terima kasih buat kalian semua..

Sunday, December 25, 2011

Anda masih dikira sebagai golongan miskin jika berpendapatan 5 ribu sebulan di US !!!


WAJAH Dylan Burger, yang hanya berusia lapan tahun kelihatan gembira menari bersama rakannya di sebuah kelab kanak-kanak di Santa Monica, California.

Namun kegembiraan wajahnya itu hanya sementara berikutan dalam usia semuda itu dia terbeban dalam realiti kemiskinan yang melanda keluarganya.

Bapanya Tracy Burger, 45, dan ibunya Elizabeth, tidak dapat berselindung tentang kesusahan hidup setelah kini terpaksa tinggal di garaj rumah ibunya.

Kedua mereka merupakan pekerja kolar putih dengan pendapatan digabungkan mencecah AS$100,000 juta (RM310,000) setahun.

Namun akibat krisis sub prima, kedua mereka hilang pekerjaan, diikuti apartmen sebelum semua harta benda mereka yang lain dirampas.

Itulah realiti yang berlaku di negara yang terkenal dengan jolokan Uncle Sam. Setelah dilanda kegawatan ekonomi yang berlanjutan sejak empat tahun lepas akibat krisis sub prima, nampaknya keadaan masih belum nampak sebarang perubahan.

Kini tahun baru 2012 bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Dan berdasarkan kajian pihak berkuasa AS, kedudukan ekonomi mereka masih jauh dari pulih malah kemiskinan dan kesengsaraan rakyatnya semakin ketara.

Tertinggi

Angka terbaru jumlah kemiskinan di AS berdasarkan Laporan Jabatan Perubahan dan Pembangunan Bandar AS, meningkat pada kedudukan tertinggi sebanyak 46.2 juta orang. Angka ini merupakan rekod tertinggi sejak jabatan itu mula mengumpul data mengenai keluarga miskin pada tahun 1959.

Dari jumlah itu, dianggarkan 9.2 juta penduduk AS hidup bawah paras kemiskinan manakala hampir 700,000 rakyat negara itu tiada tempat tinggal.

Kemiskinan di AS adalah berlandaskan dari pendapatan tahunan rakyatnya yang kurang daripada AS$22,314 (RM69,173) untuk keluarga dengan empat orang ahli atau AS$11,139 (RM34,350) bagi seorang.

Melihat kepada statistik baru ini jumlah warga AS yang hidup di bawah garis kemiskinan ini meningkat dalam tempoh empat tahun berturut-turut.

Data tersebut turut menyatakan warga kulit hitam dan Hispanik menduduki kedudukan pertama daftar kemiskinan tertinggi.

Laporan itu mencatatkan 25.8 peratus warga kulit hitam hidup dalam kemiskinan, sementara keturunan Hispanis mencecah 25.3 peratus.

Rata-rata pendapatan tahunan keluarga di sana berdasarkan laporan ini adalah sekitar AS$ 49,445 (RM153,279 ) menurun 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Angka kemiskinan di negara itu meningkat di atas 15 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Demikian juga halnya dengan angka pengangguran yang meningkat di atas 9 peratus.

Sementara itu, warga Amerika yang tidak mempunyai insurans kesihatan tetap pada kedudukan kira-kira 50 juta orang.

Melihat kepada keadaan semasa ini adalah tidak mengejutkan ramai di antara mereka terpaksa merempat di tepi jalan mahupun tinggal di kawasan saliran bawah tanah.

Ini yang berlaku kepada pasangan kekasih, Steven dan Kathryn serta pasangan suami isteri, Amy dan JR yang memilih untuk menetap di bahagian bawah 'Kasino Ceaser Palace', iaitu di terowong saliran bawah tanah.

Mereka telah menetap di situ sejak 2008 memandangkan kos hidup yang tinggi selain sukar mendapat pekerjaan.

Ramai juga di antara mereka merupakan penagih dadah tegar dan memilih hidup di situ kerana polis jarang mengganggu mereka.

Namun akibat kegawatan ekonomi yang mengakibatkan ramai di antara mereka hilang tempat tinggal, jumlah penduduk di terowong saliran bawah tanah meningkat sehingga lebih 700 orang.

Hujan bukanlah sesuatu yang biasa berlaku di Vegas dan ini membolehkan mereka yang tinggal di dalam terowong ini selesa malah menganggap kediaman itu sebagai sesuatu yang memadai.

"Namun apabila hujan lebat turun tanpa henti selama dua jam, ia menyedarkan kami bahawa kediaman ini sebenarnya sebuah terowong dan ia jauh daripada selesa kerana arus deras akan membawa pergi semua barang-barang kami," kata Amy.

Oleh Hafizahril Hamid

1 comment:

  1. kat 1mesia, 3000 tak cukup makan. sket lg nak sampai tahap negara maju mcm amerika kita ni. yeaahh. go 1mesia go ..... to hell

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...