terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, December 13, 2011

Kasih seorang ibu...


MEMILIKI cahaya mata pastinya menjadi impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Namun kita hanya merancang, Tuhan menentukan segala-galanya.

Bagi Zarina (bukan nama sebenar), 30, enam tahun melayari bahtera perkahwinan tanpa kehadiran cahaya mata membuatkan hidupnya sunyi.

“Dalam kehidupan kita pasti meletakkan satu-satu impian yang ingin dikecapi. Antara impian saya dan suami tentulah memiliki cahaya mata sendiri,” katanya.

Dua tahun pertama berlalu tanpa tanda-tanda akan hamil, Zarina tidak mahu menunggu terlalu lama. Dia mencuba rawatan suntikan dalam rahim (IUI). Namun rezeki belum menyebelahi diri membuatkan dia terus mengambil langkah berikutnya dengan mencuba rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Kali pertama dilakukan dia hamil, namun kandungan hanya bertahan sehingga tujuh minggu dan kemudian gugur.

Tidak mahu berputus asa dia mencuba lagi dan seperti cubaan pertama, kandungan tersebut hanya bertahan selama dua bulan. Masih ingin mencuba rezeki, Zarina mencuba rawatan IVF untuk kali ketiga dan dia masih gagal untuk kali itu.

Akhirnya dia pasrah rezeki belum berpihak kepadanya. Selain rawatan moden, dia bersama suami turut mencuba rawatan tradisional.

Anak angkat

Bukan mahu menyerah, namun berikutan nasib yang belum menyebelahi mereka berdua, suami Zarina menyarankan agar mereka mengambil anak angkat.

“Sebenarnya bukanlah terlalu terdesak. Tapi selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, terasa sunyi pula hidup. Tambahan lagi tugas suami yang sering menuntutnya ke luar negara,” katanya.

Lantaran itu suami isteri tersebut pergi ke sebuah pertubuhan berdaftar yang menguruskan pengambilan anak angkat untuk mencuba nasib. Zarina diberitahu prosesnya mengambil masa agak lama memandangkan bayi di dalam senarai hanya ada sekitar 30 orang tetapi bilangan ibu bapa yang menanti pula melebihi 100 orang.

Dalam pada itu, selepas hampir 10 tahun bergelumang dengan tugas hakikinya sebagai kakitangan kerajaan, dia terasa ingin mencuba sesuatu yang lain. Selepas memikirkan semasaknya, dia mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada bidang lain dan dalam masa yang sama cuba untuk hamil lagi.

Tanpa diduga, suatu hari Zarina menerima panggilan telefon yang bertanyakan mengenai adakah dia bersedia untuk menerima anak angkat.

“Memang saya sangat terperanjat. Saya langsung tidak menyangka dalam ramai pasangan menunggu, kami terpilih sedangkan jika dilihat pada usia perkahwinan dan usia kami berdua tidaklah terlalu mendesak. Mungkin itu sudah rezeki yang ditentukan Ilahi. Semuanya berlaku secara kebetulan selepas saya meletakkan jawatan,” kata Zarina sukar menyembunyikan perasaan gembiranya.

Orang baru

Kehadiran bayi yang diberi nama Afiq cukup memberi erti buat Zarina dan suami. Bayi lelaki comel itu dilahirkan pada tengah hari sekitar September lalu dan pada sebelah malamnya, Zarina terus mengambil selepas segala urusan selesai.

“Bayangkan saya langsung tidak bersedia untuk menyambut orang baru. Segalanya dilakukan dalam sekelip mata dan akhirnya Afiq dalam pelukan saya,” katanya.

Tidak mahu batas agama menjadi penghalang, Zarina menanam tekad untuk menyusukan Afiq secara eksklusif bagi mendapat taraf anak susuan. Berdasarkan bacaan Internet beliau terus menghubungi sebuah hospital rakan bayi dan disarankan mengikuti kelas penyusuan.

Menggunakan sistem suplemen sokongan penyusuan (SNS), Zarina tanpa jemu memberi stimulasi supaya tubuh badannya mampu menghasilkan susu sendiri.

Tidak dilupakan beliau turut mengambil ubat khas sebagai sokongan bagi memastikan susu dapat dihasilkan. Tidak cukup dengan itu, dia juga mengamalkan pelbagai petua tradisional seperti berurut dan makan makanan tambahan bagi membantu penghasilan susu.

“Tanpa disangka, pada hari kesembilan, tiba-tiba saya rasa ada sesuatu mengalir dan rupa-rupanya ia adalah susu saya sendiri. Air mata tak mampu disekat lagi ketika itu,” katanya.

Berdasarkan petua dan amalan yang dilakukan, Zarina berjaya menyusukan Afiq dengan susu badannya sendiri sehingga anak comel itu bertaraf anak susuan.

Kini hidup dia dan suami semakin bermakna dengan kehadiran bayi yang sudah berusia hampir tiga bulan itu. Walaupun segalanya berubah secara 360 darjah, namun Zarina bersyukur kerana dia turut diberi peluang merasa nikmat sebagai seorang ibu.

“Saya anggap dia seperti anak saya sendiri. Mungkin kerana saya menjaga dia sejak hari pertama lagi dan setiap hari melihat dia di depan mata, rasa kasih dan sayang sukar untuk diungkapkan,” kata beliau.

Bagi Zarina, tiada yang mustahil dilakukan seandainya benar-benar tekad dan disertakan dengan niat yang ikhlas. Dia sudah berjaya membuktikan, walaupun tanpa pengalaman namun mampu menguruskan Afiq malah berjaya menyusu lagi. Dia juga berazam akan mendidik Afiq dengan sempurna sama seperti darah dagingnya sendiri.

“Mana tahu, mungkin Afiq pembuka rezeki untuk kami sekeluarga,” kata Zarina penuh optimis.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...