terima kasih buat kalian semua..

Monday, November 28, 2011

Suami lupa diri bila dah kaya !!!


BENAR kata nenek, suami tak boleh banyak duit, nanti dia ada banyak rancangan. Bukan nak senangkan anak bini, tetapi untuk keseronokan sendiri.

"Saya bercakap daripada pengalaman sendiri. Dulu masa kami sama susah, suami saya Manaf bukan main baik, maklum waktu itu dia kerja budak pejabat dan saya kerani. Jadi dia sedar diri kalau tak ada ikan, telur goreng hari-hari pun tak apa," kata Norzalina dalam surat yang dikirimnya dan ketika kami berbual panjang di telefon.

"Dulu masa baru kahwin, lebih 20 tahun lalu, memang gaji saya lebih daripada dia. Dia minta saya bagi RM150 sebulan untuk hantar kepada mak dia, minyak motor dan makan ketika bekerja.

"Bila saya dapat kerja jabatan kerajaan di negeri lain Manaf suruh saya terima, dia kata bukan senang dapat kerja kerajaan. Bila duduk jauh saya tinggalkan anak dengan mak di kampung. Saya tumpang rumah mak angkat. Kerana sedar hidup susah saya berjimat simpan duit sikit-sikit.

"Kebetulan di tempat kerja ada kempen pinjam ASN daripada bank, saya masuk. Nak jadi cerita tahun 1990 saya bernasib baik. Ramai kawan melompat bila simpanan ASN bertukar ke ASB dan nilai keuntungannya meningkat berkali ganda. Tapi bila saya berduit pandai pula suami nak pinjam beli motor baru secara tunai. Tak sampai lima bulan dia jual motor beli kereta senang nak ke pejabat. Waktu itu saya dapat tukar kerja dekat pejabat suami.

"Bila dah ada kereta, langkah suami makin panjang. Ramailah kawan nak tumpang. Bila duit dah banyak, teman wanita pun ramai, peliknya semuanya isteri orang. Mulanya saya tak tahu, hinggalah terbongkar rahsia. Kami duduk pekan kecil ada orang nampak dan beritahu saya. Biasalah bila saya tanya dia nafi. Sanggup junjung Quran.

"Satu hari telefonnya tertinggal, saya pun selidiklah. Sah dia pasang ramai kekasih, macam-macam nama dan pelbagai nombor telefon. Bila tanya dia nafikan. Kerana tak tahan gangguan saya katanya, dia minta tukar ke pejabat tanah lain yang jauhnya lebih kurang 40 km dari rumah kami. Semakin jauh semakin hebat dia bercinta dengan isteri orang.

"Dia terkejut bila saya tahu setiap nama wanita yang jadi kekasihnya, sebab dia dah padam. Tapi dia tak padam send items. Jadi saya baca semua SMS yang dia hantar kepada kekasihnya. Kalaulah anak-anak saya terbaca SMS itu tentu mereka terkejut. Pelbagai perkataan lucah dibualkan termasuklah hubungan haram dengan isteri-steri orang.

"Satu hari kerana tak tahan kelakuannya saya pergi ke pejabatnya bukan nak buat kecoh, tapi nak kenal wanita tersebut. Tapi ada kawan bagi tahu, Manaf segera heret saya keluar suruh balik, sampai di rumah kami bukan saja bertengkar tetapi berperang, dia pukul dan tampar saya hingga jatuh dan berdarah. Ini bukan kali pertama saya dipukul. Bila saya nak ke hospital dia sembah saya jangan buat aduan polis, dia tak mahu masuk penjara.

Mahkamah

"Katanya kalau dia ke mahkamah, saya dan anak-anak juga akan malu, jadi dia merayu saya supaya mengaku luka di muka dan kaki saya itu kerana terjatuh. Tapi doktor lagi faham. Namun bila polis tanya saya terpaksa berbohong, bukan kerana sayangkan dia tetapi tak mahu anak-anak malu. Mereka dah remaja.

"Setelah dia terselamat dari ditangkap, saya fikir tentu dia bertaubat seperti yang dia janji dan akan pergi kaunseling ke pejabat agama, tetapi semuanya bohong. Dia tetap teruskan hobi bercinta dengan isteri orang, termasuklah di pejabat tanah yang baru.

"Saya memang tak ada peluang mendekati kawan-kawan pejabatnya, sebab mereka tak layan saya, mereka sanjung dan sokong Manaf macam bos, sebab Manaf diberi banyak kerja luar agaknya kalau ada untung mereka kongsi sama. Bab makan minum memang mewah. Mereka bekerja macam satu pasukan. Patutlah menang banyak hadiah cemerlang. Dan mereka tolong antara satu sama lain lebih daripada keluarga.

"Yang saya rasa sedih, bab belanja keluarga dia buat sambil lewa. Dia akan kerah saya masak setiap hari makanan yang dia suka. Lepas tu puji melangit supaya saya masak lagi. Agaknya dia suka saya sibuk di dapur lepas balik pejabat supaya tak fikir apa dia buat di pejabat setiap hari, lambat masak dia bising. Alasannya nak makan masakan saya.

"Pernah saya tanya pada dia mengapa dia suka buat hubungan haram dengan isteri orang, jawapannya: '' Dia suka kita suka kayuhlah.''

"Bab solat memang tak pernah buat kecuali hari Jumaat, sebab malu semua orang solat dia tak. Jadi dia solat kerana malu pada manusia dan menunjuk- nunjuk kepada orang.

"Apa yang saya lebih pelik, yang bini orang tu pun tak sedar diri. Anak berderet di rumah, tapi sanggup bergelumang dosa. Setiap hari telefon dan SMS Manaf mengadu macam-macam hal, sakit nak duit pergi kliniklah, nak pinjam duitlah, nak beli alat mekap, minta belikan minyak wangi dan macam-macam, hinggakan sakit kaki pun bagi tahu Manaf, apa pasal tak mengadu kepada suami sendiri?

"Baru-baru ini sekali lagi saya perangkap Manaf dia mengamuk bila dapat tahu saya telefon kekasihnya.

"Mula-mula tuduh menuduh akhirnya bertengkar. Tangan dia pun cepat hinggap ke muka saya. Tak cukup dipukul dia cekik leher saya. Dia tarik rambut saya bila saya nak lari keluar bilik. Saya sempat menjerit minta tolong pada anak yang kebetulan ada di rumah. Kerana malu pada anak dia lepaskan saya.

"Lepas pukul dan cekik dia dengan muka tak tau malu pujuk saya menyembah jangan buat aduan polis. Kini saya ada tiga laporan dari doktor tentang kecederaan teruk yang saya alami. Jika sekali lagi dipukul saya tak akan maafkan Manaf.

"Kalau pembaca kata saya bodoh, memang saya bodoh tak mahu teruskan tindakan. Tapi saya fikirkan anak-anak, saya tak mahu mereka malu. Namun kini saya sedang berfikir apakah cara lebih baik untuk saya sedarkan dia.''

Demikian cerita Norzalina.

4 comments:

  1. Sepatutnya dah buat laporan polis kalau dah 3 kali dibuat oleh suami macam tu...

    ReplyDelete
  2. ada juga ppuan / isteri yg lupa diri bila dah senang & dpt suami terlalu baik.... hadith nabi : aku lihat di dlm syurga, ramai penghuni adalah org miskin manakala bila dilihat neraka maka ramai penghuninya adalah terdiri dari kaum wanita"... apa makna tu?

    ReplyDelete
  3. SALAM.. pertama sekali kepada Anonymous yang bercakap di atas.. sila rujuk atau sila baca semula lafaz taklik yg anda baca atau anda akan baca semasa akad nikah..dan saya pasti..anda adalah seorang lelaki..tak apa..biar saya lafazkan untuk anda :

    Adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik, jika : 1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan di dengan sengaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau:

    (2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:

    (3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluqi.

    jelas kan? saya tak perlu memberi highlite di mana anda perlu tekankan perkataan di atas. Cukuplah sekadar anda baca dan menjadikan ia sebagai pedoman..tak perlu menghina perempuan..sebab tahukah anda.. dan masuklah perempuan itu kemana2 pintu syurga pun jika dia berpuasa, solat,taat pada suami dan menjaga maruahnya. Bukan ke wanita ni salah seorang dari ahli syurga? anda jawablah sendiri..

    kepada Nor azlina,
    Pesanan saya sebagai rakan pembaca..perkahwinan adalah kebahagiaan..Sabda Rasulullah : jika suami tak lagi mencintai kita...pegang lah kepada kasih sayang..tapi jika kasih sayang juga tiada..anggap lah ianya sebagai amanah Allah.

    Anda fikir lah..mahukah anda juga bergelumang dengan dosa dengan menikmati perhubungan suami dengan isteri org lain? jika ingin berjihad..jihad lah kerana Allah..bermaksud..berperanglah demi kebaikan semua org. kepada suami..supaya anda tidak bersubahat..kepada anak2 malu dari hinaan, kepada isteri org lain ingatkan dia dengan neraka Allah. jika anda membiarkan..maka anda juga tergolong di sekumpulan mereka itu.

    Wallahualam..
    LISA HAMZAH

    ReplyDelete
  4. alahai kaka, klu tiada suami pn tak pa..anak2 pun faham tgak kdan akak..beritndak untuk kebaikan diri sendiri,jangan terus jadi hamba

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...