terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 4, 2011

Menilai bahan tontonan Melayu..


JUMAAT lalu Media Prima Berhad (MPB) dengan bangganya mengumumkan keunggulan empat saluran televisyen milik mereka iaitu TV3, TV9, ntv7 dan 8TV pada acara yang dikenali Media Prima Nite Live TV Networks Screenings 2012. Antaranya, MPB menguasai 49 peratus jumlah penonton televisyen di negara ini mengatasi Astro (38 peratus) dan RTM (13 peratus).

Daripada jumlah itu, 26 peratus penonton Melayu tertumpu kepada TV3, 8TV (8.4 peratus) dan ntv7 (7.8 peratus). Ini bermakna, tiga saluran itu banyak menarik dan mempengaruhi para penonton Melayu.

Dalam hal ini, MPB tidak seharusnya setakat berbangga dengan pencapaian itu tetapi juga memberikan tanggungjawab sosial mereka terhadap para penonton terutamanya Melayu.

Pengisian dalam saluran yang ramai ditonton oleh penonton Melayu seperti TV3 dan TV9 seharusnya lebih menjurus kepada menguatkan jati diri bangsa Melayu. Misalnya daripada segi bahasa, agama Islam dan juga gaya hidup orang Melayu hari ini. Suatu ketika dulu, TV9 pernah mengumumkan konsep rancangannya lebih tertumpu kepada gaya hidup penonton Melayu.

Rancangan-rancangan yang banyak menggambarkan tentang identiti masyarakat Melayu seperti gotong-royong, kenduri kendara di kampung, majlis cukur jambul ataupun berkhatan beramai-ramai seakan-akan semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Malah, TV9 kini tidak jauh beza dengan stesen-stesen TV lain yang kononnya semakin moden dan urban.

Tidak pasti sejauh mana TV3 mahu menyesuaikan gaya rancangan yang ada dengan trend itu yang semakin banyak menghakis budaya dan jati diri orang-orang Melayu terutamanya generasi muda hari ini.

Contohnya, rancangan Nona di TV3 yang jelas tidak mengutamakan pengisian rancangannya, sebaliknya pengacara popular yang silih berganti bagi menarik penonton.

Sebagai rancangan yang majoritinya ditonton oleh orang Melayu rancangan seperti Nona sepatutnya lebih menjurus kepada mempertahankan serta mempopularkan apa-apa juga yang berkaitan dengan budaya Melayu. Sebab itu, ada suara-suara sinis yang mengatakan pengacara seperti Maya Karin, satu ketika dahulu, tidak sesuai untuk Nona kerana wajahnya yang bukan kemelayuan.

Para penonton biasanya mahukan sesuatu yang dekat di hati mereka termasuklah dalam menatap pengacara dalam rancangan tontonan mereka.

Gaya perkahwinan mewah golongan VIP yang dipaparkan dalam Nona juga tidak banyak membina pemikiran positif orang Melayu. Ia seolah-olah melebarkan lagi sikap orang Melayu yang suka menunjuk-nunjuk dan akhirnya berhasad dengki.

Saya yang turut berada pada majlis pengumuman MPB itu agak terkejut dengan kenyataan Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar yang dalam hal itu berkata: "Apabila kami menyiarkan majlis perkahwinan mewah seperti itu, ia mampu merangsang impian para penonton untuk merealisasikan impian mereka seperti perkahwinan tersebut."

MPB hanya ada TV3 dan TV9 sahaja bagi memperjuangkan aspirasi budaya dan bangsa Melayu dalam rancangan-rancangannya. Usahlah disebut saluran TV8 dan ntv7 yang tiada kaitan dengan semua itu. Semua orang tahu majoriti penonton TV8 adalah penonton Cina. Kebanyakan rancangannya juga diimport dari Hong Kong atau China dan bahasa pengantarnya juga Cina.

Begitu juga dengan ntv7 yang sangat galak menyiarkan rancangan-rancangan Barat terutamanya dari Hollywood.

ntv7 turut ditonton dan sedikit sebanyak mempengaruhi para penonton Melayu dengan rancangan-rancangan yang kononnya urban dan menjadi trend sekarang. Tiada maknanya urban tetapi tanpa disedari ia banyak menghakis bahasa dan budaya orang-orang Melayu.

Tidak dinafikan MPB 100 peratus berorientasikan keuntungan berdasarkan iklan-iklan yang masuk di sebalik rancangan-rancangan yang disiarkan.

Namun, semua itu juga secara tidak langsung berdasarkan apakah rancangan yang disiarkan di TV3 ataupun TV9 itu sendiri?

Di sinilah perlunya inisiatif stesen televisyen terbabit memikirkan rancangan yang sesuai untuk penonton Melayu.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...