terima kasih buat kalian semua..

Monday, December 19, 2011

Hikmah dan natijah zakat..


MUTAKHIR ini seruan agar berzakat bergema di mana-mana. Persoalannya, apakah hikmah zakat dan apakah natijahnya kepada umat?

JAWAPAN

Hikmah zakat sangat banyak. Sebahagian daripada hikmah zakat yang utama termasuk:

* Membersihkan harta daripada 'kotoran' batini, iaitu percampuran dengan harta milik orang lain (asnaf zakat).

* Membersihkan jiwa orang-orang kaya daripada sifat-sifat mazmumah (jelik atau keji) seperti kedekut, tamak dan cinta dunia;

* Menyuburkan jiwa mereka dengan sifat-sifat terpuji seperti zuhud, pemurah dan qana'ah (berpada dengan apa yang ada).

* Menyemai sensitiviti yang tinggi dalam kalangan umat Islam sehingga menumbuhkan sifat pengasih dan penyayang dalam diri orang-orang kaya terhadap asnaf zakat; dan menghakis sifat iri hati dan buruk sangka asnaf zakat terhadap orang-orang kaya.

* Membina jambatan ukhuwah antara orang-orang kaya dan asnaf zakat, sekali gus menumbuhkan perasaan kasih sayang yang padu dalam masyarakat.

* Mengurangkan kadar jenayah dalam negara yang dilakukan akibat perasaan dengki dan iri hati orang-orang miskin terhadap golongan kaya atau akibat kesempitan hidup.

* Dapat memajukan ekonomi umat Islam menerusi perancangan penggunaan dana zakat yang berkesan dan menjadi sumber pendapatan kepada negara.

* Mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi kekayaan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

* Membantu memenuhi keperluan hidup orang-orang miskin dan menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara keji seperti pelacuran dan kekufuran.

* Memperkasakan negara dan umat Islam melalui penyelidikan yang dijalankan menggunakan dana zakat, misalnya dalam aspek teknologi persenjataan sehingga berupaya mengangkat ketinggian darjat Islam di mata dunia.

* Menjadi 'payung' kepada umat Islam yang memerlukan 'tempat berteduh', iaitu berupaya memenuhi keperluan mereka yang kurang bernasib baik.

Manakala, daripada aspek natijahnya, zakat menjadi sebab bagi datangnya kasih-sayang Allah dan juga datangnya keberkatan dalam kehidupan. Firman Allah SWT: Jikalau penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan oleh perbuatan mereka itu sendiri. (al-A'raf: 96)

Apabila keberkatan memayungi sesebuah negara, maka negara akan menjadi aman dan makmur. Golongan kaya tidak khuatir kekayaan mereka dicuri, manakala golongan miskin merasa nasib mereka terpelihara.

Walau bagaimanapun keadaan ini perlu diperkukuhkan dengan pemerkasaan syariat Allah dalam semua aspek kehidupan. Kemakmuran negara Islam semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a. boleh dijadikan contoh kehidupan yang dipenuhi keberkatan.

Rasulullah SAW pernah mengungkapkan: "Sebenarnya harta itu sangat menggoda. Bagi orang yang mendapatkannya dengan kemurahan hati (misalnya suka bersedekah dan berzakat), dia akan beroleh berkat; dan orang yang mendapatkannya dengan rakus (tamak dan hanya mementingkan diri sendiri), maka dia tidak akan memperoleh keberkatan - samalah dengan orang yang makan, tetapi tidak beroleh kekenyangan. (riwayat Abu Daud)

Maka, menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memastikan hak Allah SWT yang tersimpan di dalam hartanya dikeluarkan sebagai zakat.

Amalan ini bukan sekadar membersihkan harta daripada unsur-unsur yang tidak halal kerana termakan harta milik asnaf, bahkan dapat melestarikan keberkatan. Zakatlah satu cara bagi menjamin keberkatan yang dapat pula menjamin kebahagiaan umat manusia. Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...