menggunakan modus operandi yang agak sama.

Data terbaru polis mencatatkan sebanyak 86 kes dilaporkan dalam tempoh sebulan atau tiga kes setiap hari berhubung penipuan kes ini. Kebanyakan yang terkena ialah wanita yang berkerjaya, berpelajaran tinggi serta menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Justeru ada pihak merumuskan sifat tamak dan buta cinta menjadi antara faktor utama wanita Malaysia mudah diperbodohkan oleh sindiket warga Afrika yang menjalankan penipuan ini.

Tidak dapat dinafikan, rata-rata jenayah yang berlaku kebanyakannya berkisar tentang tamakkan wang. Tetapi yang jelas, ia tidak mengecualikan lelaki atau wanita.

Bagaimanapun, dalam kes penipuan seperti ini, golongan wanita seperti mendedahkan diri mereka terhadap jenayah itu.

Malaysia adalah antara negara tertinggi bilangan pengguna Internet berbanding negara-negara lain. Satu kajian sebelum ini menyatakan, pengguna Internet di negara ini terutamanya golongan muda menghabiskan masa pada purata 22.3 jam dalam talian seminggu.

Sudah tentu, ketagihan terhadap rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace dan lainnya bakal mengundang padah sekiranya wanita tidak dapat mengawal diri daripada diperdaya oleh sindiket penipuan yang sukar untuk disekat dalam era langit terbuka ini.

Wanita perlu ingat bahawa bahaya bukan sahaja ada di luar sana, malah di dalam duduk bersantai di rumah sambil bersembang di rangkaian sosial pun, terdedah kepada penipuan yang boleh merubah kehidupan dalam sekelip mata.

Sudah banyak berita dan isu dilaporkan mengenai penipuan di Internet, maka peka dan ambillah langkah berjaga-jaga dan pencegahan.

Janganlah begitu cepat mempercayai orang yang tidak dikenali, apatah lagi orang yang menabur janji yang bukan-bukan dan tidak logik langsung.

Dalam pada itu, pendedahan kepada identiti diri, gambar atau pergerakan hendak ke mana pun dilaporkan di dalam laman sosial itu, akan menarik perhatian penjenayah yang kini menggunakan saluran Internet untuk memerangkap mangsanya.

Sebagai pengguna Internet, wanita perlu bijak menggunakan kemudahan itu. Jangan disebabkan leka, akhirnya kemudahan tersebut kelak menyusah dan membinasakan kehidupan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...