terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, December 28, 2011

Jangan beri ruang Malaysia jadi syurga si penipu !!!


APABILA membuka sahaja setiap helaian surat khabar atau mendengar berita-berita daripada media eletronik, cerita yang tidak pernah tertinggal ialah cerita rakyat Malaysia kena tipu oleh rakyat asing.

Berita yang dipaparkan pada muka hadapan Mingguan Malaysia 18 Disember lalu menyatakan bagaimana seorang warga Afrika hidup mewah menjadi jutawan hasil daripada kegiatan menipu yang dilakukan terhadap 'dermawan Malaysia' yang 'suka menderma tidak bertempat.'

Apabila kaki-kaki penipu ini balik ke negara asal mereka dan menguar-uarkan kehebatan mereka menipu dan jadi kaya kerana menipu, menjadikan sahabat-sahabat handai mereka berduyun-duyun datang ke Malaysia untuk menjalankan kegiatan utama mereka iaitu 'menipu.'

Sudah tertanam dalam kotak fikiran mereka bahawa Malaysia adalah 'negara syurga' bagi mereka yang menjadikan aktiviti menipu sebagai profesion utama mereka.

Bila fikir-fikirkan balik, sedih juga rasa hati dengan keadaan ini dengan memikirkan mengapa begitu mudah rakyat kita ditipu khususnya wanita.

Malah berita warga emas wanita kena tipu berjuta ringgit dan puluhan wanita ditipu secara maya dengan memasukkan duit belasan dan ribuan ringgit ke akaun warga asing yang menyamar, dalam hati sering tertanya-tanya 'mengapakah semudah itu wanita Malaysia kena tipu.'

Tidak pernahkah terfikir oleh mereka akan risiko yang mereka hadapi kerana sikap 'cepat terpesona dan terpana' dengan warga asing tersebut hingga akhirnya mereka merana dan menderita tergadai body dan harta serta harga diri!

Pelbagai telahan, tekaan dan terjahan yang dibuat oleh pelbagai peringkat masyarakat mengenai mengapa wanita Malaysia mudah terperangkap dan diperangkap oleh warga asing dari Afrika, Indonesia, Bangladesh dan pelbagai negara lain.

Mengapa dan di mana silapnya? Saya sendiri juga tidak dapat membuat jangkaan dan tekaan yang tepat kerana hanya mereka yang telah melaluinya sahaja yang tahu melalui susah senangnya proses, kejadian dan kesudahan dengan lebih jelas.

Walau bagaimanapun untuk peringatan kepada anak-anak perempuan dan juga seluruh wanita Malaysia yang terkenal dengan personaliti yang cantik, cerdik, ceria dan cergas ini agar memegang nasihat dan panduan ini supaya tidak kena tipu atau menjadi mangsa pemerdagangan diri dan emosi oleh warga asing.

1. Jangan mengikut kata hati, nanti mati, selayaknya difikirkan dengan cukup mendalam oleh wanita Malaysia. Janganlah terlalu merasa 'syok sendiri' dengan godaan, manjaan dan belaian warga asing ini seperti warga Afrika yang dikatakan hebat dalam melayan kekasih.

Ingatlah! Warga asing yang hebat melayan teman wanitanya dengan layanan first class ini adalah 'penipu world class', akhirnya maruah dan harta tergadai dan hidup hancur berderai!

2. Ukur baju dibadan sendiri, juga sesuai untuk renungan wanita Malaysia, kita mempunyai adat resam, sosio budaya dan agama yang perlu dijunjung dan dipelihara. Jadi janganlah menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara dengan bersekongkol, bersubahat dan bersahabat dengan warga asing kaki penipu ini.

Berwaspadalah dan carilah pasangan, sahabat, teman lelaki dari anak bangsa sendiri dengan restu dan reda ibu bapa.

3. Jangan sekali bermain api, kelak membakar diri, boleh menjadi ingatan dan teladan pada wanita Malaysia mengenai keganasan warga Afrika yang membunuh dan menyiksa anak teman wanita mereka, merompak, memukul dan merogol serta menipu yang banyak tersiar di akhbar dan pengakuan mangsa-mangsa.

Jangan main tutup mata dan berfikir 'itu nasib mereka, mungkin nasib aku lebih baik kalau bersama warga Afrika ini' dan dengan kata-kata inilah yang menjadikan mereka hidup sengsara dan terbakar dalam api neraka dunia.

Jadi, dengarlah nasihat dan jauhilah warga asing yang hanya menjadikan wanita Malaysia ini untuk hidup 'menumpang dan menjadi dedalu kepada habitatnya.'

Kembalilah ke jalan hidup yang mempunyai landasan yang benar dan kukuh agar warga asing khususnya Afrika ini tidak lagi menipu anak bangsa kita. Jangan jadikan Malaysia negara 'syurga bagi penipu' dan 'neraka bagi rakyat kita yang ditipu'! Rakyat Malaysia perlu hidup dengan aman sejahtera dan bermaruah demi agama, bangsa dan negara tercinta.

PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
Kolej Pengajian Siswazah
UNITEN, Kampus Putrajaya, Bangi.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...