terima kasih buat kalian semua..

Saturday, December 24, 2011

Belum habis belajar dah kemaruk nak kawin !!!


IBU mana yang tidak terguris hatinya apabila melihat anak lelaki cedera ditumbuk, sehingga menerima rawatan di hospital selepas terbabit dalam pergaduhan berebut teman wanita.

Berikutan kejadian itu, satu universiti tahu perhubungan cinta anak lelakinya dengan gadis sekampus. Pensyarah berusaha memisahkan mereka selepas diminta ibu yang dikenali sebagai Puan Ita.
Walaupun mereka tidak berjumpa di universiti, tetapi di luar mereka masih intim.

“Puas sudah saya memujuk anak supaya memberikan tumpuan kepada pelajaran dan mengetepikan dulu soal berkahwin dengan teman wanitanya.

“Yang sebenarnya saya tidak berapa berkenan dengan gadis itu kerana terlalu bebas bergaul dan anak saya bukan satu-satunya teman lelakinya,” jelas Puan Ita.

“Saya mahu anak beri tumpuan kepada pelajaran dan menamatkan pengajian tanpa diganggu dengan permainan perasaan yang pada tanggapan saya tidak akan bawa dia ke mana-mana.
“Namun harapan saya berkecai kerana anak lelaki tunggal saya terlalu kemaruk bercinta dan mahu berkahwin dengan gadis itu,” kata Puan Ita.

Sebagai seorang ibu berkelulusan tinggi, Puan Ita menggunakan pengaruhnya untuk meminta universiti campur tangan.

“Sebenarnya pihak universiti tahu apa yang berlaku di antara anak saya dan gadis itu, tetapi mereka tidak berupaya menghalangnya.

“Saya juga pernah menemui ibu gadis itu dan hasil perbualan kami, ibu gadis itu mengaku anaknya agak lasak dan liar.

“Ibu gadis itu berharap anak saya dapat membimbing dan menjaga anak gadisnya supaya menjadi gadis yang baik. Saya hanya tersenyum saja ketika itu,” jelas Puan Ita.

Apabila Puan Ita menimbulkan masalah ini untuk Kak Ani kupas dalam ruangan ini, apa yang Kak Ani nampak ada dua sisi berbeza antara Puan Ita dan ibu kepada gadis itu.

Puan Ita ibu yang baik, mengambil berat pelajaran anaknya tentu sekali kecewa apabila berlaku perubahan mendadak dari segi tingkah laku anaknya.

Memang sebagai ibu kita kenal anak kita, namun Puan Ita kena ingat, selepas anak dewasa, banyak faktor sekeliling yang boleh mempengaruhi hidup mereka.

Mereka juga ada prinsip hidup sendiri yang memerlukan kita sebagai ibu menghormatinya.

Walaupun identiti ibu si gadis tidak berapa jelas, tetapi berdasarkan pertemuan Puan Ita dengannya, Kak Ani dapat bayangkan dia juga berdepan konflik untuk mengawal anaknya yang dianggap kasar dan liar.

Namun begitu sebagai ibu, dia juga mahukan yang terbaik untuk anak gadisnya.

Ibu gadis itu melihat keistimewaan dalam diri anak Puan Ita yang dirasakan boleh membimbing anaknya jika mereka berkahwin.

Kak Ani begitu bersimpati dengan Puan Ita dan ibu gadis itu yang terpaksa menelan perilaku anak masing-masing.

Pada pendapat Kak Ani, inilah dugaan yang berat untuk menguji kesabaran ibu.

Bagi ibu gadis itu, lain pula persepsinya dengan kehadiran anak Puan Ita dalam hidup anaknya yang dirasakan boleh mengubah sikap buruk anaknya itu.

Sebagai ibu, kita kadang-kadang tak sedar anak sudah besar, boleh mengurus diri dan membuat keputusan sendiri.

Puan Ita mungkin terlepas pandang bahawa anak lelaki tunggal Puan Ita mahukan kebebasan untuk menentukan hidupnya.

Mengapa tidak Puan Ita beri peluang kepada anak untuk membuat pilihan dalam menentukan jodohnya.

Soal anak belum habis belajar tidak boleh dijadikan alasan untuk melambat-lambatkan jodoh mereka.

Kak Ani percaya kesedaran akan datang sendiri selepas seseorang berjaya mendapatkan haknya untuk hidup bersama wanita idamannya.

Seorang teman Kak Ani juga berdepan masalah yang sama apabila anak menyatakan hasrat untuk berkahwin ketika masih belajar.

Sebagai bapa, teman Kak Ani juga mahu anak memiliki kerjaya sendiri sebelum mendirikan rumah tangga.

Menurut teman Kak Ani, belanja kahwin bukan kecil dan jika anak belum bekerja, sudah pasti yang kena menanggung beban itu ialah kedua-dua ibu bapa.

Bagaimanapun, selepas mendengar penjelasan anak mengapa dia mengambil keputusan untuk berkahwin awal, teman Kak Ani itu akhirnya berubah fikiran.

Dia pula yang bersusah payah menguruskan segala persediaan yang perlu bagi membolehkan anak lelakinya bernikah dengan pasangan sebelum pulang semula ke tempat belajar masing-masing di luar negara.

Menurut teman Kak Ani, selepas semua urusan itu selesai, dia berasa lega kerana sudah menunaikan tanggungjawab sebagai bapa. Anak lelakinya berkata, dia berasa tenang untuk belajar malah azamnya untuk berjaya dalam pelajaran melebihi daripada sebelum bernikah.

Berdasarkan kepada pengalaman teman Kak Ani, rasanya lebih baik Puan Ita memberi peluang kepada anak memilih jalan hidup sendiri.

Berbincanglah dengan anak dan kalau boleh bawa gadis itu bersama dalam perbincangan. Setakat ini anak Puan Ita tidak membelakangkan Puan Ita dalam membuat keputusan untuk berkahwin.

Kak Ani percaya jika sudah ada ikatan yang sah, tidak akan ada anasir luar yang cuba menggugat hubungan anak Puan Ita dengan gadis itu.
Insya-Allah jika anak Puan Ita seorang beriman, dia pasti dapat membimbing bakal isterinya nanti.

Puan Ita, dalam kehidupan ini tidak semua yang berlaku dapat dijangkau dengan akal fikiran.

Kita kena terima ada kuasa di atas yang menetapkan jodoh, hidup dan mati hamba-Nya.

Puan Ita sebagai ibu sedang diuji oleh Tuhan. Sepatutnya, Puan Ita doakan yang terbaik untuk anak. Kalau benarlah jodohnya dengan gadis itu, minta Tuhan tunjukkan jalan supaya kedua-duanya dapat melalui hidup berumah tangga dengan bahagia dan melahirkan zuriat bakal meneruskan keturunan Puan Ita.

Bersama Kak Ani


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...